Tom & Jerry / Tombak

Salam,

1. Dalam peperangan, selain dari strategi, taktik dan semangat yang menjadi penentu kalah menang dalam peperangan, peralatan yang digunakan juga amat penting bagi membantu kejayaan untuk mencapai matlamat kedua-dua pihak yang berperang. Nak diharapkan semangat, taktik dan strategi sahaja, jadilah seperti Iraq dan Libya yang bertalu-talu dibenamkan dengan bom yang canggih dan senjata terkini dimiliki US. Itu belum lagi diambil kira pesawat tanpa juruterbang ataupun dron yang digunakan samada sebagai pesawat pengintip dan melancarkan serangan. Oleh kerana itulah Hamas juga berjaya menimbulkan rasa gerun terhadap Zionis dan membawa negara haram yahudi itu ke meja rundingan dan akhirnya termeteri gencatan senjata berkekalan buat masa ini. Namun, perjanjian dengan yahudi adalah ibarat kucing dengan ikan yang perlu berwaspada setiap masa kerana bila-bila masa akan terburai perjanjian apa sekalipun jika melibatkan mereka. Bagi mereka, yang penting adalah kepentingan yahudi wajib dipertahankan.

2. Artikel kali ini ingin saya kaitkan kisah senjata sebagai analogi yang amat berkaitrapat dengan perkembangan semasa politik. Mengambil contoh senapang M16 yang merupakan raifal tempur ringan menggunakan peluru berkaliber 5.56 mm dan turut digunakan oleh pasukan bersenjata Malaysia termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM. Sehingga sekarang, senjata M16 itu telah melalui lebih dari 4 kali 'upgrading' sistem yang digunakan diikuti oleh M16A1, yang menggunakan peluru M193/M196 dan boleh menembak dengan tembakan separa automatik ataupun semburan sepenuhnya. Versi kedua adalah M16A2, yang diperkenalkan disekitar tahun 1980. M16A2 menggunakan peluru M855/M856 yang direkabentuk oleh Belgium (dan kemudiannya dijadikan peluru standard 5.56 x 45 mm NATO). M16A2 mampu menembak separa automatik dan semburan tiga butir. Versi ketiga ialah M16A3 yang menggunakan sistem tembakan utama yang ada pada M16 dan M16A1. Dan versi terakhir sekali ialah M16A4, yang menjadi raifal utama Marin Amerika semasa kempen memerangi Iraq, bagi menggantikan M16A2.

3. Jika senjata M16 yang digunakan sejak awal dicipta itu hebat, di mana keperluan untuk mencipta versi baru yang digunakan oleh Marin Amerika di Iraq? Secara rasional jika difikirkan, pastinya dengan perubahan teknologi dan persekitaran mukabumi serta kemajuan di pihak musuhlah yang menyebabkan mereka mencipta senjata baru dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

4. Mengaitkan hal ini dengan persengketaan politik khususnya di negara kita, nampaknya senjata yang digunakan ketika perang menentang Parti Komunis Malaysa (PKM) samada carbine dan SLR masih digunakan untuk bertempur dengan musuh yang sudah menggunakan M16A4. Atau lebih malang masih menggunakan senjata tom-tombak makyong dedek dan perisai rotan. Kaedah berjuang sudahlah lembik dan jumud seperti dodol, senjata pula bukan sahaja meletakkan pejuang-pejuang dalam situasi bahaya, malahan mengaibkan pasukan dan segala isinya. Senjata-senjata ini sekiranya yang tinggal hanya gigi dan lidah mungkin mewajarkan ia perlu digunakan, tetapi selagi ada kemampuan untuk memiliki senjata setanding musuh, apa salahnya dibeli dan digunakan daripada membazir dengan nafsu kuda.

5. Musuh menggunakan khidmat anak muda trang tang tang, di pihak kita mengumpulkan Si Buta Dari Gua Hantu yang terbongkok-bongkok sambil mengunyah sirih pinang atau curut cap teko. Kelebihan yang ada adalah jeritan 'Hidup Melayu', cium keris, mencari kesalahan peribadi dan lawan memekik dengan musuh. Aku kata engkau, engkau kata aku. Pi mai pi mai tang tu juga. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

6. Cyber trooper pula seperti sudah berlaku kiamat betapa sukarnya untuk mencari tidak kira yang muda atau tua tetapi matang dan berpengalaman, berpengetahuan untuk menangkis hujah-hujah yang digunakan musuh politik masing-masing. Jika gagal berhujah, maka alasan standard adalah "manusia tidak ada yang sempurna". Memang tidak sempurna setiap manusia, tetapi apa yang dilakukan oleh golongan ini adalah terlalu jauh dari sempurna malahan refleksi dijangkiti penyakit 'bebalisme' seperti yang disebut oleh Prof Dr. Syed Hussein Alatas. Daripada symptom yang ditunjukkan, penyakit ini kian menular dan membarah setiap masa. Puncanya adalah apabila kilang-kilang pendingin hawa dan kipas jenama 'bodekisme' disuntik dana bagi membesarkan industri ini. Tidak sempurna tidak bermakna ketidaksempurnaan itu harus menjadi tugu kekal sampai akhir hayat. Rumah sendiri tau pula nak disempurnakan.

7. Mengambil contoh klasik yang masih kuat bergayut di fikiran saya adalah apabila saya menemui seorang Menteri Besar (MB) dan berbincang soal politik semasa dan memberi beberapa cadangan kepadanya, jawapan yang diberikan mengalahkan haiwan kena hawar. Katanya, "saya tak minat FB, Twitter dan media sosial ni. Bagi orang lain saja la yang suka sangat guna. Banyak cara lain lagi yang boleh guna." Wakil-wakil rakyat yang ada di bawahnya juga mengangguk-ngangguk deras seperti kepala burung belatuk mematuk pokok. Sambil menggeleng kepala, saya membalas, "Dato' ingat polis dan tentera semuanya suka sangat ka berkawad? Tapi bila dah jadi sebahagian dari tugas, mereka kena buat. Macam tu juga dengan pemimpin-pemimpin politik, wakil rakyat, ketua bahagian dan yang lain tu. Masyarakat dah seperti menjadi trend atau budaya menggunakan medium ini. Jadi apa salahnya Dato' dan yang lain tu guna bagi memudahkan interaksi dengan akar umbi dan mereka yang berhasrat memberi pandangan dan kita juga dapat melihat keluh kesah mereka di bawah". Mungkin perkara-perkara begini buat manusia sakit hati kerana fitrah mereka mahu mendengar apa yang mereka mahu dengar bukannya apa yang mereka perlu dengar.

8. Jika direnungkan apa yang digunakan oleh pemimpin politik dan makhluk-makhluk dalam perimeter jangkauannya, mereka ini lebih gemar tom-tombak makyong dedek dan perisai rotan daripada senjata mutakhir. Samada tak tahu guna, malas berfikir, semangat pahlawan Melaka yang terlalu tebal, jimat kos beli persenjataan yang diperlukan negara untuk guna dana bagi tujuan lain ataupun fikiran selagi berkuasa maknanya rakyat masih menyokong kita.

9. Memang benarlah kata-kata Nikita Khrushchev Man Perdana Menteri Uni Soviet, "Politisi itu sama saja di mana-mana. Mereka akan berjanji membangunkan jambatan walaupun di tempat yang tidak ada sungai". Dengar boleh percaya jangan. Sebelum bertahta kata saya akan dikota, selepas bertahta semuanya auta. Natijahnya, rakyat dipaksa untuk menonton cerita Tom & Jerry kisah kucing kejar tikus yang tak akan tamat sampai kiamat. Yang kaya adalah Walt Disney. Saya suka membaca petikan kata-kata Thomas Carlyle (1795-1881), Ahli Sejarah Scotland dan penulis yang menyebut, "Adalah sia-sia mengharapkan politik menggembirakan rakyat".

Wallahualam.

~ sani ~

Comments

Popular Posts