Buat Jahat Jangan Sekali

Salam,

1. Malaysian Insider melaporkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) bakal menubuhkan sebuah parti politik baru bagi berdepan segala kemungkinan dalam kemelut penyingkirannya sebagai Menteri Besar Selangor. Tindakan TSKI ini mendapat pelbagai reaksi di kalangan rakyat seluruh negara yang mengikuti perjalanan krisis di Selangor ini. Ada yang gelak kuat, gelak kecil, senyum, keliru, gembira, sedih, menangis, benci dan bermacam-macam lagi perasaan yang ada pada manusia.
2. Sebenarnya, tidaklah TSKI dapat memaksa orang lain seronok atau sedih dengan keputusan beliau itu. Samada orang lain akan gelak kuat, gelak kecil, senyum, keliru, gembira, sedih, menangis, benci dan apa saja tidaklah menjadi masalah besar pada beliau dan juga kepada penyokong-penyokongnya kerana apa saja perasaan mereka hanyalah tindakbalas biasa manusia dengan persepsi. Kisah Luqman Al-Hakim dan keldai membuktikan bahawa apa saja yang dilakukan manusia pasti ada saja yang tidak kena. Untuk itu, kita biarkan ianya berlaku tanpa emosi berlebihan kerana tidak ada yang mampu mengubah kisah Luqman Al-Hakim dan keldai itu.

3. Apa yang pasti dan mampu diubah adalah samada untuk menambahkan kekusutan dan kekalutan dalam isu ini yang akan menentukan rakyat akan menyokong parti yang didokong oleh mereka atau membiarkan keyakinan dan kepercayaan rakyat mengesot ke tangki kumbahan. Jika ada yang berkata tindakan TSKI itu tidak memberi kesan kepada parti dan keutuhan parti mereka, ia hanyalah sindrom penafian yang tidak berkesudahan. Di dalam kehidupan ini, tidak ada semua orang akan suka dan tidak juga ada semua orang yang benci kepada kita. Oleh itu, kewujudan parti baru itu nanti jika tidak banyak, sedikitpun pasti menggoyahkan kedudukan parti dan sokongan rakyat kepada parti masing-masing. Seperti yang selalu disebut, satu lebih banyak dari kosong. Satu undi mungkin dilihat tidak banyak, tetapi kekurangan satu undi juga boleh menyebabkan seseorang itu tidak menjadi pemimpin atau kalah. Jika benar satu undi tidak penting, sila hebahkan seluas-luasnya ketika pilihanraya atau sesi pemilihan pemimpin diadakan untuk melihat sejauh mana kesan yang akan menimpa.

4. Gelak ketawa dan sedih tangis bergantung kepada di mana diletakkan hati seseorang itu. Jika hatinya berada dalam genggaman A, maka A lah yang menjadi pahlawan dan B adalah musuh. Begitulah sebaliknya jika B menjadi pilihan hati sudah tentu A berwajah petualang. Petualang atau pahlawan itu sesuatu yang subjektif sepertimana takrifan pengganas. Pengganas bagi seseorang adalah pejuang kebebasan bagi orang lain sepertimana dalam isu pejuang Hamas dan tentera Israel. Rakyat Palestin melihat tentera Israel sebagai pengganas dan Rejim Zionis melihat pejuang Hamas sebagai pengganas. Untuk mencari kebenaran, bukan siapa yang melakukan perkara itu menjadi ukuran, tetapi tindakan mereka menentukan samada dia pengganas atau pejuang kebebesan dan juga petualang dengan pahlawan.

5. Menegakkan benang basah tidak susah bagi ahli sihir atau ahli silap mata, tetapi sesuatu yang mustahil bagi manusia biasa kecuali menggantung benang itu. Oleh yang demikian, kesilapan atau kebenaran itu perlu dicari oleh ilmu dan keikhlasan bukannya ketaatan dan kebebalan. Krisis ini tidak saja mengheret rakyat yang tidak memahami punca kekalutan yang berlaku sekarang, bahkan agama dan bangsa dijadikan modal retorik serta senjata menghukum satu sama lain. Malah ada pemimpin parti bukan Islam sudah berani menggelar pemimpin parti yang dulunya sebantal dan beragama Islam tetapi kini di luar bilik dengan perkataan 'munafik. Ada perkataan yang jika disebut oleh orang Islam kepada Islam boleh diterima tetapi jika disebut oleh bukan Islam ianya menjadi begitu sensitif. Mungkin juga pemimpin parti yang bukan beragama Islam itu ingin membuktikan dia begitu alim dengan ilmu Islam sejak duduk bersama-sama dalam majlis dengan pemimpin parti Islam tidak juga dapat dipastikan. Sehingga ada pemimpin parti 'ultra-kiasu' itu mendakwa dirinya Khalifah Umar hanya kerana tindakan-tindakan memberi bantuan politik kepada orang Melayu yang entah ikhlas atau senjata politik sebagai 'ilmu pengaruh' menjelang PRU akan datang. Oleh kerana itulah ada individu-individu bukan Islam yang memberi salam kepada orang Islam dan ada yang menjawab Wa'alaikum saja dan ada yang diam. Tindakan ini menimbulkan ketidakpuasan hati bukan Islam yang memberi salam dan mendesak kenapa salamnya tidak dibalas. Apabila penjelasan diberikan, ada seorang bukan Islam itu rupa-rupanya menyimpan keratan akhbar tulisan saudara Astora Jabat bahawa salam bukan Islam perlu dijawab. Jika semua masalah boleh dipecahkan dengan hukum akal, maka tidaklah adanya alam ghaib yang menjadi salah satu daripada Rukun Iman bagi yang beragama Islam.

6. Nampaknya, untuk menjulang seseorang tidaklah sesukar menjulang batu sebesar bukit. Apa yang perlu hanyalah mencari sisi cerah seseorang kerana setiap manusia itu akan ada sisi cerah dan sisi gelap masing-masing. Untuk melondehkan aib seseorang pula maka carilah sisi gelap musuhnya itu walaupun dosa pahala sudah jauh diletakkan di luar kandang. Keghairahan menjatuhkan musuh bukanlah sesuatu yang luarbiasa tetapi yang luarbiasa adalah menjatuhkan kawan. Kawan yang banyak membantu dan bersama susah dan senang mungkin kini sudah berwajah musuh sehingga naluri kemanusiaan sudah dinyahkan daripada hati nurani. Teringat kata-kata Tun Dr. Mahathir Mantan Perdana Menteri Malaysia "Tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal".. Jadi bila berkawan, jangan terlalu suka sangat. Bila bermusuh, jangan benci sangat.. Nanti kawan yang jadi musuh, akan londehkan kita.. Manakala musuh yang jadi sahabat, barulah nak puji kita melambung... Jaga percakapan dan perbuatan kita". Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Jangan pula perkataan sekali itu diterjemahkan untuk melakukan berkali-kali.

Wallahualam

~: sani :~




Comments

Popular Posts