Minda Penumpang

Salam,

1. Kisah kenderaan bersesak-sesak di lebuhraya khususnya tol termasuklah di jalan persekutuan baru selesai episodnya. Setiap musim perayaan pengguna jalanraya akan berdepan situasi sama walau apa juga operasi yang dijalankan oleh agensi penguatkuasa hatta bertambahnya badan penguatkuasa. Jika dulunya hanya pihak polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi kini Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) ditambah untuk meningkatkan lagi kualiti perjalanan dan keselamatan. Statistik kemalangan jalanraya walaupun sedikit menurun, namun risiko kemalangan tetap menghantui pengguna jalanraya khususnya penumpang pengangkutan awam. 

2. Kebanyakan punca kemalangan jalanraya melibatkan pengangkutan awam iaitu bas yang direkodkan adalah akibat kecuaian dan kesilapan pemandu. Masyarakat kita mungkin selama ini diasuh dan dibenam dalam minda dengan perkataan 'penumpang'. Jika kita menumpang tidur di rumah saudara atau kawan, kita akan mengingatkan diri kita dan juga sesiapa juga yang ikut menumpang agar menjaga tutur kata, sikap dan apa saja agar tidak menyinggung perasaan pemilik rumah. "Ingat! kita ni menumpang rumah orang!". Inilah ayat yang sentiasa diperdengarkan kepada keluarga kita jika menumpang tidur di rumah kenalan atau saudara-mara. Jika menumpang kenderaan orang juga perkara sama turut ditekankan. Lama kelamaan, pemikiran sedemikian sudah menunjang dalam benak masyarakat kita sehingga apa saja yang dilakukan oleh pemilik rumah atau kenderaan hanya dipendamkan begitu saja. Biar mati anak jangan mati adat sudah sebati dalam masyarakat kita. 

3. Mungkin pemandu-pemandu bas juga memahami apa yang difikirkan oleh penumpang dan menganggap bahawa lakukanlah apa sekalipun, penumpang tidak akan berani menegur, mereka hanya penumpang. Penumpang pula akan berfikir, jika aku menegur pemandu maka penumpang lain akan 'mengecam' aku penumpang naik tocang. Natijahnya, biarlah bas menghentam penghadang jalan, kenderaan lain malah terjun gaung.

4. 'Minda Penumpang' ini tidak terhenti di situ saja, ia semakin melarat-larat sehingga ke pentas politik negara. Pemimpin yang bertindak umpama pemandu dan rakyat selaku penumpang sudah disumbat-sumbat di telinga dan otak bahawa kita hanya rakyat dan apa lagi kalau bukan penumpang. Sebagai penumpang, jangan cuba bersuara menegur pemandu (pemimpin) walau apapun yang dilakukan oleh mereka. Sebarang percubaan menegur akan dihambat turun dari kenderaan mirip kenyataan beberapa pemimpin pertengahan parti politik bahawa "kalau tak suka, sila pindah dari negara ini". 

5. 'Minda Penumpang' ini jika dibiarkan berterusan tanpa usaha mengawal pemandu (pemimpin), sudah pasti akan menerjunkan kenderaan (negara) ke dalam gaung atau setidak-tidaknya terjebak dalam kemalangan yang akan memberi risiko kecederaan dan kemalangan jiwa. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Sudah tentu ada yang akan berkata "habis kalau bukan penumpang nak panggil penenggek?!". Apapun istilah yang bakal digunakan, yang lebih penting adalah bagaimana pola fikir dibentuk agar rakyat dibenarkan berfikir mereka bukan penumpang tetapi adalah orang-rang yang memberi amanah kepada pemimpin untuk menumpuk kekuasaan. Tangan-tangan rakyatlah yang menentukan samada mereka layak berada di situ atau sebaliknya. Begitu jugalah dengan pemandu bas harus diingatkan bahawa penumpanglah yang membolehkan dapur rumahnya berasap dan tidak naik bas dengan percuma. 

6. Pemimpin dan pemandu, rakyat dan penumpang bas perlu menjernihkan minda masing-masing tentang siapa mereka dengan bermuhasabah betapa di antara mereka saling memerlukan dan bukan saling memperalatkan. Sun Tzu panglima perang China klasik yang tersohor berkata, "Kepemimpinan adalah gabungan unsur-unsur kecerdasan, sifat amanah (dapat dipercaya), rasa kemanusiaan, keberanian, serta disiplin. Hanya ketika seseorang memiliki kelima unsur ini menjadi satu dalam dirinya, masing-masing dalam posisi yang tepat, baru dia layak dan mampu menjadi seorang pemimpin sejati." 

Wallahualam

~: Sani :~


Comments

Popular Posts