'Tak kan Melayu hilang di dunia'

Salam,

1.  Ungkapan 'Tak kan Melayu hilang di dunia' cukup tersohor kerana dikatakan pernah dilafaz oleh Laksamana Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala. Sejauh mana kebenaran kata-kata itu pernah diungkap oleh Hang Tuah tidak lah dapat dibuktikan kerana Hikayat Hang Tuah sendiri lebih bersifat mitos.

2.    Namun, sejak sebelum merdeka pun ungkapan ini sering disebut oleh bangsa Melayu bagi menyemarakkan semangat mempertahankan bangsa dan tanahair selari dengan kisah Hang Tuah lima bersaudara itu. Malah lebih melucukan, ada yang lagaknya lebih dari Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Mereka mungkin mengangkat diri mereka sendiri menjadi Hang Lawak dan Hang Bodo sehingga tindak-tanduk mereka memalukan bangsa Melayu. 

3.    Pantang jumpa keris mesti nak dicium, jumpa saja cium selepas tu menangis meminta maaf selepas tindakan itu dilihat sebagai gugatan terhadap bangsa lain di negara ini. Itukah semangat kepahlawanan Melayu yang dibangga-banggakan? Benarkah Hang Tuah sentiasa mencium keris? Agaknya mereka telah mengkaji secara mendalam sejarah Hang Tuah dan sejarah keris sehingga tahu semua tentang Laksamana Hang Tuah dan keris. Jika saya diberi pilihan, saya lebih memilih untuk mencium tangan ibu saya dan tangan Tuan Guru serta ulamak muktabar. Tetapi jika alang-alang nak jadi jahat, elok saja dicium Luna Maya (hahaha).

4.    Hang Tuah tidak mencium keris mereka mencium keris, Hang Tuah tidak berjuang demi harta dan pangkat tetapi itulah yang mereka kejar. Hang Tuah Tuah tidak pernah pula tercatat di mana-mana catatan mengamalkan korupsi tetapi mereka pengamal dan pendokong korupsi tegar malah cukup terkenal sebagai bapa rasuah.

5.   Hang Tuah cukup setia kepada raja tetapi mereka memperalat dan memperlekehkan raja. Di kalangan mereka pula bukan setia dan taat kepada pemimpin kerana kesetiaan plastik yang diselindungkan tetap kelihatan kerana ketaatan sebenar mereka adalah kepada harta, wang ringgit dan pangkat serta jawatan. 


6.   Hang Tuah tidak rasis tetapi mereka cukup gemar menjadikan rasisme sebagai senjata ketika kuasa sudah di penghujung halkum. Malah Hang jebat juga tidak rasis walaupun dituduh sebagai penderhaka kepada raja sedangkan hakikatnya beliau bukan penderhaka tetapi penegak keadilan dan manusia yang memegang erat prinsip "Raja Adil Raja Disembah Raja Zalim Raja disanggah". Ungkapan ini juga turut dimanipulasi oleh golongan opportunis untuk meraih sokongan di kalangan yang buta politik. Jebat tidak mengkhianati kawan dan sanggup mati demi kawan tetapi mereka pula mengkhianati kawan hingga mati jika dengan tindakan itu dapat menjulang mereka mendapat jawatan. 

7.   Lakonan Hang Tuah dan Hang Jebat tidak layak walau secebis untuk diciplak oleh manusia-manusia yang hidup bergelumang dengan hipokrasi dan menjadi parasit kepada bangsa, agama dan tanahair ini. Kata orang, 
"menjadi orang baik atau jahat itu pilihan,tapi jangan sekali-kali memilih untuk menjadi orang munafik".

Wallahualam

Comments

Popular Posts