JIKA JEBAT MASIH ADA

Salam,

1. Rakyat semakin keliru dengan keadaan ekonomi, politik, sosial dan keselamatan negara yang kian berkecamuk. Pada siapa harus mereka harapkan? Kedudukan kewangan mereka semakin terhimpit dengan inflasi yang membengkak, pendapatan yang menguncup dan kuasa beli yang makin tercorot. Skandal kewangan satu-persatu dibongkar dan tidak ada usaha jelas dapat membantu menyelesaikan semua itu melainkan 'tindakan penyimpangan' ataupun diversion bagi menambah kekeliruan sedia ada demi menutup bangkai gajah. Parti yang diharapkan membela dan mempertahankan nasib rakyat sudah tidak lagi berfungsi seperti yang diharapkan. Dengan umpan 'dedak' yang cukup buat pemimpin di segenap peringkat, semua yang hitam menjadi putih.

2.  Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat rakyat gagal membawa negara ke landasan yang mampu memakmur dan meningkatkan taraf hidup mereka. Cukai yang membebankan ditambah rasionalisasi subsidi menambah lagi keperitan hidup yang dilalui rakyat sekarang. 

3.   Situasi begini sememangnya menjadi punca rakyat mencari hero dan superhero untuk membawa mereka keluar dari situasi hidup yang payah lagi memayahkan ini. Pembangkang yang diharap-harapkan rakyat untuk menyelamatkan telah bertukar menjadi pihak yang perlu diselamatkan. Oleh itu,mana mungkin mereka dapat menyelamatkan rakyat di kala begini?

4.    Rakyat yang sudah putus harapan dan amat kecewa dengan situasi ketika ini terpaksa mengharapkan Muhyiddin agar tidak lagi berlengah mencabar Najib dan terpaksa memaksa ketuanya itu memberi laluan kepadanya untuk membaiki bahtera parti dan kepimpinan negara yang kian tenggelam. 

5.   Jika ada yang berkata Muhyiddin belum punya sejarah sebagai pembelot terhadap ketuanya seperti yang dicanang oleh golongan yang mengampu Najib dan sekutu-sekutunya, maka harus diingat bahawa jika cakap-cakap pengampu yang perlu dijadikan pertimbangan, najis dikata pizza dan pizza dikatakan najis.

6.   Jebat mencabar Sultan Melaka bukan kerana 'belot' tetapi kerana Sultan sudah bertindak membabi-buta menzalimi teman karibnya Tuah! Melaka sudah dirasuk fitnah dan dikuasai Raja Mendeliar dan Si Kitol yang menjadi penasihat yang jahat dan sedang menjahanamkan Melaka. Apakah Jebat perlu tunduk hanya untuk tidak digelar pembelot dan penderhaka? Jebat memilih mati dari menjadi pengampu dan 'yes man'. Itulah Jebat bukan musibat yang hanya tahu merembat dan menanti disumbat.

7.   Jebat! Bangkitlah kamu walau di mana kamu berada kerana langkah dan sanggahmu tidak hanya di Melaka, tetapi di mana saja ada Raja Mendeliar dan Si Kitol bermaharajalela.

Wallahualam

Comments

Popular Posts