DUIT RAYA

Salam,

1.   Tradisi memberi duit raya tetap utuh tanpa gugatan tidak seperti hal-hal lain yang kian pupus. Pakaian dan makanan tradisi serta adat ziarah menziarahi sanak saudara serta kubur juga semakin pudar diganti dengan pakaian yang dianggap lebih ke sesuai dengan zaman, ziarah-menziarahi berganti dengan kunjung mengunjung pasangan kekasih dan kubur menjadi destinasi terakhir sebelum diri sendiri berada di bawahnya. Kad raya sudah berganti dengan imej digital di whats app, telegram, we chat dan macam-macam lagi. Namun, bagi duit raya, ia bukan saja kekal utuh, malah diperkemas dan dinaikkan jumlahnya. Sampul raya berbagai bentuk dan berbagai kaedah pemberiannya. 

2.  Menyentuh tentang duit raya, pastinya kita terbayang kanak-kanak yang terlonjak-lonjak kegembiraan mendapat duit raya. Berapakah jumlah duit raya kanak-kanak jika dihimpun seluruh negara? Rasanya mencecah jutaan ringgit juga kerana jika dilihat dari angka jumlah penduduk negara ini 30 juta orang, hampir 16 juta terdiri daripadanya orang Melayu yang sudah pastinya menyambut lebaran. Jika setiap orang RM1 pun sudah genap RM16 juta dapat dikumpul. Pastinya lebih kan? 

3.   Anak-anak golongan yang kaya lumrahnya mendapat lebih banyak duit raya berbanding anak-anak orang miskin lantaran jaringan persahabatan ibu bapa dan keluarganya juga terdiri dari kelompok katya. Orang miskin diperlukan oleh yang kaya hanya untuk membaca talkin, menggali kubur, dan mengkafankan mayat mereka nanti serta membersih kawasan serta mencuci ketika mereka masih hidup.

4.    Orang kaya tidak beri RM1 tetapi mungkin RM50 atau RM100 dan lebih jadi duit yang dikumpul anak-anak mereka sudah pastilah jauh lebih banyak daripada anak-anak orang miskin di kampung dan taman perumahan murah walaupun berpeluh-peluh mengayuh basikal atau berjalan kaki mencari duit raya. Walaupun ada sesetengah tempat di kampung pun sudah ada tingkap 'drive thru' duit raya kerana kanak-kanak tidak lagi berminat untuk makan, minum dan bersalam-salaman, mereka tetap gagal bersaing dengan anak orang kaya dari segi jumlah kutipan duit raya. 

5.    Jika kanak-kanak mendapat duit raya itu perkara biasa tetapi jika yang sudah dewasa dan tua masih mendapat duit raya itu sedikit luarbiasa. Tetapi tidak lah semua orang dewasa dan yang dah tua mendapat duit raya cuma mereka-mereka yang berlegar di tampuk kuasa. Berapa jumlah bapak-bapak polisi mendapat duit raya? Semakin tinggi pangkat dan semakin berkuasa di dalam unit yang dijawatnya, maka semakin tinggilah jumlah duit raya yang diperolehinya. Duit raya boleh datang dari pengusaha lori, penyeludup barang kawalan dan pelbagai barang merbahaya di sempadan negara, pusat hiburan, pelacuran dan aktiviti perjudian. Bapak-bapak yang menjaga jalanraya pula tak kurang juga simpati pemberi duit raya kerana mereka semuanya tidak mampu hidup dan berhari raya tanpa duit raya dari dermawan dan hartawan, Di pintu sempadan juga yang mengecop dokumen perjalanan, dan mengutip cukai juga meriah dengan duit raya sesuai dengan pangkat dan jawatan masing-masing. Yang kononnya mengawal harga barang dan menentukan ketulinan barangan dijual juga tak kalah dengan duit raya setiap kali lebaran. 

6.    Pastinya jumlah duit raya orang dewasa dan tua ini jumlahnya jauh lebih besar diperolehi berbanding dengan apa yang kanak-kanak perolehi. Walaupun jika kanak-kanak tahu tentang perkara ini pastinya mereka tidak berpuashati dan menganggap tidak adil, jawapan bapak-bapak itu nanti ialah, "masa kamu akan sampai juga untuk meneruskan kutipan duit raya seperti kami apabila kamu berada di tempat kami" jika tidak mengawal gelora nafsu ingin mendapat 'duit raya'. 

7.   Samada adil ataupun tidak, itulah iklim lebaran yang berlaku setiap tahun dari masa ke semasa. Itu belum lagi dikira 'hamper' yang berlori-lori dan berpikap-pikap ditempah untuk dihantar ke rumah bapak-bapak yang menumpuk kuasa. Semuanya adalah fenomena yang berterusan tanpa ada yang peduli selagi ianya diseru supaya dikategorikan perlu 'bersangka baik' dan orang lain jangan menyibuk. 

8.    Pastinya akan ada yang melenting bahawa jangn menuding jari dan bersangka buruk pada orang lain. Sebenarnya tidak perlu mereka yang tidak mendapat 'duit raya' itu melenting kerana kisah ini hanya melibatkan yang mendapat 'duit raya'. Yang tidak mendapat 'duit raya' atau menolak 'duit raya' tidak perlu marah-marah mengatakan bukan semua yang dapat dan naik angin seluruh badan. Ini bukan tuduhan tetapi realiti yang membelit sebahagian daripada bapak-bapak penumpuk kekuasaan. Bapak-bapak petugas yang dekat dengan orang-orang politik juga mendapat 'duit raya' dengan jumlah yang cukup besar. Bloggers dan facebookers pun mendapat 'duit raya' bukan sedikit dari tokoh-tokoh politik ternama, inikan pula yang 'rekomen' dan menasihat tokoh-tokoh politik untuk terus dapat mempertahankan kuasa tentulah 'sampul 'duit raya'nya lebih besar. 

9.    Ketika masih berkhidmat dulu pun jika ada yang berkata organisasi saya diami itu korup, saya tidak marah dan tidak melenting kerana mereka melihat apa yang berlaku di depan mereka dan apa yang menjadi rahsia terbuka. Dengan itu saya menganggap kata-kata mereka itu ditujukan pada yang hanya mendapat 'duit raya' dan bukan saya. Itu adalah realiti yang saya sendiri nampak dan tahu ianya berlaku. Kenapa perlu marah jika kita tidak terpalit? Hanya yang terpalit akan marah. Kenapa kita tidak marah pada khatib yang membaca khutbah menyentuh tentang kesalahan itu dan ini melibatkan orang melayu walaupun kita melayu? Ia adalah kerana kita beranggapan khatib tujukan perkara itu kepada melayu lain bukan kita. Jika khatib menyebut tentang mereka yang zalim, khianat dan menyeleweng khazanah negara ianya berdosa serta akan mendapat siksaan yang pedih kenapa kita tidak marah? Kerana kita menganggap hanya yang melakukan perkara itu yang patut terasa bukan kita walaupun yang patut terasa tidak ada di situ. 

10.   Apa yang cuba diketengahkan ini adalah sekadar wadah untuk kita sama-sama berfikir tentang budaya yang kian parah menular dalam masyarakat kita hingga akhirnya menjadi budaya penyebab tidak lagi ada rasa bersalah tentang isu sebenar yang meruntuhkan negara iaitu 'rasuah' yang ada disebut tumbuk rusuk, duit kopi, korupsi, duit bawah meja, kickback dan berbagai lagi ungkapan yang terlalu panjang untuk disebut satu persatu. Semuanya sudah, sedang dan akan terus berlaku dalam masyarakat jika kita membiarkan 'duit raya' menjadi manifesto setiap kali menyambut lebaran. Biarlah kanak-kanak saja yang riuh-rendah dengan sumbangan duit raya dan yang dah tua-bangka cukup sekadar 'duit halal' kerana nanti sambutan rumah terbuka yang menggunakan 'duit ray' itu juga menjadi modal untuk menjamu orang lain untuk sama-sama melanggah dan menelan makanan hasil daripada puncanya 'duit raya'. Keadaan semakin membimbangkan kerana bukan saya tidak ada yang mahu mengekang malah ada pula yang mempertahankan penyakit ini.

11.   Yang benar-benar memerlukan tidak mendapat duit raya seperti anak-anak yatim, asnaf dan yang kurang upaya, sedangkan yang sudah kaya dan berharta dan wang menggunung dihambur-hambur pula kepada mereka. Bagaimana pula dengan wang dalam akaun peribadi dalam Ambank dan 'bang-bang' bunyi mercun hasil pemberian 'duit raya'?  Ia ibarat yang lapar dibiarkan mati kelaparan dan yang kenyang terus disumbat makanan sehingga termuntah dan terberak merata-rata akibat berlebihan makanan. Apakah ini yang dinamakan rasionalnya manusia? Semakin maju dan semakin bertambah banyak wang dan harta rupa-rupanya bertambah tidak siuman manusia agaknya. 

Sekadar renungan... 

Wallahualam



Comments

Popular Posts