Glorious Defeat


Salam,

1.   Malam ini saya hanya ingin berkongsi sedikit pandangan ringkas yang terbuku di hati ekoran isu-isu terkini berkait dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) bagi sesetengah orang dan penamatan bagi yang lain. Apa pun istilah digunakan, TSMY  tetap menjadi mantan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang diakhiri riwayat kerjayanya secara kurang beradab atas alasan yang paling tidak masuk akal. Namun, harga sebuah kebenaran sudah pasti lebih mahal daripada pembohongan dan itulah yang dipilih oleh TSMY untuk menyatakan kebenaran.

2.   Agaknya, itulah yang menjadi pilihan TSMY kerana mungkin juga beliau mengagumi Karl Von Clausewitz ahli strategi dan panglima perang berbangsa Prusia yang menulis buku 'On War' mengenai seni dan falsafah perang. Di dalam buku tersebut, Clausewitz menyebut tentang "the pride of glorious defeat" dan saya melihat TSMY berjaya melakukannya buat masa ini. Clausewitz juga menyarankan panglima tentera patut berundur bila terdesak. Katanya, "Bukalah hati kamu untuk menghadapi pengakhiran yang gemilang" kerana ia boleh jadi kekalahan atau kemenangan. 

3.  Hanya mereka yang berjiwa besar akan memilih berundur ketika terdesak sedangkan ramai memilih untuk terus mengasak. Lihat saja ketika kita melalui laluan yang hanya mampu dilalui sebuah kenderaan, berapa ramai yang mahu berundur? Yang ramai akan terus mengasak ke depan sehingga akhirnya semua terkandas tidak boleh bergerak. 

4.   Apa yang berlaku nampaknya, TSMY lebih berjiwa besar berbanding bosnya yang begitu gigih mempertahankan kuasa. Sepatutnya, Najib menuruti nasihat Clausewitz untuk berundur bila terdesak kerana ternyata beliau bukan saja terdesak malah cukup sesak. Najib cukup sesak nafas dan sesak masa yang ada untuk membaiki kesilapannya dalam percaturan politik hasil daripada telinganya terlalu luas dihalakan kepada penasihat-penasihat yang super rakus dan haloba merebut perhatian beliau sedangkan begitu ramai rakyat yang ikhlas terpekik terlolong memberitahu kapal sedang karam dan selamatkan diri kamu. 

5.   Tetapi, mengimbau kembali kisah Si Luncai, "biarkan.. biarkan.. biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya" kerana nasihat tak mahu didengar dan teguran dianggap cercaan. Apa lagi yang mampu kita semua lakukan selain, "biarkan.. biarkan.. biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya?". Berbisik sudah, nasihat sudah, menegur sudah, mengkritik sudah, mencarut pun ramai yang sudah. Akhir kalam, tepuk dada, jadilah King Kong sebab yang ada tak ubah seperti The Planet of The Apes. "Defeat is not the worst of failures. Not to have tried is the true failure."

Wallahualam. 

Comments

Popular Posts