ICE BREAKING

Salam, 

1.         Ibadah puasa yang berlalu baru-baru ini terus mengulangi hipokrasi dan penonjolan diri ataupun kejahilan yang mendepani rasional mahupun kealiman yang sepatutnya. Setiap kali sampai Ramadhan, ada saja orang yang akan bertanya “kamu puasa tak hari ini?”. Apakah dia berhajat untuk mengajak orang yang ditanya itu untuk makan atau menunjukkan dia berpuasa dan orang lain tidak mampu berpuasa? Ataupun soalannya itu sekadar soalan yang menjadi kebiasaan ketinggian budi bangsa Melayu. Bangsa Melayu sering menjadikan soalan sebagai ‘ice breaking’ dalam banyak hal. Jika seseorang sedang mencuci kereta dan dia melintas rumah sahabat itu, maka soalannya adalah “cuci kereta ka?” (fikir sahabat itu pula takkan aku sedang cuci lori?) dan jika seseorang sedang makan maka soalannya pula “makan ka?” dan kita yang sedang makan akan fikir takkan aku sedang mandi?). Begitulah agaknya soalan tentang puasa ke tidak tadi. 

2.         Mengungkap kata-kata Emha Ainun Nadjib dalam bukunya “Tuhan Pun Berpuasa”, “puasa merupakan satu-satunya jenis ibadah yang wujudnya sangat rahasia, bagi Allah sendiri maupun bagi hubungan antara pelaku puasa dengan Tuhannya. Tak seorang pun bisa  benar-benar mengetahui apakah orang lain puasa atau tidak. Sebab, puasa cukup dilanggar dengan meneguk sedikit air di kamar mandi, kemudian ia bisa tetap dilihat oleh orang lain sebagai orang yang berpuasa. Kalau kita menghadiri acara buka puasa bersama, tidak ada seorang pun yang dapat menjamin bahawa mereka yang datang benar-benar orang yang berpuasa”.

3.         Begitu jugalah dengan kisah lucu apabila munculnya lebaran. Masing-masing terlalu sibuk untuk menyucikan diri dari dosa dengan bermaaf-maafan sehingga niat menyucikan dosa ditimbal dengan dosa-dosa baru apabila bersalaman dengan bukan muhrim. Tidak tahulah samada mereka tidak tahu, benar-benar ingin mendapat keampunan atau memasang jerangkap samar untuk mendapat nikmat tangan-tangan gebu yang lunak dan enak. Tidak cukup dengan kad raya, sms, what’s app, we chat, line, email dan bermacam lagi medium komunikasi, bersalaman tetap menjadi pilihan.

4.         Memohon maaf sudah menjadi seperti pesta bukan lagi niat untuk sampai ke langit tetapi memenuhi impian nafsu serakah. Yang tidak benar-benar kenal dan belum tentu pernah berdosa fizikal dan batin juga diminta keampunan sedangkan manusia-manusia yang disedari dan diketahui pernah dikhianati, difitnah, dizalimi, ditipu dan bermacam dosa tidak pula diminta kemaafan. Memang pelawak di mana-mana dan setiap masa muncul juara baru silih berganti. SMS dan apa saja medium komunikasi akan dipenuhi ayat-ayat kemaafan luarbiasa dengan bahasa yang penuh sastera tanpa cacat cela walaupun pengirim diketahui sebaris perkataanpun sebelum itu ejaannya tunggang langgang. Tidak mengapa jika ia diambil sekadar jenaka Ramadhan dan Syawal.

5.         Sejujurnya, jika difikir secara rasional, semakin tinggi pangkat dan jawatan, semakin bertambah dosanya dengan orang bawah berbanding orang bawah dengan orang atas kecuali soal umpat dan fitnah. Semakin tinggi jawatan dan pangkat maka semakin besar tanggungjawabnya dan jika tidak dilaksanakan maka berdosalah ia. Namun, berbondong-bondong yang di bawah memohon maaf kepada yang di atas sedangkan yang di atas mungkin merasakan tidak ada secebis dosa kepada yang di bawah. Tidak mengapa juga kerana itulah resam dunia yang penuh dengan kedewataan.

6.         Sempena Syawal pula, tradisi rumah terbuka gegak gempita di sana sini. Majlis menjamu orang kenyang ini membuktikan betapa semangat kejiranan dan niat mengukuhkan ukhwah sesama umat terus dipijak. Jiran sebelah dan di keliling tidak dijemput walaupun bukanlah mereka terlalu ‘lapar’ untuk menjamah makanan itu tetapi dari sudut moralnya, memang biadab. Riuh rendah dengan lagu raya dan gelak ketawa seakan-akan hanya mereka yang wujud di sebuah pulau yang dibeli oleh mereka. Persetan dengan jiran dan sesiapa yang ada. Duit kami makanan kami apa peduli. Tidak mengapa juga semuanya kerana kata orang dunia sudah tunggang langgang. Yang lapar dibiarkan mati tanpa makanan, yang kenyang dijamu hingga mampus.

7.         Inilah tarbiah Ramadhan dan dilanjutkan kepada Syawal kepada sebahagian besar daripada kalangan umat Islam ketika ini. Mungkin bahana bazar Ramadhan yang disumpah seranah pelanggan angkara aktiviti ‘cekik darah’ dan makanan basi yang telah merasuk hingga yang membeli makanan dan minuman juga menjadi manusia yang tidak peka tetapi pekak. Menyebut tentang pekak, teringat pula tentang mercun yang turut memekak siang malam kerana masalah inflasi akan dapat diatasi dengan membakar mercun yang diberi secara percuma oleh penjual-penjual mercun sebagai hadiah lebaran. Entahlah….

Wallahualam


~: sani :~


Comments

Popular Posts