KETUM

Salam,

1. Sebentar tadi seorang kawan berbangsa Cina menghubungi telefon bimbit saya memaklumkan lelaki Cina yang mengecat rumah saya sebelum Idulfitri baru-baru ini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star. Difahamkan dia mengalami bengkak tangan yang luarbiasa. Memang saya sudah nampak tangan kanannya bengkak semasa mengecat rumah tempohari. Cuma bila ditanya jawabnya terjatuh sebelum ini. Mengikut kawan saya yang memaklumkan berita ini bengkaknya mungkin disebabkan terlalu banyak meminum 'ketum'. Saya ada bertanya dia semasa mengecat hari itu banyak bungkusan plastik dengan lebihan minuman yang ditinggalkan dan dia mengaku meminum 'ketum' untuk meningkatkan tenaganya semasa bekerja. Saya hanya berpesan jangan terlalu banyak kerana banyak kesan buruk benda sebegitu. Tetapi katanya tanpa 'ketum' dia akan menggigil sakit sendi sana sini tak dapat bekerja. Bagi saya sudah kebetulan kerja separuh siap dari hadapi masalah kerja tak siap, maka untuk memudahkan cerita 'lantak kau lah!". Namun, harapan bengkak yang dihidapinya itu akan sembuh selepas pembedahan nanti.

2. 'Ketum' ini jika disambung dengan penambahan lain boleh jadi 'ketumbukan'. Ketumbukan dalam terjemahan biasa adalah pasukan atau kumpulan. Mungkin juga penagih dan peniaga 'ketum' ini juga mempunyai pasukan atau ketumbukan yang cukup hebat kerana sehingga kini masih berjaya bertahan dalam dunia perniagaan dan transaksi perniagaan juga telah memberi rahmat dan kekayaan kepada peniaga sementara pembeli/peminum pula semakin papakedana. Ketumbukan ketum ternyata lebih hebat berbanding agensi penguatkuasa yang mempunyai pusat latihan dan jurulatih yang berpengalaman. Mungkin ketumbukan ketum dilatih di Israel atau Briged AlQassam sehingga menjadi begitu hebat. Tetapi sehingga kini belum ada laporan mendakwa ketumbukan ketum menggali beratus-ratus terowong, mempunyai senjata-senjata canggih, peluru berpandu atau penembak tepat sepertimana pejuang-pejuang AlQassam namun mereka tetap unggul dan tak mampu ditewaskan. Jika mereka mempunyai kemampuan sedemikian matilah kita semua.

3. Agenda menggantikan Akta Racun yang digunakan sekarang terhadap kesalahan berkaitan 'ketum' sehingga kini masih berada antara bumi dan langit ke tujuh. Mungkin terlalu sukar memikirkan cara bagaimana untuk meminda Akta Racun kepada Akta Dadah yang sering dijadikan alasan oleh pihak penguatkuasa kenapa mereka gagal membanteras kegiatan penjualan dan membeli 'ketum'. Terlalu sukar atau bimbang bala tentera ketumbukan ketum tidaklah dapat dipastikan. Yang pasti, sidang parlimen untuk meminda dan membolehkan pihak penguatkuasa bertindak dengan lebih efisien masih buntu. Hanya istilah 'ketum' yang menjadi bahan jenaka sinis untuk menyindir manusia-manusia yang dilihat bengap dan bongok sebagai 'mabuk ketum' yang tetap unggul. 

4. Sesungguhnya, persepsi tidak sentiasa selari dengan realiti. Alasan apa yang digunapakai sekalipun tidak mampu membentuk persepsi positif terhadap agensi penguatkuasa apabila ketum yang berleluasa ditepis dengan silat pulut bahawa angkara undang-undang mereka gagal mengawal dan membanteras sedangkan kesalahan kecil lain diheret dan ditunjal-tunjal menuju kandang pesalah. Bukan kisah dongeng jika ada yang berkesempatan untuk pergi ke kawasan FELCRA Lubuk Sireh Perlis dan bertanya siapa anggota penguatkuasa yang bukan saja tidak mengambil tindakan, bahkan turut bersama-sama meminum ketum (katanya percuma) dengan penagih tegar ketum yang lain. Pengusaha perniagaan ketum yang ada katanya sudah mencapai tahap membanggakan impot ekspot kata P Ramlee. Apa tidaknya jika lokasi itu dengan sempadan negara jiran jika berlari pun boleh sampai walaupun sedikit penat. 

5. Ketum tidak bersedirian lantaran ketumbukan adalah kekuatan. Ketum perlu berjinak-jinak dengan rasuah dan rasuah pula akan sangat jinak dengan penguatkuasa. Tanpa kuasa, rasuah pun meluat untuk mendekati mana-mana orang. Oleh yang demikian, soal benar atau salah tidak penting kerana 'persepsi' mendominasi siapa benar siapa salah. Tahap rasuah sukar diukur kerana sifat rahsianya. Kita tidak dapat mengetahui tahap sebenar rasuah dan mengetahui samada tahap rasuah dalam negara semakin meningkat atau turun dengan hanya melihat kepada jumlah kes yang disiasat atau didakwa. Penurunan jumlah kes yang disiasat mungkin menandakan kelemahan dalam penguatkuasaan. Justeru itulah ukuran yang paling kerap dipakai untuk rasuah adalah persepsi orang ramai. 

6. Ketum semakin inovatif dan kreatif proses untuk membolehkan ia dijual. Ada yang menggunakan ubat nyamuk sebagai bahan campuran dan ada ditambah dengan ubat batuk. Untuk menentukan ketum yang diproses itu tidak membawa kesan sehingga kematian serta merta, anak-anak ikan dilepaskan dan jika ikan-ikan itu hanya kelihatan pening maka ia dianggap sudah sesuai untuk ditogokkan kepada pelahap-pelahap ketum yang terjelir lidah menanti ketibaan piala ketum sejak awal pagi. Memang benar kata orang, 'rahmat disebalik dugaan dan keuntungan di sebalik musibah. Penogok ketum mampus, peniaga kaya. 

7. Sama-sama kita tunggu dan lihat sampai kemana pentas maharaja lawak ini akan berterusan. Tidak ada batas sempadan suku akhir, separuh akhir dan akhir. Yang ada nanti adalah akhir yang diakhiri oleh "khiaaaaaqqq Tuiihh!.

Wallahualam

~: sani :~


Comments

Popular Posts