Movie atau Move?

Salam,

1. Berantakan dalam Pakatan Rakyat (PR) semakin hari semakin meruncing. Ketiga-tiga komponen dalam PR mempunyai agenda masing-masing namun tidak ada yang mengakui agenda mereka menjadi punca berantakan. Pendokong parti dan mereka yang di dalam parti namun berkiblatkan individu dalam parti yang memusuhi parti sendiri sehingga bengkak urat leher mempertahankan pendirian masing-masing yang dianggap syumul dan tidak mengkhianati perjuangan PR. Perjuangan PR nampaknya bukan untuk kepentingan rakyat sebaliknya hanya untuk menumbangkan BN. Jika hanya untuk menumbangkan BN, maka itu belum tentu akan memberi kepastian kepada rakyat bahawa mereka akan terlepas dari bebanan yang ditanggung sekarang di bawah pemerintahan BN. Bahkan apa yang dibimbangi adalah berlaku situasi keluar mulut buaya masuk mulut naga. 

2. Suara-suara kononnya dari langit pula seolah-olah sesiapa yang tidak menelusuri jalan yang mereka pilih itu adalah terdiri di kalangan mereka yang naif, sempit mindanya, bodoh politik dan hanya melihat secebis isu dari isu yang lebih besar. Merekalah yang maha mengetahui sehingga apa yang dirancang di bilik sulit Ketua Umum semuanya dengan jelas diketahui mereka. Segala kesalahan Tan Sri Khalid Ibrahim hanya mereka yang tahu dan orang lain tidak tahu. Kebodohan Tuan Guru Hadi Awang (TGHA), dan Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dalam kocek mereka sahaja walaupun kelahiran mereka itu ketika TGHA dan TGNA sudahpun masak dalam kancah politik. PAS telah melalui detik sukar dan senang, kalah menang sejak lama dan itu mendewasa serta mematangkan PAS. Jika PAS hanya ingin menang dan tidak mahu menerima kekalahan, sebaik-baiknya PAS menyertai kelompok seperti Hizbut Tahrir yang tidak menerima sistem demokrasi dan hanya meletakkan matlamat mewujudnkan negara yang menegakkan sistem khalifah di negara ini. Namun, PAS terus menyertai pilihanraya atas kepercayaan bahawa hanya melalui pilihanraya saja perubahan pemerintahan atau kerajaan akan berlaku. Jika itu yang dipilih, sudah pasti akan ada situasi kalah dan menang dan jika kalah sekalipun, terimalah dengan hati yang terbuka. 

3. Hasil pemerhatian beberapa pihak, apa juga alasan yang digunakan oleh pendokong kelompok maksum yang hanya melihat krisis di Selangor ini berpunca daripada keengganan TSKI meletak jawatan dan disokong PAS, jika disaring dan dihimpun dengan ikhlas tanpa memihak, semuanya hanya berakarkan satu alasan iaitu untuk menyngkirkan BN. Tidak salah menyingkirkan BN jika itu yang dikehendaki rakyat. PRU12 dan PRU13 sudah tumbuh harapan besar di kalangan rakyat untuk berubah namun ternyata masih belum cukup untuk menumbangkan BN. Pencapaian yang paling hampir untuk menundukkan BN adalah dalam PRU13 dengan kedudukan kerusi parlimen BN memenangi 133 kerusi dan PR 89 kerusi yang membawa kepada kemenangan BN dengan majoriti mudah. Namun demikian, mengikut perkiraan PR, rakyat secara keseluruhannya menolak BN apabila undi popular dilihat memihak kepada PR atas justifikasi mereka walaupun BN mendapat 133 kerusi Parlimen, undi popular BN hanya mencapai 46 peratus berbanding undi popular rakyat kepada PR yang mencecah 50.3 peratus.

4. Momokan kisah undi popular ini bagaimanapun tidak mampu direalisasikan kepada perubahan kerajaan kerana kaedah pilihan raya yang telah diterima pakai oleh Malaysia sejak mula lagi (termasuk di banyak negara maju lain seperti Britain) adalah sistem first-past the-post,  iaitu parti mana yang mendapat 112 kerusi dahulu adalah pemenang dalam PRU-13 dan berhak membentuk kerajaan. Jumlah undi dikutip secara keseluruhan tidak pernah diterima sebagai kayu ukur kemenangan. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang yakin bahawa setiap yang berlaku itu adalah pilihan terbaik buat kita, maka berlapang dadalah kita dengan keputusan tersebut dan itu bukan bererti semangat perjuangan terus berkubur dan petanda dunia sudah kiamat. Insyallah berkat usaha mendekati dan meyakini rakyat atas keikhlasan perjuangan PR, pastinya rakyat akan semakin bertambah menyokong perjuangan PR dengan menterjemahkannya di dalam dalam peti undi ketika PRU14 nanti. Dalam PRU13, Selangor dan Pulau Pinang menambah jumlah kerusi berbanding PRU12 walaupun di Kedah PR kalah tipis kepada BN sehingga tumbangnya kerajaan PR diterajui PAS di sana. Perak juga gagal ditebus maruah seperti dakwaan berlakunya 'rampasan kuasa' oleh BN dalam PRU12 dan akan direbut semula dalam PRU13. 

5. Dengan semangat dan usaha gigih kesemua komponen PR iaitu PAS, PKR dan DAP, PR hanya mampu mendapat 89 kerusi parlimen walaupun berjaya mendapat undi popular 50.3 peratus, bayangkan situasi seperti sekarang dengan pesta londeh-melondeh, roadshow sana sini kononnya menjelaskan isu MB Selangor, bongkar sana-sini rahsia sesama sendiri sehingga rakyat sudah keliru dan mula hilang keyakinan malah menyampah dengan berantakan yang dicetuskan oleh tangan-tangan pemimpin PR sendiri? Secara jujur apakah semakin bertambah sokongan rakyat kepada PR selepas apa yang berlaku ini? Mengikut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), ia merudum dengan begitu drastik sekali. Kajian yang dijalankan UMcedel dari 10 hingga 19 Mei menunjukkan sokongan kepada Pakatan di Selangor jatuh kepada 35% daripada 50% yang direkodkan pada September 2012.
Penurunan itu disumbang kontroversi dan pertikaian membabitkan jawatan menteri besar yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk penggal kedua dan hasil kajian itu dibentang UMcedel pertengahan Julai lepas.

6. .Nampaknya, harapan untuk melihat PR merampas Putrajaya dan sekaligus mengambilalih kerajaan pusat daripada BN semakin jauh dari kenyataan jika keadaan ini berterusan. PAS dikambinghitamkan sebagai punca kemelut ini semakin berantakan akibat terpalit dan tersepit angkara cetusan idea Rafizi Ramli  melalui strategi 'Langkah Kajang' yang dilihat sebagai usaha menyingkirkan TSKI sebagai MB Selangor. Sebenarnya, mengimbas kembali isu ini, keyakinan rakyat mulai goyah selepas bermulanya 'Langkah Kajang' dan ianya dirangka sedemikian rupa tanpa merujuk secara jelas kepada PAS dan DAP. Namun DAP memilih menyokong langkah ini setelah melihat laba yang bakal diperolehi jika PAS terpinggir. DAP sejak sekian lama hanya depan senyum dan belakang meragui keikhlasan PAS khususnya dalam isu hudud. Rakyat tidak kisah dan tahu apa masalah sebenar PR dan TSKI sebelum itu dan yakin dengan keutuhan kerjasama PR dengan harapan PR akan menjadi galang ganti kepada BN dalam PRU14 kelak. Walaubagaimanapun, dengan apa yang berlaku sekarang, jika tidak banyak, sedikit pun sudah cukup untuk megurangkan momentum dan kekuatan PR untuk mendahului BN dalam PRU akan datang. 

7. Jikalau perlu pertukaran MB sekalipun akibat dakwaan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh TSKI, kenapa perlu Anwar sendiri pada awalnya dan kemudian Datin Seri Wan Azizah (DSWA) sebagai pengganti setelah Anwar disabitkan dengan kesalahan liwat pembantunya itu? Tokoh-tokoh PKR lain di dalam DUN Selangor ataupun PAS Selangor sudah begitu selekeh sehingga tidak mampu menggalas tanggungjawab itu? PAS dilihat keberatan menerima DSWA sebagai MB dan dengan kenyataan TGNA selaku Mursyidul Am Pas,TGHA selaku Presiden PAS dan Majlis Syura PAS yang membuat pendirian mempertahankan TSKI, pastinya memberi kesan tidak baik dalam usaha menggantikan DSWA dengan TSKI. Tambahan lagi, Istana Selangor juga diperhatikan seolah-olah tidak merestui DSWA menggantikan TSKI apabila usaha PKR dan DSWA menemui DYMM Sultan Selangor ditolak.   

8. Dalam situasi sekarang, yang untung adalah DAP apabila terus menerus menjadi penangguk di air yang keruh akibat kocakan ganas individu-individu tertentu dalam PKR. DAP tidak akan mendapat jumlah undi sebanyak ini di seluruh negara termasuk Pulau Pinang tanpa undi Melayu yang membuang undi untuk DAP atas keyakinan kepada PKR khususnya PAS. Dalam PRU14 nanti, sokongan undi Melayu kepada BN akan semakin bertambah yang sememangnya sudahpun agak mantap di kawasan kampung dan pendalaman dan menjadi kubu kuat UMNO. Dengan kemelut ini, pastinya jumlah yang menyokong BN akan bertambah. Satu perkara yang harus diiingatkan, walaupun DAP agak lebih beruntung berbanding rakan dalam PR iaitu PKR dan PAS, mereka juga tidak dapat lari dari tempias ini kerana undi kepada DAP juga akan merudum di kawasan seimbang polarisasi kaum di sesuatu kawasan parlimen.Pola pengundian mengikut kaum tidak dapat dipisahkan di negara ini sejak pilihanraya pertama ditambah dengan isu kaum yang menjadi duri dalam daging yang semakin meruncing kebelakangan ini setelah dipanaskan oleh pihak-pihak tertentu demi survival politik mereka. BN tidak perlu bekerja keras untuk meruntuhkan kerjasama PR kerana tugas itu kini gigih digalas oleh PR sendiri hanya untuk menegakkan benang basah masing-masing. Lantaran itulah dalam isu MB Selangor ini, pucuk pimpinan tertinggi dan pemimpin-pemimpin kanan UMNO hanya diam melihat perbalahan dan tendang-menendang sesama PR ini bagaikan gelanggang Maharaja Lawak Mega (MLM). Sedikit dentuman di sana sini mengenai isu ini hanyalah datangnya daripada juak-juak dan blogger bawahan Pro BN yang mungkin telah dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam mendulang emas yang dicurahkan oleh PR.

9. Tuah ayam nampak di taji dan tuah manusia-manusia dalam PR nampak bagaimana mereka mengendalikan isu ini. Jika sebuah kerajaan negeri sudah gagal dikemudikan dengan lancar, pastinya rakyat memikirkan bagaimana menguruskan sebuah negara. Nampaknya usaha mendapatkan jalan pintas ke Putrajaya sudah bertukar menjadi penyakit yang begitu sukar disembuhkan dalam tempoh terdekat apabila sesat dipersimpangan jalan. Tak ada penyakit cari penyakit, sudah berpenyakit menyusahkan orang, Meminjam slogan parti musuh mereka, jika "rakyat yang diutamakan dan pencapaian diutamakan", ketepikan apa juga langkah yang merugikan rakyat kerana mereka mengundi mana-mana parti dan memilih pemimpin atas harapan dapat memberi kemaslahatan kepada mereka bukan parti dan pemimpin. Namun demikian, krisis ini tidak mustahil ianya mampu diatasi dengan jayanya kerana apa yang harus diingat, "politic is the art of impossible" dan kehendak Allah mengatasi segala-galanya.

Wallahualam

~: sani :~


Comments

Popular Posts