Cerita Cinta Kita dan Amnesia

Salam,

1.    Menonton drama 'Cerita Cinta Kita' di TV3 beberapa episod lepas sehingga hari ini, Salmah masih lagi hilang ingatan akibat kemalangan jalanraya bersama-sama suaminya dan turut menyebabkan suaminya meninggal dunia. Walaupun Salmah diberitahu oleh dktor bahawa dia hanya mengalami 'partial amnesia' sekejap ingat sekejap tidak, ia amat bahaya kerana orang hilang ingatan boleh melakukan sesuatu yang di luar jangka. Manakan tidak, Adam kekasih yang amat dicintai sekalipun sudah tidak lagi dia ingati dan kenal termasuk Rokiah teman karibnya, dan semua orang. Harapan penonton agar Salmah segera sembuh dan pulih ingatannya agar dia dapat mengingati semula semua orang dan dapat membezakan yang betul dan serta yang salah. 

2.    Hanya orang yang ingatannya sihat saja dapat membezakan betul dan salah dan dapat menerima teguran secara positif. Hanya yang ingatannya baik boleh mengingati jasa manusia yang telah mengangkat dirinya pada kedudukan sekarang. Hanya yang ingatannya tidak bergelumang kekeliruan dapat menentukan samada tindakan yang dilakukan ketika ini memudaratkan atau membawa kemaslahatan kepada orang lain. Selagi dia masih bergelut dengan penyakit amnesia, dia akan terus lupa jasabaik orang yang besar jasa kepada dirinya, lupa yang mana patut didahulukan dan dikemudiankan, lupa siapa suami dan siapa isteri malah akan lupa siapa musuh dan siapa kawannya. 

3.   Pemain-pemain politik yang ada ketika ini, nasib mereka juga sama seperti Salmah. Mereka menghidap penyakit amnesia dan lupa jasabaik manusia yang telah mengangkat mereka pada kedudukan sekarang. Mereka lupa tanpa manusia itu, mereka sekarang ini mungkin hanyalah kakitangan kerajaan atau swasta yang tidak ada beza dengan orang lain tanpa polis pengiring, tanpa kereta dan pesawat udara rasmi. Mereka mungkin hanyalah ketua cawangan ataupun ketua bahagian jika bernasib baik dalam tidak dicincang sebelum melonjak naik di dalam parti. 

4.    Penyakit akan menjangkiti manusia seperti juga rezeki dan jodoh. Bukan semua orang yang dihadirkan penyakit dan tidak semua yang mampu keluar daripada penyakit tersebut sehingga membawa ke mati. Jika itu yang berlaku kepada pemain-pemain politik kita, maka hancurlah bangsa, agama dan negara kita. Kerana mereka-mereka ini jugalah yang mengemudi bahtera dengan kita semua sebagai penumpang yang dibantu anak-anak kapal yang juga dihinggapi penyakit sama. 

5.    Alangkah bahayanya penumpang-penumpang yang berada dalam bahtera yang dikemudi oleh nakhoda dan anak-anak kapal yang hilang ingatan (amnesia). Ke mana haluan bahtera hanya Allah swt saja yang akan tentukan samada dilanggar atau melanggar bahtera lain, bongkah batu atau bongkah ais yang berada pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di samudera yang maha luas. 

6.    Penghujung cerita 'Cerita Cinta Kita' pastinya Salmah pulih dari penyakit amnesia dan kembali bahagia bersama Adam. Kita juga amat berharap 'ending' kisah politik kita juga akan menemui 'happy ending' apabila ingatan pemimpin-pemimpin serta pemain-pemian politik kita pulih dan menerima dengan hati terbuka segala salah dan silap sepanjang bergelut dengan penyakit amnesia itu. Kita tidak akan salahkan mereka dan akan memaafkan mereka jika bahtera masih belum pecah dan semua penumpang selamat kerana memahami bukan atas kehendak mereka penyakit itu merosakkan daya ingatan masing-masing. Namun demikian, jangan lah sampai bahtera yang membawa penumpang-penumpang itu tenggelam akibat daripada penyakit yang mereka hadapi itu sehingga gagal menjadi nakhoda dan anak kapal sejajar dengan pangkat dan jawatan yang disandang. 

7.    Oleh kerana itulah jika memilih pemimpin, pilihlah di kalangan mereka yang layak, amanah dan ikhlas. "Apabila seseorang itu betul-betul tahu akan kerjanya, dia akan mendapat kepercayaan orang ramai dan pengikut-pengikutnya". (Senu Abdul Rahman. (2005). Revolusi Mental. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur)

8.     Apa yang ditegur oleh Tun Dr Mahathir mengenai pemimpin besar negara rasanya setelah nasihat yang diberi sebelum ini amat malang jatuh ke telinga badak sumbu dan badak air. Untuk mengatakan perlu diberi secara tertutup memang tertutup beberapa kali sebelum ini. Nak dikatakan hanya puji dapat menyelesaikan masalah ini juga seakan-akan tidak sesuai sepertimana salah seorang menteri yang juga Naib Presiden parti memuji pemimpin besar itu lebih hebat daripada Putin dan Obama. Malah sebelum itu juga menteri yang juga Naib Presiden mempertahankan pemimpin besar itu seolah-olah kemaksumannya mengatasi para Nabi dan tidak ada satu kuasa pun yang boleh menegur dan mengkritik. "Bercakap, memuji, menegur, mengkritik biar kena pada tempat, masa dan memuji haruslah sesuai dengan jasa, malah menegur biar padan dengan kesalahannya. (Tan Sri Abdullah Ahmad (2012), Berani Tanpa Segan. Grup Buku Karangkraf, Shah Alam). Selagi penyakit masih merengkoh pemimpin-pemimpin dan pemain-pemain politik kita, jangan harap negara akan menuju ke arah kebaikan. Kalau tidak hospital mental pun agak-agaknya rumah mayat lah penyudahnya.

Wallahualam

~: sani :~


Comments

Popular Posts