Lagenda Kerajaan Monyet

Salam,

1. Hatta tersebutlah kisah di sebuah negara di hujung tanjung. Ia mengisahkan berhubung berlakunya krisis paling serius dalam sejarah kewujudan monyet. Wujud sebuah kerajaan monyet yang dipimpin oleh raja monyet yang begitu terkenal dengan kemajuan serta permodenan yang dibanggakan oleh seluruh pengikut dan pengkagum raja monyet. Namun, tiba-tiba tercetus perbalahan besar antara raja monyet dan pembantu kesayangannya yang dianggap setia selama ini. Setelah raja monyet tidak lagi mampu mencari titik persamaan dengan pembantunya itu, dia mengambil tindakan yang begitu drastik dan tidak ketinggalan melukakan hatinya yang telah lama bersama-sama pembantunya itu ketika susah dan senang. Raja monyet telah mengambil tindakan menyahkan pembantu kesayangannya itu bersama bersama-sama pendokong kuat pembantunya itu yang didakwa telah menjadi pengkhianat kepada kerajaan dan negaranya. Keputusan raja monyet mengakibatkan keadaan tidak stabil dalam negara monyet buat seketika lantaran pembantunya bersama-sama monyet-monyet lain yang menjadi pengkhianat telah berjuang habis-habisan mempertahankan kebejatan pembantu raja monyet yang mendakwa telah dianiaya. Namun, raja monyet dengan segala kekuatan yang ada berjaya menyah dan mengalahkan monyet-monyet yang bertindak sebagai pengkhianat akibat pemberontakan merampas kuasa yang telah dilakukan. Setelah mendapati dirinya tidak lagi mampu bertahan dengan serangan dan pemburuan raja monyet yang tidak memberi peluang baginya bertindak balas, monyet yang menjadi pengkhianat itu telah mengambil keputusan meninggalkan negara dan kerajaan monyet yang hampir sebati dengannya.

2. Ketika yang sama, manusia-manusia yang turut berada di negara kerajaan monyet itu pula kini berdepan masalah serangan dan ancaman raja monyet dengan segala kekuatan yang dimilikinya. Ketua kerajaan manusia ketika itu begitu bimbang dengan masalah dan ancaman dari kerajaan raja monyet. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh pemerintah kerajaan manusia sehingga waktu itu menemui jalan buntu. Akhirnya, atas mimpi yang dilalui pemerintah manusia ketika itu, beliau mendapat tahu akan adanya musuh ketat raja monyet yang telah melarikan diri dan bersembunyi dalam negara itu. Atas usaha gigih tanpa henti, pemerintah manusia berjaya menemui monyet yang menjadi pengkhianat kepada raja monyet. Dipendekkan cerita, pemerintah manusia dan pengkhianat raja monyet bersetuju bergabung untuk menewaskan raja monyet dan kekuasaannya. Gabungan kedua-duanya yang bertunjangkan akal, keazaman dan dendam, mereka akhirnya berjaya mengekang kemaraan kerajaan raja monyet. Pemerintah manusia amat bersyukur dengan gabungan itu dan amat berterima kasih kepada pengkhianat raja monyet sehingga raja monyet kini sudah tidak lagi segarang sebelum itu dan mungkin terpaksa berhati-hati dengan gabungan pemerintah manusia dan monyet yang menjadi pengkhianatnya.

3. Namun, perasaan syukur pemerintah manusia tidak mampu bertahan lama. Sikap lama monyet sebagai pengkhianat yang sudah sebati dengannya kini berulang lagi. Kegagalannya merampas kuasa raja monyet kini dihalakan kepada usaha merampas kuasa kerajaan pemerintah manusia. Lebih parah lagi adalah apabila ada rakyatnya manusia yang telah berkahwin dengan monyet-monyet dan melahirkan anak-anak yang berwajah manusia namun berjiwa monyet. Semua ini mengakibatkan kerajaan pemerintah manusia porak peranda bukan saja diserang dari luar oleh raja monyet dan pengkhianat raja monyet malah anak-anak monyet yang berwajah manusia yang lebih memihak kepada monyet daripada spesis manusia.

4. Situasi ini telah memecahbelahkan keutuhan kerajaan pemerintah manusia lebih buruk berbanding bergabung dengan pengkhianat raja monyet. Pemerintah manusia yang sudah begitu keliru hanya mampu berdoa kepada Maha Pencipta agar dikeluarkan daripada musibah yang begitu berat yang dihadapinya itu. Namun, sifat penyakit itu sememangnya datangnya mudah tetapi pulangnya amat susah. Apa yang mampu dilakukan oleh pemerintah kerajaan manusia selain berdoa adalah rasa kesal yang tidak terhingga. Ditelan mati emak diluah mati bapa. Benar kata Charles de Gaulle, "Akhirnya saya sampai kepada kesimpulan bahwa politik adalah soal yang terlalu serius untuk dibiarkan untuk dipercayakan kepada para politisi".

Wallahualam

~: sani :~


Comments

Popular Posts