PESTA BOGEL

Salam,

1.         Sejak semalam pesta bogel yang disebut sebagai ‘Sukan Bogel Pulau Pinang 2014’ di Teluk Bahang menjadi isu panas yang menggelegak seluruh negara. Ada yang mengambil kesempatan untuk dijadikan senjata politik menjatuhkan lawan walaupun akhirnya menjadi boomerang mematahkan hidung sendiri. Salah seorang peserta wanita pesta bogel itu rupa-rupanya adalah bekas Ketua Wanita PGRM Kedah ketika berusia awal 20an dan kini sudah berudia 54 tahun. Tetapi tidak mengapa kerana itulah sifat semulajadi orang politik yang bercakap dahulu sebelum berfikir berbanding sepatutnya berfikir sebelum bercakap.

2.         Itu kisah di pantai Telok Bahang tetapi pesta bogel yang agak panjang durasinya masih belum usai lantaran peserta-pesertanya semakin bertambah. Kebiasaannya manusia berbogel atas kemahuannya sendiri dan jarang dipaksa kecuali dalam kes-kes jenayah seks.  Kebiasaan ini lah yang sedang dilakukan oleh PR sekarang. BN tidak memerlukan sedikitpun usaha membogelkan mereka kerana mereka sendiri berusaha gigih membogelkan diri masing-masing. Yang bergelar Pakar Strategi parti sudah hilang strategi ampuhnya, Setiausaha Agung pula bertindak menunjuk punggung, Ketua Pemuda juga tidak mahu kalah untuk membuktikan masing-masing adalah lelaki sejati dengan berdiri tegak tanpa sehelai benang memegang ‘tiang bendera’.  Akhirnya, paling banyak pakaian yang tinggal hanyalah bersarung kaki dan penutup kepala samada serban, songkok dan tudung untuk wanita. Bahagian lain semuanya sudah terdedah.

3.         Politisi muda darahnya lebih merah dari politisi ‘lama’ agaknya. Mungkin itu menyebabkan politisi-politisi muda ini begitu bernafsu melondeh-londeh sesama rakan parti komponen tanpa memikirkan impak negatif yang bakal ditanggung mereka apabila masanya sampai nanti khususnya PRU14. Atau mungkin mereka berfikir ketika itu mereka sudah berada dalam pelukan BN? Lagu Anita Sarawak ‘Londeh oi  Mak Londeh’ berkemundang nyaring di dada-dada media angkara nafsu serakah yang semakin terserlah. Kata pendita, ‘bukan perubahan diri mereka sebenarnya, tetapi hanya topeng yang tertanggal’. Rakyat yang selama ini silau dengan siluman yang dihembuskan oleh mereka tiba-tiba tersedar betapa rakusnya kelompok yang selama ini berjampi-serapah ‘tegakkan keadilan, hapuskan nepotisme dan kronisme, perjuangan rakyat’ dan sebagainya. Topeng yang tertanggal tidak disedari lagi malah tidak ada usaha kembali ke pangkal jalan walaupun banyak pihak yang masih kekal kasih dan sayang kepada mereka memekik agar jangan sampai hilang kewarasan untuk terus berada di lembah kesesatan.

4.         Masing-masing cuba bertindak lebih sudu dari kuah dan gegak gempita menegakkan benang basah. Masalah yang menimpa Kabinet Najib di mana para menteri dilihat ketagihan bercakap sehingga berhimpun di kilang sardin cap ayam sudah melarat kepada kepimpinan PR. Malahan ada yang sudah menyanggah presiden parti dan Majlis Syura. Masalah pasti menjadi serius jika menyertai pasukan koir tetapi masing-masing cuba menonjolkan diri sebagai penyanyi solo. Jika berhajat menjadi penyanyi solo sebaik-baiknya keluar saja dari pasukan koir demi keharmonian suara yang memerlukan senada seirama dan menjadi tunjang kepada kewujudan koir.

5.         Ada pemimpin yang berkata lebih sayangkan parti dari presiden walaupun hakikatnya itulah tindakan tidak sayang dan kasih kepada parti. Seperti kata Tuan Guru Nik Aziz, “Walaupun kita hidup di zaman langit dan bumi terbuka, peraturan tetap ada”. Maknanya, jangan sampai kebiadaban diletakkan di hadapan sebagai jurulatih dan para pemimpin berbaris umpama pelatih baru mengikuti latihan asas. 

6.         Cukup-cukuplah bergaduh sesama sendiri atas kesilapan sendiri mencaturkan catur yang sudah berubah menjadi ‘dam ular’ asyik menggelungsur ke bawah saja. Jika sayangkan rakyat dan ikhlas membela nasib mereka yang dianggap sedang ditindas oleh mereka yang zalim, maka buktikan keikhlasan dengan tidak memperlihatkan kegopohan dan kerakusan merebut jawatan dan kekuasaan. Jangan hanya mengingatkan inkumben turun secara terhormat sedangkan yang nak memanjat pula sebaliknya. Ketam tetap ketam, mengajar anak berjalan betul diri sendiri tersasar entah ke mana. Orang tamak selalu rugi dan percayalah, “kebodohan tidak mampu menyelesaikan masalah”.

Wallahualam


~: sani :~


Comments

Popular Posts