POSMEN


“We do what we say, we say what we do, like a postman, they don't tell customer that they have letter, they deliver the letter”
Saya terbaca kata-kata ini tadi di twitter dan cuba mengaitkan dengan politisi dan parpol di negara ini. Dari pemahaman saya, posmen lebih bermaruah dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya berbanding politisi-politisi yang bergayut di dahan parpol.

Posmen tidak terjerit-jerit memberitahu mereka yang menyimpan dan menjaga surat-surat kita dan mereka hanya menghantar surat-surat itu kerana sedar dan faham itu adalah amanah di atas pundak mereka. Posmen tidak berbangga berjaya menghantar surat kerana itu tugas mereka walaupun ada ketikanya hujan basah kuyup dan terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Kenapa politisi dan parpol harus mendabik dada, mencanang seluruh dunia dan berbangga melakukan sesuatu atas kapasitinya sebagai menteri, perdana menteri, exco kerajaan negeri atau apapun jawatan pemimpin sedangkan mereka bukan melakukannya secara percuma. Setidak-tidaknya jika menjadi ahli majlis PBT pun ada keistimewaannya samada melancong ke luar negara atau diberi kuasa untuk mendapat lesen itu dan ini di bawah bidangkuasa PBT terlibat. Bagaimana dengan elaun dan imbuhan lain kerana memegang jawatan itu?

Sebagai wakil rakyat apakah mereka berkhidmat secara percuma tanpa elaun dan pendapatan serta keistimewaan seperti mendapat AP kenderaan dan sebagainya? Walaupun meleleh air liur basi dalam parlimen atau hanya menjadi pasu bunga dan tunggul mati dalam DUN dan dewan rakyat tetap mendapat segala yang diperuntukkan sebagai wakil rakyat.

Jadi di mana asasnya untuk meminta rakyat perlu bersyukur, berterima kasih dan memuji mereka? Sepatutnya merekalah yang WAJIB berterima kasih kepada rakyat yang meletakkan mereka di situ. Rakyat tidak pernah sesekali memaksa mereka untuk berada di situ.

Sebagai pemimpin dan wakil rakyat atau wakil NGO dan belia, DELIVER tanpa mengharapkan pujian atau sanjungan masyarakat kerana itu sememangnya tugas dan amanah kamu. Jangan hanya menjadi posmen dalam erti tersirat iaitu hantar tanpa perlu fikir atau RUBBER STAMP yang hanya tandatangan tanpa membaca.

Kenapa ruangan tandatangan di letakkan di bahagian akhir sesuatu surat, laporan atau dokumen yang perlu ditandatangani? Pastinya supaya kamu membaca terlebih dahulu dan bertanggungjawab di atas tandatangan tersebut. Jika hanya tandatangan tanpa bertanggungjawab, eloklah diubah segala dokumen perlu ditandatangani di halaman pertama bahagian paling atas supaya tidak perlu dibaca dan hanya tandatangan.

Rakyat dan masyarakat telah dipesongkan minda mereka supaya memuji dan berterima kasih pada pemimpin dan pemegang jawatan sedangkan itu adalah tanggungjawab dengan upah yang bukan saja berpatutan, malah terlebih cukup. Soal bersyukur atau berterima kasih biarlah rakyat yang menilai dan menentukannya.

Salam Pencerahan

Comments

Popular Posts