ANTARA PARIAH POLITIK DAN POLITIK PARIAH
Dalam sistem kasta di kalangan kaum India, pariah merupakan kasta paling rendah. Namun dalam politik juga tidak terkecuali wujudnya 'pariah politik' dan 'politik pariah'.
Pariah politik ni termasuklah yang begitu hinanya manusia sebegini dalam kancah politik atau organisasi awam. Mereka boleh jadi seseorang yang kaya dan berjawatan tinggi samada dalam politik, jabatan kerajaan atau GLC, sederhana atau miskin dan papa kedana. Yang dikatakan pariah politik tetapi kaya dan berjawatan tinggi adalah walaupun sudah kaya tetapi tetap menyembah berhala-berhala politik demi kelangsungan haloba mengaut harta, wang ringgit dan jawatan. Begitu juga yang sederhana hidupnya dan cukup makan-minum, pakai dan tempat tinggal tetapi sanggup dijadikan hamba demi mendapat laba dan memenuhi kehalobaan dalam diri masing-masing.
Yang miskin dan papa-kedana ini adalah di kalangan-kalangan yang meletakkan harapan sepenuhnya kepada berhala politik sehinggakan telefon bimbit dan powerbank pasir pun terlalu kemaruk dan apabila mendapati telah ditipu maka riuh rendah seluruh antero negara.
Betapa hina-dinanya manusia apabila sudah menjadi pariah politik sehingga sanggup diperkuda dan dilembukan oleh pemimpin-pemimpin yang diketahui umum sebagai koruptor dan menindas rakyat. Mencium tangan pemimpin sudah menjadi kelaziman tanpa rasa malu maruah diletakkan pada tahap begitu rendah demi memenuhi keinginan bukannya keperluan.
Saya ada menyebut betapa di antara keinginan dan keperluan itu ada sebuah jurang yang sangat luas dan dalam. Di dalamnya dipenuhi dengan segala macam unsur-unsur negatif termasuk tamak, rakus, bongkak, gemar menunjuk-nunjuk, gila populariti dan publisiti, sikap tidak mahu kalah dan berbagai lagi yang lain. Sesiapa saja yang terjerumus ke dalam jurang ini akan menjadi hina dan jijik di mata manusia yang rasional.
Bayangkan betapa begitu banyak hujah dan modal berpolitik, sampai isu banjir dan fenomena alam dipergunakan untuk dipolitikkan. Akhirnya, alam dan Penciptanya menghantar isyarat-isyarat lebih bengis agar manusia dapat belajar dari kesilapan lalu.
Namun, yang sudah menjadi pariah politik tidak pernah serik akan terus mengamalkan 'politik pariah' yang meletakkan tahap berpolitik begitu ketot dan kerdil serendah-rendahnya. Rasa malu kepada kaum lain sudah hilang apabila 'politik pariah' merayap dalam tubuh-tubuh 'pariah politik' ini.
Menambah jumlah pariah-pariah politik dan sandiwara politik pariah ini adalah di kalangan wakil-wakil rakyat yang tanpa rasa malu dan segan meminta rakyat mengundi mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat tetapi setelah menang dan terpilih menjadi wakil rakyat, mereka bertukar menjadi wakil presiden dengan bertindak berkecuali setiap kali sidang parlimen melakukan pengundian terhadap sebarang usul dan dasar dibentangkan. Mereka seolah-olah menjadi pasu bunga dan kayu mati yang tidak lagi memperjuangkan nasib rakyat sebaliknya menjaga kepentingan sendiri demi menentukan presiden parti terus mencalonkan mereka dalam pilihanraya akan datang walaupun akan menerima nasib sebagai calon kalah. Betapa bahayanya apabila politik pariah sudah berkembang biak dalam sesebuah parti politik dan organisasi.
Kenapa kita bimbang, sedih, kecewa dengan perlakuan pariah politik dan politik pariah ini? Jawapannya kerana mereka mempertaruhkan masa depan bangsa, agama dan negara demi kepentingan diri sendiri.
Marilah kita seluruh rakyat yang cintakan bangsa, agama dan negara menghentikan amalan politik pariah ini berserta mengenyahkan pariah-pariah politik dari gelanggang politik negara bermula dengan dari sekarang dan gerbang baru dibina selepas PRU14 nanti.
Comments
Post a Comment