BERGURU DARI MUGABE & GRACE
Apa kata kita berguru dari Mugabe yang sudahpun meletak jawatan sebagai Presiden Zimbabwe. Sudah pastilah isteri kesayangannya itu yang lebih kecewa dan marah berbanding Mugabe sendiri apabila dipaksa meletak jawatan. Manakan tidak apabila segala keistimewaan selama ini serba-serbi hilang, dan gerun atau ketakutan pemimpin-pemimpin bawahan serta rakyat sudah tidak ada lagi bahkan agaknya dia pula yang sedang ketakutan.
Seperkara yang boleh kita jadikan pelajaran dari kejatuhan Mugabe ini adalah sehebat mana dan setinggi manapun pengorbanan serta perjuangan seseorang melawan kolonialisma dan pemerintahan minoriti kulit putih bukanlah lesen untuk kita menjarah harta negara, bermaharajalela dengan rasuah dan bertindak seperti diktator apabila berkuasa. Sementelah yang langsung tidak ada jasa seperti Mugabe yang berkuasa sepanjang 37 tahun di negara tersebut.
Satu hal yang agak menarik dalam rampasan kuasa ini adalah, dalam sejarah kemanusiaan belum lagi kita dapat melihat bagaimana pemimpin paling berkuasa begitu lama disingkir tanpa setitik darahpun yang tumpah. Jadi rakyat tak perlu bimbang akan berlaku pertumpahan darah di negara ini jika berlaku perubahan pemerintahan yang hanya akan dilakukan melalui peti undi dan dibenarkan secara sah oleh undang-undang.
Seterusnya adalah jika kita mahu menggantikan sesuatu rejim pemerintah, lakukanlah dengan cermat jangan hanya berdasarkan menggelegaknya emosi samada marah atau benci sehingga kita keluar dari mulut buaya masuk mulut naga seperti di Zimbabwe. Daripada berita dilaporkan akhbar Sinar Harian, Bekas Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Zimbabwe yang baharu esok menggantikan bekas presiden Robert Mugabe yang meletak jawatan pada Selasa lepas.
Mnangagwa dikatakan lebih kejam dan penindas yang dibenci majoriti rakyat Zimbabwe dan merupakan bekas elit perisikan Zimbabwe. Tambahan pulak, sebagai Naib Presiden apakah hanya Mugabe yang kejam, korup dan penipu dan Mnangagwa itu seorang wali?
Perlu juga diingatkan bahawa apapun yang berlaku di Zimbabwe sepanjang tempoh 37 tahun Mugabe berkuasa, segala kemusnahan dan kezaliman tersebut tidak dilakukan hanya oleh Mugabe seorang tanpa sokongan dan bantuan pihak lain termasuk barisan kabinet, tentera, polis dan lain-lain. Mereka juga sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kemusnahan tersebut.
Banyak iktibar dan pelajaran yang dapat dikutip dari Mugabe dan Grace isterinya untuk kita renungi supaya jangan sesekali mengulangi kesilapan sama jika Allah mentakdirkan kita di tampuk kuasa.
Saya pada mulanya ragu-ragu untuk menggunakan foto profil Mugabe kerana bimbang perlu menunggu 37 tahun baru beliau benarkan saya menukar foto profil lagi. Setelah difikir-fikirkan, jika Mugabe yang sudah tertiarap pun kita takut, bagaimana kita mahu mencabar Mugabe yang masih berdiri?
Jom Ubah!
Comments
Post a Comment