FEUDALISME

Situasi negara sekarang seolah-olah berada pada zaman feudal di mana masyarakat dikuasai sepenuhnya oleh kaum bangsawan dan raja sepertimana sebelum kejatuhan empayar kesultanan Melayu Melaka.

Raja berkuasa mutlak dan pembesar-pembesar yang dibenarkan ada semuanya berjiwa Hang Tuah. Jangan sesekali muncul mereka yang berjiwa Hang Jebat pasti akan dipencil dan dikucil.

Bagi mereka manusia-manusia seperti Hang Tuah sajalah perlu ada untuk mempertahankan pembesar-pembesar dan raja walau sezalim dan sehebat manapun menindas rakyat.

Sedangkan taat setia Hang Tuah terhadap Sultan Melaka ketika itu adalah taat setia yang ekstrim. Hang Tuah sanggup menggadaikan nyawanya, membunuh atau dibunuh.

Membaca Hikayat Hang Tuah akan kita temui perbuatan Hang Tuah yang keterlaluan taat setia membabi-buta termasuk sanggup melarikan Tun Teja tunangan Megat Panji Alam untuk dijadikan isteri Sultan Melaka. Tidak berdosakah tindakan Hang Tuah tersebut?

Hang Tuah juga sanggup masuk ke dalam perigi yang berisi tahi, sanggup masuk ke dalam kubur dan ditanam hidup-hidup. Semuanya dilakukan kerana taat setia kepada raja yang dianggap "bayang-bayang tuhan di dunia" dan beliau sudah menjadi robot yang hilang pertimbangan diri sendiri.

Ketika di Majapahit mengiringi Sultan Melaka ketika jamuan telah dihidangkan arak dan Hang Tuah juga minum arak walaupun kononnya ilmu Hang Tuah yang hebat itu dapat menawarkan kesan mabuk arak. Mabuk atau tidak bukan soalnya tetapi meminum minuman yang memabukkan tidak kira mabuk atau tidak tetap berdosa.

Sedangkan Hang Tuah dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaima raja mempunyai kuasa mutlak dan sesiapa yang cuba menderhaka atau tidak menurut perintahnya akan dihancurkan. Lihatlah apa yang terjadi ke atas Hang Jebat sahabat baik yang mempertahankan dirinya itu. Malah adinda baginda sendiri Sang Jaya Nantaka dilucutkan oleh baginda dari jawatan Raja Muda hanya kerana difitnah. Nasib adindanya baik kerana Datuk Bendahara menyelamatkannya dari menerima hukuman yang lebih berat.

Raja Melaka pada dasarnya bebas menjalankan segala kehendaknya seolah-olah "beraja di mata dan bersultan di hati:. Kata-kata raja adalah undang-undang dan lantaran itulah rakyat takut menderhaka. Tidak miripkah dengan situasi sekarang?

Itu belum lagi kita mengimbau kisah bagaimana rakyat dikerah untuk memenuhi impian Sultan Melaka untuk beristerikan Puteri Gunung Ledang. Semua tuntutan Puteri Gunung Ledang disanggupi oleh Sultan walaupun taruhannya adalah keringat dan darah rakyat. Hanya satu yang tidak mampu dilakukannya apabila melibatkan kepentingan dirinya sendiri iaiatu darah anak baginda. Betapa kisah begini membuktikan betapa selfish nya pemimpin di zaman dahulu yang ketika ini cuba dijelmakan kembali.

Semua senario yang berlaku ketika zaman tersebut dan sistem feudalisme itu cuba dikembalikan dan diterap dalam masyarakat ketika ini dengan kuasa raja itu berpindah kepada pembesar negara. Mengkritik pembesar negara dianggap sama seperti menderhaka kepada raja dan kerana itu jugalah mungkin menjadi penyebab Rais Yatim mencadangkan digubal undang-undang mantan perdana menteri tidak boleh mengkritik pengganti.

Mengkritik pembesar negara juga dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa dan negara kerana pembesar itu ditonjolkan sebagai 'dialah negara, dialah bangsa Melayu dan dialah kedaulatan negara dan bangsa'.

Feudalisme memberi wewenang (autoriti) dan kekuasaan berlebihan dan sesungguhnya itulah yang digilai oleh setiap pemimpin untuk terus berkuasa selama-lamanya.

Apakah rakyat mahu sistem feudalisme ini dikembalikan secara rasmi walaupun sekarang sudahpun berlaku secara tidak disedari bagi yang sudah dibuta, dipekak dan dibisukan mereka.

Sama-sama kita renungkan.

Comments

Popular Posts