JIKA BENAR NAMAMU TSUNAMI

Sejak PRU12 sehingga PRU13, UMNO dan BN tidak henti-henti mengatakan kegagalan mereka mendapatkan 2/3 kerusi parlimen adalah berpunca dari Tsunami Politik Cina.
Namun begitu, cuba kita lontarkan persoalan kepada mereka apa yang telah dilakukan oleh UMNO dan BN untuk mengatasi masalah Tsunami Politik CIna tersebut walaupun hakikatnya gelombang kebencian dan kemarahan rakyat itu juga disumbangkan oleh pengundi Melayu.

Jika kita berhasrat untuk memperbaiki atau persediaan menghadapi gelombang tsunami, maka kita perlu tahu bahawa punca sebenar menyebabkan berlakunya tsunami. Antara yang dikesan menjadi punca tsunami adalah gempa bumi bawah laut, letusan gunung berapi bawah laut atau atas laut, rekahan dasar laut menyebabkan keraknya tergelincir ataupun hentaman meteor.

Namun secara umumnya ia berlaku akibat rekahan atau gempa di dasar lautan. Sama seperti arah sokongan rakyat kepada mana-mana parti politik, kegagalan mengesan trend sokongan di bawah ini kerap kali menyebabkan mereka terperangkap gara-gara mendapat laporan semuanya baik dari agensi perisikan dan badan-badan tertentu.

Hakikatnya, di bawah sana sudah berlaku rekahan dan gelinciran sokongan yang menggelegak termasuk menggelegaknya kemarahan rakyat umpama lava gunung berapi.

Apa yang mencetuskan kemarahan dan kebencian rakyat? Kos sara hidup yang semakin parah, kadar pengangguran yang begitu tenat, rasuah yang berleluasa, ketirisan tanpa tindakan konkrit dan jelas untuk mengatasinya, kebebalan dan keangkuhan pemimpin, kegagalan agensi kerajan yang bertanggungjawab mengawal inflasi seperti KPDNKK.

Apa tindakan secara jelas dapat dibuktikan kepada rakyat selain angka-angka dan statistik ekonomi yang dimanipulasikan untuk kelihatan gebu dan memberahikan. Sedangkan realitinya, rakyat terpaksa ikat perut dan bersengkang mata menambah masa bekerja untuk mendapatkan lebihan wang menampung lonjakan harga barang dan perkhidmatan termasuk perlaksanaan GST.

Mahu berubat penyakit carilah punca sebenar bukan sakit kaki makan ubat sakit kepala. Pening kepala dilakukan pembedahan kepala lutut. Sudah-sudahlah usaha membangangkan rakyat kerana dari sekilas jelingan mata rakyat saja sudah tahu mana jantan mana pondan.

Jujur dan ikhlaslah kepada rakyat sebelum mata dipejamkan dan nyawa direntap oleh malaikat maut.

Selamat Malam.

Comments

Popular Posts