MINDA DAN JIWA KAMPUNGAN
Apabila kita mengambil masa sejenak mengenangkan berbagai musibah yang merempuh segenap penjuru negara, kita perlu mencari jawapan sebenar kepada akar permasalahan. Apa punca sebenar yang mengakibatkan segala-galanya berlaku?
Pengamatan saya secara peribadi, sebahagian besarnya datang daripada 'institusi wakil rakyat'. Minda dan jiwa rakyat dicanai sehingga membentuk persepsi sedemikian rupa. Minda dan jiwa rakyat sudah sebati penuh yakin bahawa wakil rakyat kerjanya hadir kenduri-kendara, hadir semua kematian di kawasannya, bantu seringgit dua anak nak masuk universiti, jika banjir dan ribut datang jenguk muka dan selesaikan masalah longkang tersumbat. Jika ini tidak dilakukan oleh wakil rakyat pastinya beliau akan menjadi sasaran maki hamun dan kutukan.
Malangnya, rakyat atau pengundi wakil rakyat tersebut tidak sesekali akan marah jika wakil rakyat mereka hanya menjadi 'pasu bunga', tiang seri dalam parlimen atau DUN untuk bersandar, menjadi si bisu, pekak dan buta. Wakil rakyat berkecuali pun tidak ada yang marah sebab dia rajin datang tahlil dan ziarah kematian. Tuan Speaker pula janganlah menjadi peranan sebagai benteng orang-orang tertentu kerana amanah kamu bukan begitu.
Rakyat tenggelam dalam kecelaruan untuk tahu bahawa wakil rakyat peranannya seperti disebut oleh Dr. Shamrahayu Abdul Aziz Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). "secara umumnya, ada tiga fungsi utama wakil rakyat. Pertama, sebagai mekanisme penyampai pendapat dan kehendak rakyat. Kedua, sebagai pembuat atau penggubal undang-undang (legislatif) dan terakhir, sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kuasa eksekutif."
Kita hanya bising betapa tidak adilnya undang-undang negara apabila beberapa kes baru-baru ini yang mengakibatkan mangsa kes samun, rompakan dan rogol membunuh perompak,penyamun atau perogol bagi mempertahankan diri dan harta tetapi akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Heboh seluruh negara rasa simpati sedangkan puncanya adalah institusi wakil rakyat sudahpun dilelong 'sekupang dua kupang'.
Kita juga mengeluh betapa keadilan sudah dirobek bila yang mencuri makanan atau pakaian dengan nilai tak seberapa tetapi dipenjarakan bertahun-tahun sedangkan pencuri dan perompak dana awam dan rakyat berbilion ringgit bebas begitu saja. Koruptor yang melibatkan VVIP masuk penjara belum sempat panas punggung sudah keluar dengan songkok dan 'coat' kemas bagaikan selebriti sedangkan pencuri tabung masjid dihina dan dicerca malah dipukul sebelum diserah pada pihak berkuasa untuk dikenakan lagi hukuman rasmi bertahun-tahun.
Kita bising dan menjerit soal rasuah yang semakin menjadi-jadi tetapi apa yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih rakyat untuk berada dalam parlimen dan DUN suarakan secara tegas dan padu untuk memperkasakan SPRM tanpa gangguan eksekutif?
Berapa banyak undang-undang lapuk yang masih dipertahankan untuk wujud bagi menjadi 'tangkal kebal' pihak berkepentingan sedangkan wakil rakyat wajar mengkaji dan mencadangkan pindaan semua undang-undang tersebut ataupun dimansuhkan.
Parlimen dan DUN hanya sekadar menjadikan tempat wakil rakyat bertindak sebagai 'rubber stamp' kepada pihak eksekutif. Wakil rakyat tidak lagi mewakili rakyat sebaliknya wakil kepada presiden parti untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam parti dan mempertahankan kekuasaan. Bayangkan apabila bantahan terhadap sesuatu usul yang merugikan rakyat dan boleh menyebabkan kedudukan negara berada dalam situasi yang amat kritikal seperti GST masih ada wakil rakyat yang menyokongnya dan lebih melucukan lagi bila ada yang mengaku pembangkang tetapi bertindak berkecuali.
Kenapa rakyat tidak marah? Kerana mereka sudah ditarbiahkan minda dan jiwa menjadi kampungan. Beban kenaikan harga bahanapi yang berterusan meningkat setiap minggu bukan kepalang sakitnya kepada rakyat. Apa yang semua wakil rakyat lakukan untuk mewakili suara rakyat bagi mengekang kerajaan bertindak sesuka hati? Ini bukan soal kamu menjadi wakil rakyat kepada parti pemerintah tetapi kamu mewakili rakyat. Apatah lagi jika kamu bergelar wakil rakyat parti pembangkang.
Yang kecoh dan heboh di media sosial, media elektronik dan cetak adalah wakil rakyat atau pemimpin itu dan ini tidak jenguk muka di kawasan banjir. Harus difahami bahawa banjir atau ribut dan bencana apapun yang menggegarkan negara, sudah ada Standard Operating Procedure (SOP) untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa perlu arahan khusus untuk menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia, JPAM, RELA, Polis dan sebagainya.
Arahan No. 20 (Semakan Semula) Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara secara jelas telah menggariskan peranan masing-masing untuk bertindak bersesuaian dengan bencana yang berlaku. Arahan ini ditandatangani oleh YAB Perdana Menteri sebagai Pengarah Gerakan Negara dan terpakai kepada semua Agensi Kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela.
Arahan No. 20 (Semakan Semula) Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara secara jelas telah menggariskan peranan masing-masing untuk bertindak bersesuaian dengan bencana yang berlaku. Arahan ini ditandatangani oleh YAB Perdana Menteri sebagai Pengarah Gerakan Negara dan terpakai kepada semua Agensi Kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela.
MKN adalah Agensi Peneraju Utama Pengurusan Bencana Negara. MKN bertanggungjawab menyelaras pengurusan Bencana Negara dan bertanggungjawab untuk membentuk serta memastikan segala dasar dan mekanisme pengurusan Bencana Negara dipatuhi dan dilaksanakan di setiap peringkat pengurusan bencana.
Selain dari itu, kerajaan juga telah menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai satu pusat penyelarasan dengan peranan bersama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan dengan pengurusan bencana. Masing-masing ada peranan jadi jangan sampai semua hal mahu dipolitikkan dan akhirnya menyebabkan rakyat bertelingkah sesama sendiri kerana sentimen 'jahat' yang dihembus dan ditiupkan oleh pemimpin yang mempunyai agenda peribadi bukannya demi kepentingan rakyat dan negara.
Bagi tujuan itu, detik dan masanya sudah sampai supaya institusi wakil rakyat ini diletakkan pada landasan yang betul serta diperkasakan seiring dengan keperluan zaman dan kepentingannya kepada rakyat dan negara bukan kepentingan sekerat dua pembekal dedak dan koruptor yang telah dan sedang menjahanamkan bangsa, agama dan negara.
Comments
Post a Comment