JOM UBAH
Ada beberapa orang membangkitkan soalan sama kepada saya mengenai harapan untuk Malaysia berubah. Soal mereka mampukah rakyat negara ini berdepan dengan pemimpin yang zalim dengan segala jentera dan bala tenteranya untuk mengubah keadaan?
Kata saya, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah meyakinkan rakyat bahawa kita mampu berubah. Hancurkan jiwa hamba yang sudah sebati dalam diri mereka yang menganggap walau apa dilakukan tidak mungkin akan dapat mengubah pemerintah dan sistem yang ada.
Perkara pertama yang paling penting untuk mengubah kerajaan sedia ada adalah dengan meyakinkan rakyat kita pasti dapat melakukan perubahan.
Kata mereka pula, rakyat negara ini sudah biasa untuk tidak mahu susah-payah dan kekal dengan kepercayaan bahawa BN tidak mungkin tumbang dan tidak ada mana-mana kuasa mampu menjatuhkan BN.
Saya menjelaskan bahawa Nabi Musa bukan saja berdepan dengan pemimpin yang zalim, tetapi super zalim yakni Firaun. Jika bunuh orang dewasa itu dianggap zalim memang biasa orang zalim membunuh orang. Tapi Firaun super zalim kerana membunuh setiap kanak-kanak yang dilahirkan. Lebih parah adalah bani Israel ketika itu mempunyai sikap tidak mahu susah dan menganggap tidak ada mana-mana kuasa mampu mengalahkan Firaun.
Nabi Musa dengan penuh sabar berjaya meyakinkan bani Israel dengan ketabahannya itu. Dengan berdepan pemerintah super zalim ditambah rakyat yang terdiri dari bani Israel yang sudah hilang keyakinan diri dan tidak mahu susah iaitu ciri-ciri jiwa hamba, akhirnya Nabi Musa dapat menumpaskan Firaun untuk membuktikan kepada bani Israel bahawa betapa kuat manapun pemerintah yang zalim pasti akan musnah dengan kehendak Allah.
Itu mesej pertama mahu diterapkan oleh Nabi Musa dalam benak bani Israel. Nabi Musa meminta bani Israel keluar dari bumi Mesir dan mengikutnya meninggalkan kampung halaman bagi mendapatkan kemerdekaan diri dan jiwa mereka. Ketika bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar oleh bala tentera Firaun sehingga Nabi Musa dan bani Israel terperangkap di depan lautan dan ketika itulah Allah memerintah Nabi Musa membelah lautan dengan tongkatnya. Maka yakinlah bani Israel bahawa mereka berada pada landasan yang benar.
Allah musnahkan Firaun dan bala tenteranya di dasar lautan di hadapan rakyatnya sendiri dan apa matlamatnya? Meyakinkan rakyat atau bani Israel bahawa kita mampu BERUBAH.
Begitu juga dengan senario dan lanskap politik negara kita rakyat perlu diyakinkan bahawa pemerintah sedia ada mampu diubah jika rakyat mahu. Jika rakyat Filipina dan Indonesia mampu melakukannya di zaman Marcos dan Pak Harto, tidak mustahil kita di sini dapat melakukannya.
Walaupun mentaliti rakyat negara ini majoritinya tidak suka dan mahu susah sama seperti bani Israel, apa yang akan dilakukan nanti juga tidak susah. Hanya dengan jangan memberi undi kepada UMNO dan BN dalam PRU14 nanti pastinya rakyat dan negara ini akan mampu melakukan perubahan.
Nabi Musa dengan mukjizatnya mampu membelah lautan, pemimpin PH insyallah mampu membelah kezaliman dan kejahatan pemimpin-pemimpin yang jahat lagi korup itu. Tidak perlu mukjizat untuk memilih PH kerana yang perlu hanyalah memangkah parti yang menentang UMNO dan BN.
Rakyat tak perlu meredah lautan lari dari Firaun dan bala tenteranya tetapi rakyat hanya perlu meredah pusat pengundian dan menterjemahkan undi dalam peti undi dengan memilih calon parti yang menentang UMNO dan BN.
Siapsiaga dengan sepenuh kudrat meyakinkan rakyat bahawa kita pasti dapat BERUBAH dari keadaan yang cukup parah ketika ini kepada kebangkitan semula ekonomi, sosial dan politik sejahtera di negara ini.
JOM UNDI PH
Comments
Post a Comment