YANG BELAJAR ITU NAJIB BUKAN KITA


Lirik lagu Doa Buat Kekasih nyanyian Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim menyebut "Sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa" dan tidak sedikit yang memetik kata-kata 'sejarah mengajar'. Namun, sejauh mana kita belajar dari sejarah dan apakah kita menjadi dewasa dari sejarah itu? 

Nampaknya, kita semua gagal menjadi dewasa dari sejarah dan ternyata sejarah tidak mengajar apa-apa kecuali catatan terhadap apa yang telah berlaku. Kita kekal menjadi budak yang terus mengulangi kesilapan sama. Semalam sudah menjadi sejarah dan hari ini kita mencipta sejarah baru untuk esok. 

Berapa ramai yang belajar dari apa yang berlaku ketika Tun Abdullah Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah menjadi Perdana Menteri (PM)? Berapa ramai yang sudah lupa dan berapa ramai yang tidak tahu pun apa berlaku sehingga membawa kepada pengunduran Pak lah pada 2 April 2009 dan kemudian digantikan Najib pada 3 April 2009. Tempoh singkat sebagai Perdana Menteri hanya selama 6 tahun dan 2 pilihanraya umum dipaksa memberi laluan kepada penggantinya pasti bersebab. 

Sebaik usai PRU 2004 di mana BN menang bergaya hingga hampir menyapu bersih kerusi parlimen, Pak Lah merasa beliau begitu hebat bertemankan menantu kesayangannya Khairy Jamaludin (KJ) yang mengahwini Nori anak beliau pada tahun 2001. Khayal dengan fantasi dan imaginasi dibisikkan menantunya itu, pelbagai tindakan-tindakan menjahanamkan negara dibiarkan terus bermaharalela hanya kerana yakin akan kehebatan lulusan Oxford ini.  

KJ yang terkenal dengan jentera pemusnah di tingkat 4 melakukan banyak perkara yang bukan saja melukai hati mantan PM selama 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad, malah hal-hal yang dianggap sudah menceroboh wilayah kekuasaan negara yang bukan dalam bidang kuasanya dan dia hanyalah menantu tidak lebih dari itu. Kemenangannya dalam pertandingan Naib Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda kemudiannya juga hanyalah disebabkan kedudukan beliau sebagai menantu Perdana Menteri. 

Apa yang dilakukan KJ ketika itu saling tak tumpah seperti apa yang berlaku sekarang ini dalam masalah pemerintahan negara. KJ dan 'Mem Besar' dilihat bukan lagi sebagai menantu dan isteri tetapi Perdana Menteri De Facto. Persepsi begini tidak baik untuk seorang pemimpin dan inilah menjadi punca utama Pak Lah terjerumus ke dalam pasir jerlus yang merentap beliau dari kerusi manusia paling berkuasa di negara ini.  

Mungkin ada yang beranggapan pengunduran Pak Lah dari jawatan Perdana Menteri seolah-olah beliau seorang pemimpin berjiwa besar kerana sanggup berundur dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Beliau dipuji sanggup mengorbankan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti dan negara dengan memberi laluan kepada Najib Tun Razak sebagai PM-ke 6. Tetapi sebenarnya Pak Lah terpaksa berundur dengan cara terhormat, demi mengelakkan beliau beliau diturunkan daripada kerusi pemimpin ulung UMNO dan kerajaan dengan cara yang mengaibkan.

Akronim Tiga ‘K’ sebagai kuasa di sebalik Pak Lah, Khairy, Kalimullah (Ketua Pengarang kumpulan The New Straits Times) dan Kak Endon (Datin Paduka Seri Endon Mahmood Ambak, isteri Perdana Menteri) menghantui dan berlegar di koridor kuasa Putrajaya. 

Memang tidak syak lagi 'K' yang pertama sekali itulah yang paling berpengaruh, kerana beliaulah yang melantik 'K' yang kedua ke jawatan tersebut dan mengahwini pula anak perempuan ‘K’ yang ketiga. Perkahwinannya itu berlangsung ketika 'K' ketiga sedang bertarung menghadapi serangan barah payudara.

Di antara Oktober 2003 sehingga Mac 2008, Pak Lah dan KJ adalah antara orang yang paling ditakuti dalam UMNO sekaligus menguasai kerajaan, namun akibat prestasi paling buruk sehingga pertama kali dalam sejarah BN kehilangan 2/3 kerusi parlimen dalam PRU 2008, kedua-duanya menjadi orang paling dibenci dalam UMNO.

Desakan terhadap Pak Lah dibuat, sehari selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008. Memang Melayu UMNO terlalu mudah lupa, tetapi rakyat tidak pernah lupa, bagaimana Pak Lah dan menantunya KJ dihina dan diherdik ahli-ahli UMNO akibat kegagalan BN dalam PRU 2008.

Sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad mencanangkan gesaan supaya Pak Lah berundur dari jawatan Presiden UMNO dan PM, Muhyiddin menyambutnya disertai pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan negeri, tanpa segan silu, secara terbuka menggesa Pak Lah berundur segera.

Pelbagai kebejatan dan kebobrokan dilakukan KJ, anak dan 'budak tingkat 4' dihamburkan di media sosial setelah sentimen kebencian terhadap mertua dan menantu ini tumbuh subur. Kisah KJ
meminjam RM9.2 juta untuk membeli saham ECM Libra dan empat bulan kemudian menjual semua kepentingannya berikutan tekanan politik terutamanya kritikan berterusan dari Tun Dr. Mahathir juga bukan lagi rahsia. Khabar angin KJ dan budak tingkat empat bertindak sebagai penjaga pintu pejabat Perdana Menteri dan kutip toci hingga mencecah puluhan ribu ringgit untuk temujanji dengan Perdana Menteri tular. 

Alkisah semuanya lebih kurang sama dengan apa sedang berlaku ketika ini. Curi tetap curi bukan Chori Chori Chupke Chupke yang bermaksud "diam-diam, tanpa suara". Individu yang menjadi PM 'de-facto' tetap kebal seperti ketika zaman Pak Lah tetapi di mana ungkapan 'Sejarah Mengajar Kita?' Hasil tilikan saya, memang sejarah mengajar tetapi mengajar Najib bukan mengajar rakyat termasuk kita semua khususnya pemimpin dan ahli UMNO. 

Kenapa semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir gagal melakukan apa yang dilakukan terhadap Pak Lah? Kerana kita tidak belajar dari sejarah. Yang belajar adalah Najib. Najib belajar dari pengajaran diterima Pak Lah dengan begitu cemerlang bagaimana mengelakkan dirinya tersungkur. Pak Lah 'bakhil' tetapi Najib 'pemurah' sehingga ketua-ketua bahagian dan jentera berkuasa dalam kerajaan sayang padanya. Pak Lah tidak sehebat Najib erat memeluk SPRM, PDRM, AG, ATM, istana dan apa saja yang boleh mengurangkan keberkesanan jampi serapah serta 'mandrem' sesiapa saja yang cuba menundukkan beliau.

Najib seorang yang begitu terang hatinya dalam mempelajari selok-belok mempertahankan kuasanya dari sejarah yang diukir ketika Pak Lah direbahkan. Kalah Hang Tuah memanjat Gunung Ledang berguru dengan Adiputra. Satu hal yang harus diingat, bisikan menantu tidak sesekali dapat mengatasi bisikan 'sang isteri'. Sejarah membuktikan betapa hebatnya kuasa isteri terhadap suami dan jika ragu-ragu, tanyalah Imelda Marcos dan Grace Mugabe.

Rajin belajar ada manfaatnya, malas belajar tunggulah padahnya. Kata Henry Ford, “Seorang yang berhenti belajar itu tua, walaupun dia berumur 20 ataupun 80 tahun.” Tapi, bagi aku, "Aku belajar setiap waktu. Batu nisan akan menjadi ijazahku.”

Comments

Popular Posts