FASILITATOR
Setiap kali saya hadir kursus dahulu, samada di INTAN, luar dan dalam PDRM, saya diperdengarkan perkataan 'fasilitator' bukan lagi pensyarah atau guru. Kerana apa? Kerana kata mereka semua tenaga pengajar adalah 'fasilitator' yang bermaksud pemudah cara'. Peranan mereka adalah memudahkan cara pembelajaran sepanjang kursus.
Jika mereka sudah mula menyusahkan peserta kursus, maknanya mereka bukan lagi 'fasilitator' setelah gagal 'facilitate' peserta kursus. Di penghujung kursus, semua 'fasilitator' akan dinilai dalam borang penilaian kursus dengan skala yang disediakan dalam borang tersebut dan bagi mereka yang menyusahkan peserta kursus akan mendapat nilaian buruk dari peserta kursus.
Hal ini sama juga dengan agensi kerajaan samada separa kerajaan atau sepenuhnya. Jika pelanggan datang ke kaunter pertanyaan balai polis untuk membuat laporan polis, adalah menjadi tanggungjawab petugas di pejabat pertanyaan untuk menerima laporan polis tanpa sebarang helah dan alasan untuk menyusahkan pelanggan (pengadu). Tidak timbul soal salah pintu kerana 'No Wrong Door Policy' sudah lama ditekankan di setiap jabatan kerajaan.
Begitu juga dengan LHDN, JPJ, Imigresen, JPN, hospital, Kastam dan semua sekali termasuk SPR dan ROS (Pendaftar Pertubuhan). Dalam isu PPBM, sudah terang lagi bersuluh kedua-dua entiti ini seolah-olah cuba menggagalkan usaha rakyat mendapat kerajaan 'alternatif' apabila mengenakan pelbagai tekanan dan kaedah menyusahkan parti ini dan juga PH membuat pendaftaran seterusnya bertanding dalam pilihanraya akan datang.
SPR dan ROS perlu ingat bahawa segala kemudahan yang dinikmati dan upah mereka ditanggung dari wang pembayar cukai termasuk semua rakyat tidak kira menyokong BN atau sebaliknya. Mereka seharusnya menjadi 'fasilitator' kepada PH dan PPBM untuk membetulkan kekurangan atau apa yang boleh menyebabkan parti dan gabungan pembangkang itu berdepan kesulitan. Mereka boleh saja menyokong atau menjadi ahli mana-mana parti tetapi tidak sampai ke tahap memberi tekanan atau cuba menggagalkan mana-mana pihak mendaftar parti politik serta bertanding dalam pilihanraya.
Saya cuba mengimbau kembali tindakan-tindakan ketika saya bertugas dahulu di mana setiap kali ada permohonan parti-parti politik untuk mengadakan ceramah politik yang sampai ke meja saya sebelum diluluskan oleh Ketua Polis Daerah seboleh-bolehnya akan disokong untuk memudahkan parti-parti politik dan juga ketua saya iaitu Ketua Polis Daerah ketika itu. Begitu juga dengan permohonan dari peniaga kedai kereta terpakai, barang lusuh, lesen senjatapi dan sebagainya. Alasan saya kepada Ketua Polis Daerah cukup mudah iaitu dengan memberi lesen atau mengeluarkan permit, kita mudah memantau dan mengenakan peraturan.
Jika berlaku sebarang masalah kemudian hari mudah untuk kita merujuk kepada penganjur atau pemohon. Selain kerajaan dapat mengutip bayaran permit dan lesen, rekod di jabatan kita juga dapat dikemaskini. Jika ada sebarang kekurangan dan kesilapan, saya akan memanggil pemohon atau penganjur untuk membetulkan atau menyediakan apa yang belum disertakan dalam permohonan mereka. Sepanjang pengalaman lalu, belum ada yang enggan datang atau enggan bekerjasama. Malah merekalah yang sering berhubung bertanya kedudukan permohonan mereka.
Oleh yang demikian, apabila melihat kepada isu PPBM berdepan masalah untuk mendaftar dan tindakan membubarkan parti ini sekaligus meranapkan impian mendaftar PH, fikiran dan persepsi saya amat mudah. Kedua-duanya sudah terjerumus dalam kancah politik secara sengaja dan bertindak secara tidak profesional. Mereka memilih untuk memaklumkan PPBM dan PH melalui media massa daripada berhubung secara terus memaklumkan keperluan seperti yang didakwa.
Tepat seperti apa yang disebut oleh TS Rais Yatim dalam twit beliau pada 5 April 2018, "Apa perlunya Pendaftar Pertubuhan buat sidang akhbar tentang penggantungan sementara PPBM di ambang PRU14? Bukankah lebih baik panggil saja Setiausaha PPBM dan beri nasihat? Seksyen 14(5) tak perlu dijadikan pisau penyembelih demokrasi. Terasa sangat sesuatu yg tak kena."
Semua agensi keraja perlu ingat bahawa mereka perlu bertindak tidak memihak kepada sesiapapun apatah lagi menjadi hamba sahaya kepada individu atau pihak mana sekalipun hatta mereka yang menjadi pemerintah. Setiap jabatan dan kementerian mempunyai Standard Operating Procedure (SOP), Skim tugas, Arahan Ketua Jabatan, Pekeliling dan undang-undang berkaitan tugas dan peranan jabatan masing-masing.
Patuhi semuanya pasti tidak akan berdepan masalah samada dengan pemerintah atau rakyat. Sementelah, kesemua kementerian, jabatan samada penguatkuasa atau keselamatan sekalipun diberi kuasa 'BUDIBICARA' yang membolehkan sesuatu perkara yang tidak boleh dibolehkan selagi tidak bertentangan dengan peraturan dan undang-undang.
Kita semua diberi amanah oleh rakyat dan lantaran itu, amanahlah kepada rakyat. Jujur dan bertanggungjawablah kita kepada diri sendiri, bangsa, negara dan paling penting agama (Tuhan masing-masing). Kita semua adalah fasilitator kepada rakyat bukan bertindak seolah-olah 'malaikat maut' sekiranya datang tidak ada lagi negosiasi.
Comments
Post a Comment