CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG
Percayalah! Masih ada cahaya di hujung terowong. Allah sesekali tidak pernah menzalimi hambanya. Sehebat-hebat Firaun, pengakhirannya tidak lain dan tidak bukan adalah di dalam perut laut.
Ferdinand Marcos terpilih menjadi presiden Filipina pada tahun 1966 dan digulingkan dari kekuasaan pada tahun 1986 dalam sebuah revolusi besar-besaran tidak berdarah. Selama 20 tahun menerajui Filipina, kekuasaan menenggelamkan kewarasan fikiran dan dipengaruhi sepenuhnya oleh isteri kesayangannya Imelda. Pada awal Julai 1988, Bekas Ketua Hakim Filipina Claudio Teehankee melawat Malaysia dan memberi ucapan bertajuk "Kembali Pulihnya Demokrasi Berperlembagaan di Filipina" bertempat di Universiti Malaya.
Menurut Claudio Teehankee, ketika Marcos memerintah, badan kehakiman telah dilucutkan kuasanya. Beliau meminda beberapa bahagian perlembagaan bagi mengukuhkan kedudukannya serta membubarkan mahkamah dengan mengenakan undang-undang tentera. Ramai ditahan tanpa bicara untuk temoh yang panjang. Tambah Teehankee lagi, apabila Mahkamah Agung meminta sesuatu maklumat dari Marcos, beliau 'mengecap' dokumen itu sebagai rahsia. Setelah rakyat Filipina tidak tahan lagi dengan karenah pemerintahan Marcos, mereka bangkit menentang dan Filipina kembali sebagai sebuah negara demokrasi, membangun berasaskan keadilan dan bebas.
Walaupun ketika zaman pendudukan Jepun Marcos merupakan pejuang gerila yang berjuang untuk negaranya serta banyak jasanya kepada negara dan rakyat di negara itu sehingga diangkat menjadi presiden, jasanya tidak mampu membersihkan bau hanyir, lendir dan najis penyalahgunaan kuasa, penganiayaan terhadap rakyat dan korupsi mega.
Soeharto yang juga mantan jeneral tentera Indonesia lebih kurang melalui proses sama berkorban untuk negara sebelum menjadi presiden Indonesia. Di peringkat awal sebagai presiden, beliau juga banyak melakukan bakti pada negara dan rakyat di sana. Tetapi, kekuasaan membutakan mata, menjadikan telinga tuli serta pintu hati terperangkap dalam jebakan indahnya dunia. beliau juga menerima nasib sama seperti Marcos terpaksa digulingkan demi menyelamatkan Indonesia dari terus berpesta korupsi dan kezaliman terhadap rakyatnya. Presiden Soeharto digulingkan oleh rangkaian demonstrasi mahasiswa dan rakyat. Krisis ekonomi pada tahun 1998 menjadi pemicu utama Soeharto ditendang keluar dari istana presiden setelah rakyat muak dengan rejim represif yang berkuasa selama 32 tahun itu.
Sejarah kediktatoran pemimpin silih berganti mengambil tempat dengan hanya berubah jasad dan masa. namun, manusia tetap tidak percaya mereka juga akan menerima nasib sama setelah berada di singgahsana kuasa kerana dibisikkan oleh iblis dan kuncu-kuncu syaitan di sekeliling pemimpin itu bahawa tidak akan ada satu kuasa pun mampu menjatuhkan beliau. Padahal, iblis-iblis dan syaitan-syaitan inilah yang pertama sekali akan lari meninggalkan pemimpin tirani dan diktator sebaik terpelanting dari kerusi utama kekuasaan sesebuah negara.
Samada tentera atau polis, mereka juga merupakan rakyat yang akan kembali kepada lembah kerakyatan sebaik tempoh perkhidmatan dicopot. Sekiranya mereka dicampakkan rasa kesedaran oleh Allah swt ke dalam hati masing-masing lebih awal, pastinya mereka sesekali tidak akan termakan hasutan pemimpin jahat, korup dan menindas rakyat demi secubit nikmat yang dijanjikan. Sedarlah kita bahawa alam yang fana ini hanyalah sementara untuk diuji samada lemah atau tidak kita berdepan dengan umpan iblis bertopengkan keindahan dunia ini.
Nampaknya, susur-galur dilalui Marcos dan Pak Harto serta tindakan-tindakannya selama berkuasa menjadi inspirasi kepada pemimpin-pemimpin yang tidak percaya bahawa doa orang dizalimi itu tidak berhijab.
Robert Biffault berkata, "Keadilan akan menjadi mungkin hanya apabila semua pihak mempunyai kuasa untuk menentang dan menegah apa yang salah."
Pemimpin yang sudah menjadi diktator samada secara sedar atau sebaliknya mempunyai satu persamaan antara satu sama lain iaitu PEMBOHONG tegar dan licik. Ini disebabkan seperti kata Adolf Hitler, "Majoriti rakyat di mana-mana juga negara lebih mudah percaya pada pembohongan besar daripada pembohongan kecil" dan diktator semuanya PEMBOHONG BESAR.
Comments
Post a Comment