KENAPA USAHA PEMULIHAN SENTIASA KECUNDANG
Begitu besar peruntukan kerajaan diberi kepada agensi terlibat nampaknya ia masih gagal membuahkan hasil. Selain faktor dadah itu sendiri dan sindiket dadah masih gagal dibendung, sikap masyarakat juga didapati menjadi penyumbang kepada masalah ini. Kita punya pusat koreksional tetapi gagal melakukan koreksi kerana masyarakat melihat masalah ini adalah tanggungjawab pihak berkuasa dan agensi pemulihan seperti AADK.
Masyarakat bukan saja tidak membantu, malah mereka memandang hina bekas penagih dan bekas banduan termasuklah keluarga masing-masing. Akhirnya mereka dapati diri mereka seolah-olah tidak berguna dan pandangan mereka tempat kekal paling sesuai adalah dalam kelompok asal iaitu di kalangan penagih dan juga rakan sejenayah dahulu.
Kenapa saya utarakan isu ini? Ia amat berkait rapat dengan dunia politik masyarakat kita. Jangankan yang berkedudukan rendah dalam hirarki parti politik, yang pernah menjawat jawatan perdana menteri selama 22 tahun pun dipandang begitu. Jika ada mana-mana individu atau kelompok politik yang mahu berhijrah kepada parti politik yang memperjuangkan kepentingan rakyat, mereka akan dianggap bersandiwara atau berpura-pura menjadi insan suci. Mereka akan dianggap sebagai manusia kecewa yang berpindah parti kerana ada kepentingan peribadi. Segala kisah silam yang entah benar atau tidak akan diputar-putar sehingga lunyai sedangkan sepatutnya kita mengalu-alukan mereka yang berkorban untuk membantu perjuangan rakyat.
Sementara parti asal pemimpin atau individu itu pula akan memukul canang bahawa mereka ini 'tikam belakang', penuh dengan pelbagai skandal yang sebelum ini ketika berada dalam parti mereka ditutup ketat. Semuanya dilakukan agar tidak ada individu atau pemimpin dalam parti keluar menyertai parti lain. Saling tak tumpah seperti kongsi gelap yang akan memburu ahli-ahli atau ketua yang dianggap belot kepada kumpulan mereka. Pemburuan mereka akan hanya terhenti setelah pemimpin atau ahli yang keluar dari kumpulan mereka tercabut nyawanya.
Masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semua pihak dan seluruh rakyat yang mahukan perubahan seharusnya memberi fokus masalah ini agar semangat untuk melakukan perubahan demi kepentingan rakyat dan negara di kalangan pemimpin dan individu dalam parti politik semakin bertambah. Jangan dibiarkan parti-parti politik yang korup dan diselubungi penyalahgunaan kuasa terus dominan dan menguasai singgahsana politik selamanya. Semua ini gara-gara masyarakat menganggap perubahan yang cuba dilakukan pemimpin atau individu yang ingin berubah ini tidak penting atau tidak akan memberi impak positif kepada negara dan rakyat.
Jika kita tidak mampu untuk berjuang melawan korupsi, petualang-petualang politik yang sedang menjahanamkan negara, jangan pula kita menjadi penghalang kepada usaha mereka. Nikmat hasil perjuangan yang dilakukan oleh golongan ini jika berhasil nanti, semua dari kita akan meratahnya sedangkan ketika mereka berjuang, kitalah parasit dan anai-anai yang menjadi pengkhianat.
Sampai bila masyarakat dan negara akan dapat dipulihkan jika sikap kita sama seperti melayan bekas penagih dan bekas banduan dilakukan kepada pemimpin dan individu yang ingin berubah membantu rakyat?
Comments
Post a Comment