MIMPI


Kata orang 'mimpi' mainan tidur tapi nampaknya mimpi sudah jadi mainan 'ulama' sekarang ini. Nik Amar sudah menjadi broker mimpi Hadi Awang dan beliau serta bos besarnya bertindak sebagai 'catalyst' untuk 'mimpi' tular dengan begitu pantas.  

Bukan senang untuk bermimpi jika tidak betul-betul tidur lena kerana mimpi bukan boleh dipanggil-panggil dan dipaksa datang. Jika datang mimpi maknanya ia bukan rekaan kerana bukan boleh dibeli walau dengan harga RM2.6 bilion. Tetapi itu tidak bermakna ia tidak boleh direka-reka untuk kepentingan pihak-pihak berkepentingan.

Bila Nik Amar dan Hadi mempopularkan isu mimpi, ia mengheret saya kembali kepada detik bertugas dulu. Dalam PDRM, taklimat pagi atau disebut 'morning prayer' untuk pegawai-pegawai setiap hari dan 'panggil nama' yang sering disebut 'roll call' bagi anggota pangkat rendah (rank & file) adalah sesuatu yang rutin. 

Ketika bertugas di IPD Kota Setar, apabila saya mengambil sesi 'roll call', saya dapat mengesan beberapa hal agak menarik dan melucukan yang saya simpan dalam fikiran saya sebagai khazanah pengalaman berharga. 

Pertamanya, setiap kali selesai 'roll call', kesemua anggota detektif bercempera berebut keluar bilik mesyuarat. Entah apa dikejar mereka biarlah saya arkibkan kerana nak dikatakan mengejar maklumat risikan, bila pulang macam nelayan pulang dari lautan lepas ribut tanpa hasil. 

Diajak minum pagi sentiasa alasan sibuk yang diberi. Satu hari saya berpesan kepada pemandu saya agar bersiap dengan enjin sudah bersedia untuk keluar dan tunggu arahan dari saya. Sebaik 'roll call' selesai, saya seperti detektif-detektif yang hadir sama-sama bercempera keluar bilik mesyuarat bagai nak pecah pintu gara-gara semua nak cepat. Kalah anggota bomba terima panggilan kebakaran jika ada yang memerhati gelagat kami. 

Saya bersama pemandu dengan pantas mengekori salah seorang detektif yang menunggang motosikal ke arah sekolah menengah lama saya dahulu Kolej Sultan Abdul Hamid. Dari jauh saya nampak detektif tersebut menunggang motosikal dan meletakkannya berhampiran sebuah kereta roda tiga menjual minuman dan minum pagi dan di sebelahnya kelihatan ramai berkumpul di sebuah meja kayu yang hampir reput. 

Saya beritahu pemandu untuk menunggu dengan kenderaan tidak jauh dari situ dan saya berjalan kaki ke sana. Di sana saya dapat lihat rupa-rupanya ramai detektif saya di situ terbongkok-bongkok semuanya seperti ada benda dikerumuni. Saya pun menjenguk apa yang dikerumuni dan nampak buku kecil dengan kotak-kotak kecil dibuku itu. Salah seorang detektif berkata semalam 'mimpi' beliau kucing lompat dari atas bumbung. Ditafsirlah nombor kucing, nombor lompat dan bumbung untuk digabungkan. 

Barulah saya tahu aktiviti rutin mereka setiap hari ada 'tikam nombor' maka inilah 'port' utama mentafsir mimpi untuk disedekahkan kepada 'tokey' ekor. Kalah sudah pasti dan menang jauh sekali tetapi itu jugalah yang dikejar. Buku tafsir mimpi hampir lunyai mangsa kerakusan manusia ingin cepat kaya.

Tanpa sengaja saya bersuara, patutlah tiap-tiap pagi macam nak pecah pintu bilik mesyuarat! Rupa-rupanya mentafsir mimpi dan akhirnya belum sampai hujung bulan minta pinjam duit konon buat belanja anak sekolah. Semua detektif yang ada di situ 'cam' suara saya menoleh ke belakang dengan muka 'pucat lesi' tetapi memandangkan mereka 'pakar' dalam bab penyamaran, alasan mereka juga spontan konon baru hari itu mereka sekali di sana.

Saya pun tak mahu memanjangkan isu mimpi itu di sana sepertimana Hadi Awang dan Nik Amar kerana mimpi bukan bukti kukuh untuk dijadikan asas menyokong dakwaan. Jika video dan rakaman suara pun ditolak mentah oleh Ayatollah, inikan pula mimpi. Nanti tak pasal-pasal saya diminta membawa empat saksi. 

Bukan senang untuk penuhi syarat saksi. Ke empat-empat lelaki mestilah beragama Islam, baligh, sempuma akal, seorang yang adil dan menjauhi dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil. 

Dengan kata-kata lain, ia tidak fasiq, diketahui keadilannya dan bukan orang yang hasad atau khianat. Zaman sekarang nak jumpa seorang saksi dengan ciri-ciri itu yang menyaksikan perlakuan demikian ketika itu serentak ke empat-empat orang tidakkah perit saya mencarinya?

Tetapi, memandangkan setiap kata dan tindakan para 'ulama' dan Ayatollah ini 'wajib' dipercaya dan diyakini, maka kita terimalah kisah mimpi itu dengan senyuman manis dan lebar hingga ke telinga agar tidak termasuk golongan mereka yang dilaknat dan tidak berbau syurga. 

Manis dan indahnya hidup dikelilingi para Ayatollah dan 'ulama' kerana neraka sudah semakin jauh dan janji syurga hanya perlu menjaga hati dan nurani mereka. Nampaknya anggota-anggota saya dulu juga sudah setaraf dengan Ayatollah dan 'ulama' yang gigih bermimpi. 

Comments

Popular Posts