DARAH HAMAS MENGALIR DI SINI


21 April 2018 mencatat satu lagi sejarah hitam negara apabila 
pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma, 35 ditembak mati dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad, kata Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash.

Dr. Fadi M.R Albatsh mati ditembak dari jarak dekat oleh dua penjenayah ketika beliau berjalan kaki ke surau untuk menunaikan solat subuh di Jalan Meranti, Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi.
  
Tambah Khaled al-Batash, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

Malah, kebanyakan portal berita termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.
Khaled dalam kenyataan seperti dilaporkan Haaretz.com menyatakan Fadi adalah jurutera Palestin dan terbabit dalam pergerakan pejuang Hamas.

Sebagai pejuang Hamas, pastinya arwah berhajat syahid di medan tempur samada di Gaza atau Tebing Barat. Tetapi sebagaimana panglima perang Islam terulung Khalid Al walid menangis ketika terbaring di katilnya kerana hajatnya untuk mati syahid di medan perang tidak kesampaian.

Mudah-mudah beliau syahid walaupun di sini tetapi samada syahid atau sebaliknya hanya menjadi rahsia Allah swt. Kita bukan siapa-siapa dan bukan presiden atau pemimpin parti suci yang mampu mengetahui rahsia alam ghaib samada di langit mahupun dibumi siapa syahid, siapa ke syurga dan siapa mahu dihumban ke neraka.

Sudah pasti rakyat merasa bimbang dengan perkembangan ini kerana pada 13 Februari 2017, Kim Jong Nam meninggal dunia dalam masa 15 hingga 20 minit selepas VX, agen saraf yang membawa maut dan diharamkan di peringkat antarabangsa, dilumurkan pada mukanya oleh dua wanita  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Kim merupakan anak sulung diktator Korea Utara mendiang Kim Kim Jong il dan abang tiri diktator Korea Utara Kim Jong un. Pembunuhan itu dipercayai dirancang dan diperintahkan dengan kelulusan kerajaan Korea Utara.


Negara ini dilihat sudah begitu 'fragile' dari aspek keselamatan khususnya melibatkan 'intelligence game' yang melibatkan nama-nama gah dalam soal perisikan. Keberanian pihak perisikan asing menjalankan kegiatan 'penyuluhan' (espionage) dan 'clandestine operation' di negara ini seakan-akan mencabar kedaulatan negara dan apa yang diharapkan oleh seluruh rakyat adalah ianya perlu ditamatkan segera.

Mengikut Jabatan Statistik, 3.3 juta penduduk Malaysia pada tahun 2017 adalah warga asing. Penduduk Malaysia  dianggar berjumlah 32 juta dengan 28.7 juta adalah warganegara manakala selebihnya bukan warganegara. Bayangkan risiko negara di ambang bencana seperti ini kerana mampukah pihak keselamatan mengenalpasti mana satu mampu memberi ancaman dan mana yang tidak. Yang mana agen perisikan dan yang mana militan? Yang mana operatif agensi perisikan dan mana satu bertindak sebagai 'Fifth Column'. 

Kehadiran warga asing yang begitu ramai di negara ini tidak dapat dinafikan mengundang pelbagai risiko khususnya aspek keselamatan selain penyakit berjangkit dan penyakit sosial. Dengan hanya memikirkan keuntungan segera tanpa menimbangkan implikasi keselamatan merupakan langkah naif diambil oleh kita. 

Jika kita berjalan-jalan di kawasan Bukit Bintang samada siang atau malam seakan-akan kita berada di negara asing. Hebat sangatkah kita dalam soal pemantauan warga asing ini? Alangkan di Lahad Datu dan Wang Klian sekangkang kera itupun sudah tersungkur dalam soal maklumat kehadiran warga asing, inikan pula situasi dalam bandar yang sukar dikawal.

Mampukah kita bertindak sepertimana pernah dilakukan agensi perisikan Jordan satu ketika dulu? Dulu Khaled Mashaal pemimpin Hamas yang cuba dibunuh ejen perkhidmatan rahsia Israel, Mossad pada 1977 dengan menyembur bahan kimia berbahaya di telinga ketika Khaled berjalan di sebatang jalan di Amman, Jordan tetapi rancangan Israel itu bagaimanapun digagalkan.

Kedua-dua suspek terbabit dalam cubaan membunuh itu berjaya ditangkap, dan Raja Jordan, Raja Hussein mengugut untuk menggantung kedua-dua suspek tersebut di khalayak, kecuali Israel bersetuju memberikan penawar racun berkenaan. Persetujuan tersebut bukan sahaja berjaya mendapatkan penawar racun, tetapi beberapa tahanan Palestin turut dibebaskan. 

Jordan hanya sebuah negara kecil tetapi agensi perisikannya hebat dan pasti salah satu puncanya adalah kerana tidak begitu ramai pekerja luar seperti Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Indonesia, Thailand dan berbagai lagi warga asing. 

Insiden ini wajar menjadi 'turning point' supaya polisi pengambilan warga asing sebagai pekerja serta kemasukan orang asing dikaji semula demi keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara yang sedang dicarik-carik dan dirobek.

Darah Hamas sudah mengalir, Korea Utara juga sudah, siapa lagi menunggu giliran? Kata Machiavelli dalam bukunya The Prince, "Kebijaksanaan terselindung di sebalik kebolehan membezakan bahaya dan memilih yang paling tidak bahaya".

Comments

Popular Posts