PERANG BENDERA


Setiap kali pilihanraya akan diadakan sejak pilihanraya yang pertama hinggalah PRU14 akan datang, hal yang tidak dapat tidak akan diberi fokus utama adalah bendera. Bendera tidak salah dan mengibarkannya juga tidak salah. Tetapi, pada pandangan saya yang naif ini, biarlah berpada-pada dan dalam erti kata munasabah.

Semenjak zaman Rasulullah SAW, umat Islam sudah mempunyai dan menggunakan bendera. Dalam bahasa Arab, bendera disebut dengan liwa’ atau alwiyah (dalam bentuk jamak). Istilah liwa’ sering ditemui dalam beberapa riwayat hadis tentang peperangan. Jadi, istilah liwa’ sering digandingkan pemakaiannya dengan rayah (panji perang).

Istilah liwa’ atau disebut juga dengan al-‘Alam (bendera) dan rayah mempunyai fungsi berbeza. Dalam beberapa riwayat disebut, rayah yang dipakai Rasulullah SAW berwarna hitam, sedangkan liwa’ berwarna putih. 

Rayah dan liwa’ juga mempunyai fungsi berbeza. Rayah merupakan panji yang dipakai pemimpin atau panglima perang. Rayah menjadi penanda bahwa orang yang memakainya merupakan pimpinan yang menggerakkan seluruh pasukan. Jadi, hanya para komander (skuadron, 'detachment') yang memakai rayah.

Rayah diserahkan terus oleh khalifah kepada panglima perang serta komander-komandernya. Selanjutnya, rayah dibawa selama berperang di medan peperangan. Oleh yang demikian, rayah disebut juga Ummu al-Harb (Induk Perang). Sementara kita di sini bendera diserahkan bukan kepada panglima perang atau komander tetapi pecacai makan upah pasang bendera atau ahli-ahli yang tidak kikir tenaga dan usaha tetapi sejauh mana mereka tahu kepentingan dan fungsi bendera? Inilah puncanya ada bendera dipasang hingga merata tempat termasuk JAMBAN, tempat pondan-pondan berkumpul jual ekzos, sarang maksiat dan macam-macam lagi.

Bendera merupakan simbol yang mewakili negara, ne­geri, pertubuhan dan organisasi. Perkataan ‘bendera’ berasal daripada perkataan Portugis iaitu ‘bandeira’ bagi menggambarkan sepotong kain bercorak yang digunakan sebagai simbol sesebuah negara atau juga suatu entiti.

Pada awal kewujudan bendera sejak beribu-ribu tahun lalu, orang Mesir, Parsi, Yunani dan Rom membawa pelbagai objek yang dijadikan simbol tuhan atau pemerintah mereka dikibarkan pada tiang.
Tentera Mesir purba pula menggunakan kain ini sebagai alat penyelaras tentera di medan perang. Namun kini, bendera lebih berfungsi sebagai simbol identiti sesebuah negara dan juga suatu entiti. Bendera boleh membangkitkan semangat untuk melahirkan keberanian dan berkorban.

Dari sudut kenegaraan, bendera mempunyai nilai kedaulatan dan lambang maruah serta jati diri warganya. Justeru, kaedah dan atur cara penggunaannya perlu bersesuaian bagi menjaga nilai kedaulatan negara dan rak­yatnya. Penggunaan dan kaedah yang salah boleh menjatuhkan martabat kedaulatan yang ada pada bendera negara berkenaan. 

Oleh itu, sama halnya dengan bendera parti politik yang digunakan setiap kali pilihanraya. Sesuatu yang berharga, mempunyai nilai tinggi tidak seharusnya menjadi bahan mainan, sendaan dan ejekan. Malangnya, ia sukar dikawal kerana terlalu banyak jumlah bendera dipasang. Sementelah dalam pilihanraya ia juga boleh dianggap perang politik sehingga muncul ungkapan 'perang bendera' atau 'perang poster'. 

Apabila terlalu banyak maka kemampuan untuk memasang dan mengibarkannya juga sudah di luar kemampuan parti politik dengan mengupah orang lain atau kerjasama ahli-ahli parti yang kebanyakannya golongan muda dan tidak tahu fungsi bendera dan kedaulatannya. Maka berlakulah kes-kes monyet dan kambing melarikan bendera, ada yang terkena renjatan elektrik dan ada tersesat di puncak bukit gara-gara ghairah memasang bendera. Apa rasional dan pentingnya bendera di pasang begitu tinggi sehingga puncak bukit atau menara pencawang TNB? 

Isu bendera jugalah yang mengheret samada penyokong parti atau tukang pasang bendera bergaduh setiap kali pilihanraya termasuk menuding jadi antara satu sama lain. 

Dalam peperangan, senjata diperlukan untuk berperang samada keris, tombak, panah, perisai tangan dan lembing di zaman dahulu termasuklah bendera dan panji-panji tetapi tidaklah begitu banyak. Zaman sekarang kereta kebal, jet pejuang yang tertera bendera di badan pesawat, senapang, meriam dan lain-lain.

Zaman semakin canggih dengan pelbagai teknologi dan jika bendera itu sebagai alasan untuk memudahkan pengundi memilih dan faham parti mana yang perlu dipilih, apakah selain bendera yang berkibar itu satu-satunya cara menyelesaikan masalah tersebut? 

Bukankah kita mempunyai pelbagai medium untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat? Malah TV dan radio juga yang bukan dimiliki pihak swasta wajar diberi peluang kepada pembangkang untuk sama-sama menikmati peluang berkempen untuk memberi penerangan tentang simbol parti masing-masing yang perlu dipilih dalam pilihanraya bersama UMNO dan BN. Kewujudan RTM atas dana kerajaan yang secara langsung dibiayai dari hasil cukai dikutip oleh rakyat maka berlaku adil lah kepada semua pihak selagi mereka adalah rakyat negara ini. 

Malah ia lebih menjimatkan dan tidak membazir serta tidak akan menimbulkan masalah bendera dan poster terbiar hingga reput di tempat di pasang termasuk tiang lampu isyarat, tiang letrik, papan tanda jalan dan berbagai lagi tempat bertahun-tahun. Lebih menyedihkan adalah ia dibiarkan dipasang di tempat-tempat penting seperti lampu isyarat, papan tanda dan banyak lagi yang menghalang penglihatan pengguna jalanraya. Tidak kah ianya membahayakan masyarakat? 

Jika bendera masih perlu sekalipun, tetapkanlah jumlahnya dengan had-had tertentu. Apa pun apabila terlalu banyak akan meyebabkan nilainya jatuh sama seperti teori ekonomi tentang harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran. Apatah lagi ianya soal penting terkait dengan soal maruah dan kedaulatan parti masing-masing. 

Jangan salahkan monyet, kambing, beruk atau tukang pasang bendera yang gelagatnya hampir sama dengan monyet, kambing dan beruk yang khianat kepada bendera yang dipasang kerana di mana akal beruk, monyet dan kambing? Kita yang bukan haiwan inilah sepatutnya menggunakan akal fikiran yang Allah swt kurniakan kepada kita.

Jika bendera itu dianggap penting, militan Islamic State (IS) pun punya bendera. Kata Gus Dur, "Islam itu tidak perlu dikerek jadi bendera."

Ketika detik menjelang PRU13 yang lalu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Pengajian Media Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata bendera dan poster bukanlah faktor penentu kepada kejayaan parti kerana pengundi akan memangkah calon berdasarkan pelbagai kriteria. Tambah beliau, "Sokongan pengundi datang daripada gabungan pelbagai faktor seperti peranan media, isu semasa yang berlegar dalam parti, personaliti calon dan sokongan semasa pengundi sama ada pilih parti atau calon." 

Oleh kerana itu, setiap sesuatu yang kita lakukan, tidak semestinya dulu buat sekarang mesti buat. Jika itulah alasannya, dulu orang telanjang dan tinggal dalam gua maka kekal saja kita bertelanjang bulat dan tinggal di dalam gua.

Cara berkempen itulah lebih penting dan jangan menari ikut gendang dipalu UMNO dan BN kerana kesan propaganda media BN sejak lebih separuh abad akhirnya melahirkan minda pengundi yang dikuasai dengan hegemoni UMNO berteraskan kaum dan agama serta taktik menakutkan pengundi yang berbeza pandangan dengan mereka.

Wallahualam..



Comments

Popular Posts