SENJATA MAKAN TUAN


Najib dan penjilat-penjilat tegar di sekelilingnya tidak pernah belajar dari kesilapan. Bagi mereka mungkin 'belajar dari kesilapan' itu bermakna semakin banyak kesilapan dilakukan maka lebih banyak pelajaran diperolehi dan mesti diulang kesilapan itu. Tanpa henti mereka menghentam dan melanyak Tun Mahathir Mohamad sejak beliau secara terbuka mempersoalkan isu 1MDB setelah kaedah rundingan dalaman tidak berhasil. 

Isu Tun Dr. Mahathir Mohamad dipergunakan DAP tak kering bulu dijadikan modal mereka menakut-nakutkan rakyat khususnya orang Melayu. Jika diimbas kempen dan ceramah-ceramah politik, DAP jarang sekali pemimpin mereka menonjolkan Tun Mahathir untuk meraih sokongan. PKR, AMANAH dan PPBM sahaja yang dilihat menggunakan nama Tun Mahathir sebagai jenama istimewa dalam program dan ucapan mereka. Dalam peperangan, kalau tidak menggunakan nama pemimpin sendiri takkan nak diguna nama pemimpin lawan? Tentera Jerman melawan musuh bermati-matian kerana mereka hormat dan menyanjungi  Hitler. Oleh itu, mana mungkin mereka menggunakan nama Mussolini atau Stalin? Tambah-tambah nama Winston Churcill?

Apabila suatu benda atau manusia diguna maknanya dia berguna. Kalau benda atau manusia tak berguna pastinya tidak akan digunakan. Kalau asyik terkepit, terjerit-jerit saja rasanya Sajat lebih berguna. Menurut Shahbudin Husin dalam blog beliau bertarikh 8 Mei 2016, "Dalam pilihanraya Sarawak kali ini (Pilihanraya Negeri Sawarak 2016) juga tiada poster Najib dibenarkan dipasang di mana-mana, yang ada hanya gambar Adenan dan lain-lain pemimpin peringkat negeri. Tidak mustahil jika ada gambar Najib di mana-mana, jumlah kemenangan itu mungkin kurang daripada 72." Untuk rekod, BN menang 72 kerusi dari 82 kerusi DUN Sarawak dalam pilihanraya ini. Maknanya, Najib dianggap liabiliti dan tidak berguna kepada BN Sarawak kecuali arwah Adenan Satem mantan Ketua Menteri Sarawak. Sedangkan Tun Dr. Mahathir, Najib, UMNO dan BN terpaksa menggunakan 'perkakas jamban' untuk menghalang gambar beliau digunakan dalam PRU14 ini. Apa yang kita semua dapat fikirkan selain ketakutan Najib dan UMNO yang amat sangat?

Begitu juga dengan MCA, PGRM dan MIC sejak PRU12 sudah tidak berguna lagi kepada BN dan UMNO malah menjadi liabiliti. Oleh itu, mana ada lagi suara-suara kedengaran MCA, PGRM dan MIC dipergunakan disebabkan memang tidak berguna. Berguna apa jika calon 'heavyweight' masing-masing pun tersungkur di tangga jamban masing-masing. Samy Velu yang sebelum ini dianggap umpama Diwa oleh kaum India pun menggelupur di Sungai Siput dalam PRU12. Pertama kali MIC dijatuhkan di Parlimen Sungai Siput oleh calon PSM Dr Jayakumar yang bertanding di atas tiket PKR. Kekalahan Presiden MIC itu di Sungai Siput telah membuktikan bahawa MIC ditolak sama sekali oleh kaum India. 

Dalam PRU12 bagi kerusi DUN, MCA bertanding 10 kerusi di Negeri Sembilan dan kalah 9. Ia bertanding 10 kerusi DUN di Pulau Pinang dan kalah semua, 16 kerusi di Perak, tewas 15, dan 14 kerusi di Selangor, tewas 12. Berguna lagi?

PGRM juga tidak terkecuali terpalit sial apabila Pulau Pinang yang merupakan kubu kuat mereka dan merupakan satu-satunya negeri yang dikuasai oleh parti itu, namun ia kini menjadi kenangan sahaja kerana kesemua calon wakil rakyatnya termasuk Koh Tsu Koon ditelanjangkan tanpa belas kasihan oleh musuh ketatnya DAP dalam PRU12. Dalam PRU13 juga nasib sama diterima parti ini.

Mereka terlalu memandang rendah terhadap kemampuan Tun M sehingga mereka menggunakan kekuatan beliau untuk menyerang. Hanya orang bodoh menggunakan kekuatan lawan untuk menyerangnya. Tun M ini sejenis manusia yang lagi ditekan semakin kuat. Bagaikan berlian yang terhasil dari jutaan tahun sebelum manusia dapat menikmati kehebatan berlian. Hanya berlian mampu memotong berlian tetapi mereka menggunakan kaca dan batu kuari untuk memotong berlian yang akhirnya memakan diri. Apakah masih ada berlian dalam UMNO dan BN untuk memotong Tun Mahathir?

Sebenarnya apa yang mereka anggap kelemahan dan kekurangan Tun Mahathir itulah kekuatan beliau. Makin dibongkar semakin memperlihatkan kehebatan Tun Mahathir. Lihat saja dalam isu kekebalan raja-raja, isu Tun Salleh Abbas, isu Memali, isu Forex, isu umur 93 tahun dan macam-macam lagi semua berakhir dengan memakan diri serta terbongkar isu baru melibatkan mereka. Nampaknya perancang strategi Najib, UMNO dan BN gagal mendapatkan khidmat dukun ampuh berdepan dengan Tun Mahathir. Apa saja dibuat seolah-olah tidak menjadi dan menyebabkan tempias air kencing dan najis terpelanting ke muka sendiri.

Digunakan institusi lain yang sebelum ini cukup dihormati untuk menghenyak Tun Mahathir juga nampaknya tidak berupaya untuk mencapai hajat. Malah institusi itu sendiri terbalik kuang diserbu netizen sehingga terpaksa berlindung di belakang Bukit Kepong. Suara, kelibat dan bayang Tun Mahathir seakan-akan suara dan jasad rakyat. Menyerang beliau bererti menyerang rakyat maka bersedialah menepis dan berpencak dengan gelombang kebangkitan rakyat.

"A hungry man is an angry man" dan dalam situasi rakyat tersepit dalam jurang kepayahan serba serbi seperti sekarang, kata-kata pendek "BANGKIT" saja walau dari siapa pun yang dilihat dapat memberi harapan berlaku perubahan sudah memadai buat mereka 'bergocoh'. Inikan pula suara negarawan ulung yang cukup terkenal di seluruh pelusuk dunia menerajui negara selama 22 tahun. 

Mengurus rakyat bukan persoalan mampu dan tidak mampu, tapi persoalan mau dan tidak mau. Oleh yang demikian, dari rakyat kita berasal, untuk rakyatlah kita mengabdi. Pesan saya pada pemimpin, "
Biar jatuh terletak, jangan jatuh terhempas", berundur atas kemahuan sendiri adalah lebih baik daripada direntap.

Wallahualam...

Comments

Popular Posts