JAHIL POLITIK - MASIH BELUM TERLEWAT


Selagi kejahilan masih wujud, zaman jahiliah belum berakhir. Ia akan berakhir bersama lenyapnya bumi ini. Jahil tidak hanya berlegar dalam urusan agama sahaja kerana kejahilan tidak punya sempadan. Abu Jahal dan Abu Lahab mungkin sudah reput ditelan bumi tetapi pemikiran, jiwa, semangat dan api kebencian yang ditiup oleh kedua-duanya masih segar-bugar.

Dalam usaha meraih kemenangan dalam PRU14 nanti dan tempoh yang semakin singkat, tindakan-tindakan ke arah itu perlu punya keutamaan. Soal remeh-temeh dan hanya memberi impak kecil perlu dikemudiankan dan fokus kepada yang lebih memberi keuntungan politik kepada Pakatan harapan (PH). Masalah-masalah yang tidak mampu diatasi berkaitan pengundian kali ini serahkan saja pada pucuk pimpinan untuk diselesaikan di peringkat mereka seperti tarikh pilihanraya dan sebagainya.

Ketika di Perlis saya selalu memaklumkan pemimpin UMNO bahawa buat kerja biar ikhlas dan berbaloi. Program 'syok sendiri' perlu dihentikan kerana 'ongkos' lenyap hasilnya sifar. Jika program puteri UMNO misalnya yang hanya dibuat semata-mata untuk mendapatkan rekod aktiviti parti dan dihadiri oleh hanya di kalangan mereka apa impaknya terhadap undi yang akan mereka perolehi? Penentu kemenangan adalah pengundi atas pagar yang tidak berparti. Fokus kepada kawasan kelabu hitam dan kelabu putih. Kawasan hitam atau putih dalam keadaan sudah terdesak, biarkan saja dulu.

Dalam media sosial juga begitu, PH dan saf pimpinannya perlu melebarkan sayap mereka dengan tidak hanya ber'futsal dalam gelanggang sendiri. Mesej pencerahan perlu merata ke segenap ceruk kategori rakyat dengan bahasa yang mampu difahami oleh mereka. Jangan syok sendiri dengan bahasa mengalahkan halilintar sabung menyabung tapi kumpulan sasar tercengang tanpa 'butir tahik' yang faham seperti kata Hadi Awang. 

Dalam keadaan PH memerlukan sokongan padu generasi muda dan kalangan pengundi pertama, mereka perlu mendapat sentuhan PH dengan apa cara sekalipun. Dari pengamatan saya, ramai dari mereka cukup teruja dengan penampilan Khairy Jamaludin (KJ) walaupun UMNO dan BN ketandusan pemimpin muda yang menjadi ikon belia. Kenapa mereka teruja? Kerana mereka jahil tentang kebejatan KJ ketika zaman Pak Lah bapa mertuanya yang menguasai tingkat empat. Mereka naif tentang isu rasuah dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO sehingga dewan besar PWTC digegarkan dengan sorakan 'booo' dan rasuah! rasuah! rasuah! 

Ini bukan soal aib atau mencemarkan nama baik tetapi memberi pencerahan kepada pengundi muda agar tidak tersalah pilih. Jika pemimpin korup dan jahat terpilih, bukan saja DUN atau parlimen yang diwakilinya akan menerima padah, sebaliknya seluruh negara mendapat bala. Jika pencerahan sudah diberi dan mereka tetap sayang pada sesiapa saja yang menjadi koruptor dan jahat, itu adalah pilihan, bukan terperangkap dalam lembah kejahilan.

Jangan biarkan pelakon-pelakon 'MELETOP' ini menjampi serapah dan 'mandrem' hingga mereka tertipu dengan lakonan mantap yang sebenarnya jika terlondeh jubah kemunafikan itu pastinya tidak cukup tanah berlari pengundi-pengundi. Masih belum terlewat selagi hari mengundi belum sampai untuk kita giatkan usaha menambah undi kepada PH. 

Setelah usaha dilakukan dan kemenangan tetap bukan milik kita, anggap saja ia KETENTUAN dari langit seperti kata Fathul Bari. Namun, membiarkan pengundi dan rakyat tertipu sesekali tidak dan itu adalah 'pantang tok nenek'. 

Agaknya petua Adolf Hitler digunapakai mereka setelah lelah mempraktikkan saranan Machiavelli. Kata Hitler, "Bukan masalah seberapa banyak kebohongan yang kamu buat, tetapi yang penting adalah bagaimana kamu membuat kebohongan itu menjadi kenyataan."

Sedarlah! Tidak ada kebaikan lahir dari pembohongan. Seperti kata Alit Susanto penulis dari Indonesia, "Nggak ada istilah bohong untuk kebaikan, karna sebuah kebohongan adalah pembelokan dari kebenaran. Saat kebenaran belok, itu bukanlah sebuah kebaikan lagi.

Comments

Popular Posts