SALAH DAN BERDOSAKAH DILAHIRKAN SEBAGAI BUKAN MELAYU?
Alasan kemunduran bangsa Melayu termasuk menjadi miskin dan lemah dihalakan kepada kaum Cina. Harus difahami bahawa orang Cina bukan saja ada di Malaysia dan juga orang Melayu pun bukan saja ada di Malaysia.
Di Selatan Filipina, di Selatan Thailand, di Brunei Darusalam, Singapura pun ada orang Melayu dan ada orang Cina. Tetapi taburan orang Melayu di Selatan Filipina dan Selatan Thailand kebanyakannya di kawasan hutan dan mundur sedangkan orang Cina seperti juga di Malaysia lokaliti mereka di bandar-bandar. Kenapa?
Seperti Melayu di Langkawi, Melayu di Selatan Thai diusir secara halus ke hutan-hutan dan pendalaman hanya dengan kuasa wang dan ekonomi. Naikkan nilai dan harga tanah maka orang Melayu seperti berlaku di AEON Tebrau hilang pertimbangan terus jual tanah. Untuk membeli semula tanah dengan harga murah cuma di kawasan pinggir hutan dan pendalaman.
Itulah juga nasib sama dihadapi Melayu di Pulau Pinang dan Langkawi. Jangan salahkan Cina dalam hal ini kerana penjualan dan pembelian tanah tersebut tidak dilakukan dengan paksaan tetapi disebabkan kita yang tamak menjual untuk mendapat keuntungan segera. Sebaik Tun Mahathir bangunkan Langkawi dengan begitu pesat, harga tanah melambung tinggi. Melayu Langkawi jadi lupa daratan, jadi pemabuk, kaki karaoke dan pusat hiburan hingga habis wang jual tanah terpaksa merempat dan yang bernasib baik sedikit dapatlah membeli tanah di ceruk-ceruk, pendalaman dan sebahagiannya balik membeli tanah di sebelah tanah besar Kedah dan Perlis.
Jika dibandingkan Melayu di Singapura dengan Melayu Pulau Pinang, Melayu Selatan Thailand dan Melayu di Selatan Filipina jauh Melayu Singapura ke depan dalam sudut ekonomi, pendidikan, sosial dan kemahiran hidup sedangkan DAP tidak ada di sana malah PAP yang sering dilabel sebagai bapa DAP yang berkuasa di sana.
Melayu di Selatan Thailand dan Filipina hanya terkenal sebagai pejuang pemisah dan pengganas serta penculik. DAP tidak ada di Selatan Thailand dan Selatan Filipina apakah mereka juga yang bersalah? Melayu di Selatan Thailand hanya mampu mendiami kawasan seperti di Narathiwat, Satun, Trang, Pattani, Yala sedangkan kawasan pelancongan dan moden seperti Krabi, Phuket, Hatyai, Bangkok, Chiengmai dimonopoli oleh kaum Cina. Sama juga dengan Melayu Selatan Filipina yang berpusat di bahagian selatan dan di Kota Manila mereka hanya wujud sebagai buruh dan wong cilik.
Jika alasan Melayu di Thailand dan Filipina jadi begitu gara-gara minoriti, apakah Melayu Singapura majoriti? Sebenarnya pola fikir Melayu yang mudah dirasuah, mudah dibeli dan dipengaruhi dengan jawatan, pangkat dan wang ringgit begitu lama oleh agen penjajah menjadikan nasib Melayu begitu.
Cuba kita imbas perlakuan Melayu dalam pilihanraya sekarang! Pengundi Cina dan India lebih pragmatik dan tidak mudah diugut, dipujuk dan disumbat dengan habuan berbanding Melayu. Melayu dijanjikan RM50 sahaja pecah gerai dan pecah kain batik dan pelikat punya serbu. Luka selama 5 tahun sembuh serta merta hanya disebabkan jualan murah untuk pilihanraya, BR1M, jamu makan, petrol percuma RM5 atau tabur wang guna serombong angin seperti dilakukan Sajat.
Jadi jangan salahkan Cina dan bukan Melayu kalau Melayu sendiri begitu mudah tunduk dan layu kepada strategi, taktik dan propaganda murahan golongan yang sedang lemas untuk mempertahankan kuasa. Hanya disebabkan pengundi Cina dan bukan Melayu lain sudah bosan dengan karenah UMNO dan tidak menyokong BN, apa saja dilakukan mereka menjadi kesalahan dan dosa. Yang anehnya pula adalah orang Cina dan Tanah Besar China tidak pula dianggap begitu. Mungkin disebabkan banyak membantu pemimpin dan parti mereka agaknya. Satu lagi yang tak salah dan paling disukai adalah ' Cina Buta'.
Masalah dengan Melayu adalah sentiasa menganggap serba tahu sedangkan apa yang dia tahu itu terlalu sedikit berbanding yang tidak tahu. Kata Jawarhalal Nehru, "Orang yang bijaksana sedar betapa sedikitnya yang dia tahu; hanya orang yang bodoh menyangka dia tahu segala-galanya."
Comments
Post a Comment