BILA MISKIN JADI PILIHAN


Kata Goenawan Mohamad, 'Di dunia yang penuh sesak dan penuh orang lapar, seorang yang kekenyangan berarti merenggut nyawa yang lain.' Begitulah situasi sekarang di kebanyakan tempat apabila yang kenyang, terlalu kenyang dan yang lapar terpaksa memungut sisa makanan untuk terus hidup. Malah jelas dapat dilihat di kiri, kanan, depan dan belakang kita mereka yang kaya bertambah kaya dan miskin papa kedana.

Yang melucukan adalah, kemiskinan ternyata sesuatu yang menghiburkan. Jika tidak percaya tontonlah TV setiap hari dan minggu . Ada jenis program yang hobinya mencari orang miskin untuk memberi bantuan. Wang yang perlu dikumpul puluhan tahun dalam sekelip mata bertimbun di depannya dan akaun bank beliau sendat angka 'nol' dan dikatakan tidak lagi miskin.


Kenapa ini semua terus berlaku tanpa ada manusia dan pihak yang mahu menghentikan keadaan ini? Jika membaca dan mendengar kata-kata politisi seperti kemiskinan itu hanyalah dongengan bukan realiti sedangkan hakikat sebenar berada di hadapan mereka. 

Bilik seminar dan tempat membedah serta berdiskusi soal miskin saja sewanya mencecah puluhan ribu ringgit tetapi mereka yang miskin hanya di tepi atau bawah premis tersebut. Kertas kerja dan kajian soal kemiskinan jika dicampak ke dalam laut nescaya menjadi pulau banyaknya. Semuanya tak lebih dari retorika untuk mereka terus menjadi kaya dan yang miskin terus tenggelam dalam kawah kemiskinan.

Miskin dan kemiskinan tidak dapat diselesaikan hanya dengan memberi dan menambah bantuan 'one-off' kerana kemiskinan adalah makhluk yang tidak akan mati dengan sekali menelan ubat. Sebagai sebuah kerajaan, pendekatan menyelesaikan masalah kemiskinan perlu dirangka untuk menghapuskannya secara total bukan mewujudkan masyarakat berminda dan berjiwa pengemis. 

Berapa banyak wang yang kita dapat bukan ukuran untuk menentukan seseorang itu kaya atau miskin tetapi berapa banyak baki dan hutang yang kamu milikilah penentu segala-galanya. Apa guna pendapatan sebulan RM10,000 tetapi perbelanjaan dan keperluan kamu RM15,000 sedangkan teman seorang lagi pendapatannya hanya RM4,000 tetapi baki simpanannya RM500. Yang kaya bukan yang pendapatannya RM15,000 tetapi yang bakinya RM500. Soal di sini bukan soal ikat perut tetapi bagaimana sebagai pemerintah untuk meletakkan rakyat pada posisi tidak miskin walaupun tidak kaya. Tidak kaya tidak semestinya miskin.

Pendekatan kerajaan sekarang yang gagal mengawal inflasi, kadar pengangguran, nilai matawang dan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan serta menjunamnya kuasa beli rakyat adalah indikasi betapa mereka sudah tidak layak lagi diberi peluang untuk terus berkuasa. Peluang demi peluang yang diberi kepada mereka tidak lebih daripada muflisnya keberdayaan rakyat untuk membuat pilihan. Jangan sampai rakyat seperti mangsa pemerkosaan yang terus membiarkan tubuhnya terus diratah dan dibaham sang pemerkosa. Menjerit kononnya fobia dan trauma diperkosa, namun apabila sang pemerkosa datang, terus berbogel melambai-lambai sambil berkata "datanglah! datanglah!"

Rakyat tidak pernah meminta kepada pemerintah untuk menjadi kaya raya tetapi cukup sekadar jangan membiarkan mereka terus dibelit kemiskinan. Jika sememangnya negara kita miskin, rakyat faham dan akur dengan keadaan itu tetapi yang melukakan hati mereka adalah apabila berada dalam negara yang kaya dengan hasil-bumi dan rahmat diberikan Allah swt, tetapi yang kaya raya adalah sekerat dua pemimpin, keluarga dan suku-sakat yang bukan kaya dengan cara benar, sebaliknya hasil korupsi dan menjarah harta negara dan rakyat. 

Kerana jebakan yang murah, hidup kita menjadi mahal. Di dalam kemudahan, manusia menjadi mudah untuk berbuat salah. Di dalam kesusahan manusia juga susah berbuat apa saja termasuk berbuat salah. Kita leka dengan sindrom penafian pemimpin dan parti pemerintah. Kita terpukau dengan cara mereka membela diri. Rupanya selama hidup mereka, pendekar ini hanya sibuk berlatih membela diri.

Kata Prie GS, "Karena inilah kebenaran yang betapa pun bagus bungkusnya, jika isinya tak lebih dari kebohongan, akan muncul lewat gerak mata, lewat bahasa tubuh, dan lewat alasan yang aneh-aneh." Tidak percaya? Lihat saja setiap kali pemimpin itu berkata-kata. 

Setiap kali pilihanraya hadir, itulah peluang rakyat untuk memilih nasib dan masa depan sendiri dan generasi akan datang. Miskin itu pilihan dan terpulang pada kita samada mahu terus berpesta dalam kemiskinan dan mengemis simpati pemimpin dan pemerintah, atau gantikan mereka mengemis kuasa daripada kita. Pisau sudah di tangan kanan, timun sudah di tangan kiri. Bila lagi hendak dipotong? Ulam sudah ada, sambal sudah terhidang. Bila lagi hendak dicicah?
Masa untuk berdiam diri memeluk tubuh sudah lupus tarikh. "Di hari-hari penuh fitnah ini, membela yg benar tidak cukup hanya disimpan di dalam hati" diungkap Goenawan Mohamad.

Comments

Popular Posts