YAKINKAN RAKYAT BUKAN SEKADAR PENAFIAN
Samada pemimpin politik mahupun kerajaan jangan hanya bercakap kosong tanpa bukti. Jangan samakan posisi anda dengan marhaen seperti kami yang tidak punya apa-apa keistimewaan dalam kerajaan mahupun parti politik. Alangkan kami yang tidak punya apa-apapun masih menentukan hujah digunakan itu 'reliable' dan tidak bersarang penipuan.
Teh kosong, kopi kosong nasi kosong lebih bagus dari cakap kosong tanpa bukti. Jika ada sebarang dakwaan atau tuduhan dilemparkan pada mana-mana agensi kerajaan atau pegawainya, pemimpin politik atau kabinet maka sewajarnya tampil dengan bukti untuk meyakinkan rakyat bahawa tuduhan dan dakwaan itu samada dari luar atau dalam negara itu tidak berasas.
Penafian semata-mata dan omongan penuh dengan lendir kahak dan air liur basi tidak akan merungkai kusut yang kian bersirat. Posisi samada sebagai menteri, ketua-ketua jabatan kerajaan dan hirarki utama parti politik tidak menjanjikan kepercayaan dari rakyat kerana hanya tongong, bebal, tolol, dungu, bengap, bangang, bongok dan goblok saja mempercayai penafian sedemikian rupa.
Jika suami atau isteri masuk ke tandas atau bilik mandi pun masih membawa telefon bimbit apakah pasangannya akan percaya ianya untuk menyuluh wang syiling yang jatuh di sana atau hanya untuk menonton youtube? Jika isteri bertanya kenapa abang saya nampak naik ke rumah pelacuran tak perlulah menjawab "abang ke sana untuk berdakwah" kerana tahap kepercayaan isteri belum sampai ke tahap lembu di cucuk hidung. Jika mahu berdakwah untuk menutup aurat dengan menjual tudung tak perlulah sampai ke tempat joget lambak dan disko kerana di luar sini masih ramai yang tidak melindungi aurat hanya membalut aurat. Jika suara rakaman itu bukan suara Nik Abduh apakah itu suara lembu UMNO?
Jika masalah 1MDB yang begitu banyak menimbulkan kegelisahan rakyat sehingga agensi perisikan seperti FBI dan DOJ yang tidak pernah terlibat dengan peranan menguatkan kedudukan politik mana-mana pihak selain CIA, kenapa hasil laporan susah-payah disiapkan perlu PAC dan seangkatan dengannya itu perlu di'OSA'kan? Kenapa perlu AG, Pengarah Cawangan Khas dan timbalannya menerima nasib sebegitu? Jangan marah jika persepsi buruk melutut di depan pemimpin negara kerana jika siapa menabur angin maka dia jugalah akan menuai badai.
Paul Joseph Goebbels Menteri Propaganda di bawah kerajaan Adolf Hitler sejak tahun 1933 sehingga kematiannya pada 1945 juga akan menggelupur dalam kubur melihat 'kegilaan' melampau melakukan propaganda sehingga taik kambing diwar-warkan sebagai gula gerek. Bohong jangan sampai ular lidi diberitahu naga.
Lihat saja alasan Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani Menteri Kewangan II yang memperlekehkan AP Shah Alam Khalid Samad kononnya tidak faham tentang ekonomi apabila menjelaskan kesusahan rakyat berdepan dengan masalah ekonomi ketika ini sehingga bukan saja kedai runcit bahkan pasaraya besar seperti Giant. Khalid samad juga memperincikan kedudukan ekonomi yang sering ditonjolkan sebagai berada di landasan kukuh dan betul.
Sebaliknya jawapan Johari tidak lebih dari sekadar penafian kosong dengan menghina AP Shah Alam tidak faham ekonomi negara. Katanya kini semakin bertambah jualan melalui internet sedangkan sebelum ini tidak begitu banyak. Tahukah beliau kenapa jualan internet meningkat? Kerana peniaga sudah tidak mampu untuk menyewa bangunan kedai, kos utiliti dan upah pekerja. Malahan pertambahan ini juga disebabkan kakitangan kerajaan dan swasta juga terpaksa berniaga bagi menampung kekangan kewangan untuk meneruskan kehidupan yang semakin sempit.
Jawapan yang datang dari sindrom penafian hanya selayaknya datang dari keldai dan unta bukan dari yang dibayar gaji dan elaun begitu banyak oleh rakyat semata-mata mempertahankan berhala politik yang semakin menggigil ketakutan.
Tampillah dengan hujah dan fakta meyakinkan wahai pemimpin kerajaan, menteri dan pemimpin politik bukannya berkokok seperti ayam jantan tapi punggung bergelumang tahi.
Pemerintah marah atas alasan mereka difitnah tetapi sebenarnya rakyat kini keliru mana satu fitnah mana 'fatonah'. Fitnah yang dipalu siang dan malam di media arus perdana khususnya TV3 dan kesemua media cetak yang ditunggang untuk mengekalkan kekuasaan penindas rakyat tidak pula dianggap merbahaya. Jika tidak masakan media-media ini terpaksa membayar jutaan ringgit kepada mangsa fitnah mereka gara-gara berkorban untuk menjadi kambing hitam.
Comments
Post a Comment