MERAKYATKAN PEMIMPIN


Tengahari tadi selepas makan di Alor Setar, saya ke Simpang Empat Perlis untuk membeli ikan buat kucing-kucing di rumah. Sebaik sampai di Ayer Hitam, saya melihat dari cermin sisi dan belakang lampu seakan-akan motosikal polis berkuasa tinggi (out rider) begitu terang berkelip-kelip sambil beliau memotong kereta saya dan mengarahkan ke tepi. Gaya menyinga mengarah ke tepi semua kenderaan sepanjang jalan hanya untuk memberi laluan kepada menteri besar atau menteri yang datang menggunakan kenderaan kerajaan negeri sudah sampai masanya dihentikan. Jika benar-benar perlu buatlah tapi cara berhemah lebih membujuk hati masyarakat. Salah apalah pengguna jalanraya diperbudakkan sedemikian rupa? 

Penting sangatkah hingga rakyat diarahkan seperti itu sedangkan jalan-jalan di Kedah dan Perlis tidaklah sesibuk di Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar. Pada bulan Mei 2007 ketika saya ditugaskan dalam ''pasukan hadapan" atau advance party mengiringi perdana menteri ketika itu YAB DS Abdullah Badawi ke Tokyo dan Osaka, banyak perkara yang memberi kesedaran dan pengalaman baik untuk saya fikirkan. 

Satu perkara menarik yang ingin saya titipkan di sini adalah ketika kenderaan membawa YAB perdana menteri YAB DS Abdullah Badawi hampir sampai ke pejabat perdana menteri Jepun tempat pertemuan dua pemimpin ini, kenderaan berhenti di tempat pejalan kaki melintas dan membiarkan semua pejalan kaki selesai melintas baru semua kenderaan kami termasuk perdana menteri bergerak ke pejabat perdana menteri Jepun. Saya menyoal pemandu orang Jepun itu kenapa berhenti? Jawabnya, kami perlu menghormati rakyat khususnya pejalan kaki. Terbayang saya keadaan di negara sendiri jika keadaan sama berlaku. 

Moral kisahnya di sini, pemimpin di sana hatta siapapun kamu, rakyat terutamanya marhaen diberi keutamaan melebihi pemimpin kerana tanggapan mereka itulah peranan pemimpin. Jika sudah tahu akan berdepan masalah kelewatan, bersiaplah lebih awal. Rakyat membayar cukai jalan dan segala jenis cukai termasuk tol sedangkan kenderaan pemimpin dikecualikan semuanya. Begitukah cara rakyat dilayan? Saya terfikir sebentar tadi apakah rakyat dilihat seperti haiwan?

Jika alasan itu bukan kehendak pemimpin tetapi sikap anggota polis bertugas mahu digunakan, pemimpin punya hak menegur. Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi mengarahkan barisan menteri dan gubernur di Indonesia tidak sewenang-wenang menggunakan khidmat 'out rider' dan kenderaan pengiring jika tidak benar-benar memerlukan dan mereka akur kerana Jokowi sendiri menunjukkan teladan yang boleh diikut. 

Ada satu insiden gubernur sebuah wilayah dikhabarkan menggunakan khidmat pengiring bukan atas urusan penting dan rasmi telah dipanggil dan ditegur Jokowi. Kita di sini, pemandu ambulan, kereta peronda polis yang hanya mahu pulang ke pejabat saja atau nak 'terkencing' bunyikan siren lintang pukang pengguna jalanraya terpaksa ke tepi. 

Diharapkan sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambilalih kerajaan pusat, perkara ini boleh dipertimbangkan agar diperbetulkan supaya ungkapan pemimpin berjiwa rakyat tidak hanya merupakan ungkapan menjilat pemimpin bukan sebenarnya berjiwa rakyat. Mungkin rasa bangga melihat pengguna jalanraya berselerak gara-gara mereka berada dalam kenderaan VVIP sudah sebati. Ada ketikanya khususnya pemandu wanita dan warga emas yang panik terpinga-pinga tak tahu nak ke tepi ke kanan atau ke kiri disergah pula kerana lambat bergerak atau sudah hilang kawalan. Jika berlaku kemalangan, apakah berbaloi tindakan sedemikian? 

Sudah lama pemimpin didewa-dewakan dan kini masanya memanusiakan mereka yang sudah menjadi 'MahaDewarey'. 

Comments

Popular Posts