SIAPA MENABUR ANGIN, BERSIAPLAH MENUAI BADAI
Mendapatkan kepercayaan dan sokongan dari rakyat itu tidaklah begitu sukar jika sebagai pemimpin, kita mengambil jawatan dan pangkat yang diraih itu dengan niat untuk kepentingan rakyat dan negara. Apa yang mencetuskan masalah adalah apabila dengan jawatan dan kedudukan yang dimiliki itu, kita mengkhianati mereka dan hanya datang untuk mendapatkan sokongan semula setelah penggal kekuasaan sudah begitu hampir untuk ditalkinkan. Sepanjang tempoh berkuasa, rakyat dilihat tidak lebih seperti pengalas kaki untuk diinjak-injak dan diperah bak lembu susu.
Tunku Abdul Rahman mantan perdana menteri Malaysia secara pukal dan terang-terangan menyebut dalam buku beliau berjudul 'Sudut Pandangan - Tunku Abdul Rahman Putra diterbitkan oleh Heinemann Educational Books (Asia) Ltd pada tahun 1979. Kata Tunku dalam bab 21 tajuknya 'Komunis Menempuh jalan Buntu' mengulas mengenai Tun Hussein Onn yang menggantikan Tun Razak tanpa disangka, "Memang masyarakat Malaysia mudah menyesuaikan diri dengan perubahan asalkan tidak merosakkan cara hidup yang dinikmati rakyat atau menghalang kemajuan ekonomi. Sesiapa sahaja yang boleh memberi pemerintahan yang baik dan masyarakat yang bahagia akan diterima oleh rakyat tanpa cerewet tentang corak pimpinannya."
Malah Tunku turut membandingkan kepimpinan Lee Kuan Yew di Singapura, "Saya hendak menyebut di sini betapa sukarnya bagi Encik Lee Kuan Yew merancang pentadbirannya dahulu ketika terdapat perpecahan-perpecahan dalam PAP, tetapi sekarang beliau telah membuktikan kebolehannya dan memajukan Singapura serta telah menjadi wira nasional. Pemerintahan beliau keras tetapi rakyat mahu pemerintahan yang baik dan ini beliau berikan; oleh itu mereka puas hati dengan beliau."
Rakyat tanpa mengira suku kaum, agama, umur, jantina dan profesi mereka hanya mahu pemimpin dan kerajaan yang amanah, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan negara. Rakyat tidak peduli asal-usul pemimpin samada dari Kerala, Bugis, Ponorogo atau Siam seperti Tunku sendiri. Apabila rakyat tanpa berselindung mengkritik dan mencerca pemimpin, maka perlu ada rasa keprihatinan kerajaan dan pemimpin untuk cermin diri atau muhasabah diri dan parti kenapa rakyat bertindak demikian. Tidak semua yang mengkritik itu ahli atau pendokong parti pembangkang ataupun gila.
Apakah dengan beban kos sara hidup yang begitu menekan, kadar pengangguran makin bertambah, kuasa beli rakyat terus menguncup, kadar jenayah kian melebar dan hutang negara semakin menggunung pun rakyat perlu berdiam diri dan mengucapkan terima kasih kepada pemerintah dan pemimpin? Rakyat sedar pemimpin dan pemerintah tidak maksum tetapi jika ianya terbukti berlaku akibat kecuaian, tidak amanah dan terpalit dengan pelbagai skandal korupsi, kritikan rakyat sudah punya kewajaran dan jangan salahkan mereka.
Ketika rakyat mengikat perut, bersengkang mata dan merengkuh sepenuh kudrat untuk meneruskan kehidupan dengan berkorban masa untuk diri dan keluarga tetapi pemimpin terus boros dan membazir tanpa segan silu. Salahkah rakyat untuk menzahirkan unjuk rasa dan membantah?
Sebagai umat Islam, tidak kira setinggi mana jawatan dan kedudukan kamu, ingatlah pesan Khalifah Abu Bakar As Siddiq ketika dilantik menjadi pemimpin umat. Dalam pidato pertamanya, Khalifah Abu Bakar tidak menyatakan rasa syukur, apalagi terlihat gembira atau mengadakan pesta.
“Saudara-saudara, aku telah diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik diantara kalian semuanya, untuk itu jika aku berbuat baik bantulah aku, dan jika aku berbuat salah luruskanlah aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan kebohongan itu adalah pengkhianatan. ‘Orang lemah’ di antara kalian aku pandang kuat posisinya di sisiku dan aku akan melindungi hak-haknya. ‘Orang kuat’ di antara kalian aku pandang lemah posisinya di sisiku dan aku akan mengambil hak-hak mereka yang mereka peroleh dengan jalan yang jahat untuk aku kembalikan kepada yang berhak menerimanya. Janganlah diantara kalian meninggalkan jihad, sebab kaum yang meninggalkan jihad akan ditimpakan kehinaan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Patuhlah kalian kepadaku selama aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Jika aku durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka tidak ada kewajiban bagi kalian untuk mematuhiku. Kini marilah kita menunaikan solat semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan Rahmat-Nya kepada kita semua.”
Pemimpin-pemimpin negara yang beragama Islam sering menakut-nakutkan rakyat kalau-kalau pemimpin DAP atau bukan Islam akan menerajui negara. Kita sebagai pemimpin beragama Islam nyatakan di mana salahnya apabila rakyat menegur dan mengkritik tindakan-tindakan merugikan rakyat dan negara yang bertentangan dengan sumpah jawatan dibuat ketika mengambil-alih tugas bersaksikan Al-Quran. Jika Khalifah Abu Bakar dan Saidina Umar sendiri mahu diluruskan dengan pedang oleh rakyat, inikan pula hanya sekadar kritikan untuk kebaikan seluruh rakyat dan negara kepada pemimpin yang jauh panggang dari api dibanding dengan Abu Bakar dan Umar.
"Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali)
Comments
Post a Comment