RASUAH
Dari pengalaman dilalui, membiaknya wabak rasuah ini turut melibatkan budaya dan sikap masyarakat termasuk pegawai dan anggota dalam organisasi itu sendiri. Masyarakat turut menjadi penyumbang kepada wabak rasuah dan menjadikan rasuah sebagai sesuatu yang biasa bukan lagi aneh. Yang aneh adalah apabila seseorang itu tidak rasuah.
Masyarakat dan ahli dalam organisasi memilih lebih menghargai dan menyanjung mereka yang berjaya mendapat pangkat yang lebih tinggi bukannya di kalangan mereka yang berintegriti, jujur, amanah dan cekap dalam tugasnya. Pegawai-pegawai yang hidup di luar kemampuannya disebut namanya di sana sini dan menjadi kebanggaan masyarakat jika dapat bergambar bersamanya atau mempunyai kad nama pegawai itu. Dalam facebook atau twitter juga diletakkan foto bersama pegawai itu untuk membuktikan dia rapat dengan pegawai tersebut.
Dalam masyarakat walaupun diketahui pegawai-pegawai itu terlibat rasuah dan amat korup, beliau bukannya dipandang hina, sebaliknya dipuja dan dipuji melambung-lambung. Termasuk dalam organisasi khususnya penguatkuasa dan keselamatan, walaupun pegawai itu terkenal dalam aktiviti rasuah, beliau terus disanjung malah jika beliau atau anggota yang membuat kutipan rasuah untuknya ditangkap, pegawai atasan sanggup membela dan menghubungi pihak pencegah rasuah untuk tidak mengambil tindakan atau menutup kes tersebut.
Akhirnya, bukan saja terselamat dari tindakan, berjaya pula dinaikkan pangkat dan diberi jawatan penting kerana rekod kesalahannya tidak tercatat dalam rekod perkhidmatan. Bayangkan organisasi dihuni dan dipimpin oleh koruptor-koruptor sebegini? Maka akan disusun di merata cawangan orang-orangnya yang mempunyai sikap dan cara kerja seperti beliau untuk terus mengukuhkan kedudukan dan mengembangkan lagi sayap dan pengaruh di kalangan masyarakat khususnya sindiket-sindiket samada jenayah, perjudian, ceti haram, dadah, peniaga-peniaga haram, penyeludup samada manusia, senjatapi, makanan dan barangan kawalan serta banyak lagi.
Pegawai-pegawai dan anggota yang jujur dan amanah serta cekap bekerja akhirnya terpinggir dan dipulau malah dijadikan sasaran. Semuanya akan berakhir dengan situasi di mana yang rajin menjadi malas, yang baik turut menjadi jahat dan yang sedia jahat dan pemalas meneruskan sikap dan budaya sama. Apa akan berlaku dengan organisasi begini?
Dalam politik juga sama, yang banyak wang walaupun diperolehi dari lembah korupsi, hidup kaya raya dan mampu menyumbat penyokong dengan wang dan sogokan termasuk melancong dan berhibur maa dia akan terus dipertahankan. Sampai bila sistem yang korup begini perlu dibiarkan untuk terus menjahanamkan negara? Ikrar tidak melakukan rasuah tidak lebih dari sebuah drama yang penuh ungkapan retorik dan wayang kulit di mana dalangnya juga super koruptor.
KIta harus mengakui bahawa kita sama-sama bertanggungjawab mewujudkan situasi seperti ini sehingga yang korup dan jahat dipandang mulia dan yang jujur dan amanah seolah-olah menjadi pengacau dalam organisasi dan parti politik.
Comments
Post a Comment