HAL LIBATKAN HATI DAN PERASAAN DIRAIH BUKAN DITAGIH
Yang Amat Berhormat (YAB) dan Yang Berhormat (YB) belum tentu dihormati dan terhormat. Hormat diraih bukan ditagih kerana ia datang dari hati nurani manusia tanpa boleh dipaksa-paksa.
Apakah hormat akan menjalar atau melayang kepada pemimpin yang mencuri, menipu, melakukan aktiviti korupsi tanpa rasa bersalah dan dosa? Apakah rakyat akan hormat pada mereka yang tidak amanah dan jujur kepada jawatan yang diberi kepadanya?
Terhormatkah seseorang manusia apabila mengkhianati janji-janji yang dibuat kepada rakyat sebaliknya boros dan rakus membolot segala peluang yang sepatutnya diagih-agihkan kepada rakyat jelata? Seperti kata Goenawan Mohamad, 'Di dunia yang penuh sesak dan penuh orang lapar, seorang yang kekenyangan berarti merenggutkan nyawa yang lain.' Maknanya jumlah makanan dan rezeki yang ditumpahkan pemilik alam ini kepada hamba-hambanya di manapun kita berada itu cukup, tetapi yang tidak cukup kerana ada di kalangan manusia itu yang tamak dan rakus membolot kesemuanya untuk diri, keluarga dan suku-sakatnya tanpa menghiraukan siapa juga yang lapar atau akan kebuluran.
Agamawan-agamawan juga tidak lepas dari hal-hal begini yang mengggunakan kesempatan menjual agama untuk kepentingan diri samada berceramah agama mahupun berpolitik. Yang penting 'ongkosnya pak!'.
Dalam PDRM misalnya ada kalimat YDH atau Yang DiHormati kepada pegawai lebih kanan. Apakah seseorang pegawai itu layak dihormati jika diri sendiri bergelumang dengan najis korupsi, salahgunakuasa dan membutakan mata terhadap kegiatan judi, maksiat, pelacuran, jenayah dan berbagai lagi? Malah lebih parah apabila bersekongkol dengan sindiket-sindiket jenayah ini termasuk narkotika dan pemimpin-pemimpin politik jahat serta khianat.
Yang Mulia juga tidak mulia jika kemuliaan hanya dilantunkan pada kertas-kertas dan lisan sedangkan mulia yang sebenar diinjak-injak oleh kaki sendiri dek tingkahlaku dan perbuatan yang tidak mencerminkan kemuliaan seseorang pemimpin.
Hormat, mulia, kasih, sayang, cinta, benci, marah dan sebagainya hanya datang tanpa perlu diundang dan pergi tanpa perlu diusir. Ia milik mutlak Allah swt dan selagi tidak dicampakkan perasaan itu ke dalam hati manusia, tidak akan ada semua perasaan tersebut. Jika ada, ianya hanyalah kembar kepada 'munafiqun' yang dipaksa-paksa samada untuk dipertontonkan atau menipu diri sendiri.
Jika ada yang tidak membahasakan kamu YAB atau YB, janganlah berkecil hati atau marah kerana apa yang sepatutnya dibuat adalah CERMIN DIRI. Mana mungkin menanam lalang membuahkan padi. Tanam padi tumbuhnya lalang memang ada.
Comments
Post a Comment