ABANG! CERAIKAN SAYA DENGAN TALAK TIGA!


Sejak sekian lama rakyat berada dalam situasi sama seperti seorang isteri yang berpuluh tahun kahwin dengan lelaki baran, hidup menyusahkan isteri dan anak-anak. Namun, si isteri terus bertahan dalam situasi itu kerana bimbang diceraikan setelah ditanam dalam mindanya bahawa beliau akan mati, akan tersiksa dan merempat jika diceraikan.

Isteri itu hidup bermandikan airmata, makan hati berulam jantung gara-gara takut diceraikan. Jika ada yang bersimpati menasihatkan ambil tindakan mahkamah atau minta cerai si isteri akan marah disebabkan beranggapan hidupnya akan lebih tersiksa tanpa suami jahat dan tidak berguna itu.

Kenapa keadaan seperti ini berlaku? Kerana si isteri ini tidak mengetahui hak beliau sebagai seorang isteri, tidak tahu bahawa hidup di luar sana lebih banyak yang menjanjikan kebahagiaan, tidak menghargai kebebasan dan harga diri sendiri.

Jika kita kasihan pada beliau, harus ada kesungguhan untuk memberi kefahaman kepadanya bahawa apa yang dipertahankannya selama ini tidak lebih dari memilih berada dalam neraka dunia padahal syurgalah sebaik-baiknya. Beliau perlu difahamkan haknya, peluang yang ada untuk berubah.

Masalah dengan masyarakat kita adalah takut kepada perubahan. Sedangkan perubahanlah yang selama ini membawa kesenangan dalam hidup jika kita bijak memilih.

Maka seluruh rakyat jangan terbawa sentimen seperti si isteri ini untuk terus bertahan dan mempertahankan kerajaan yang sudah tidak lagi berfungsi sebagai kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat, sudah tidak lagi amanah dan begitu korup sehingga setiap hari ada saja aparat, menteri, pengarah, pengerusi dan berbagai lagi yang diberi amanah tetapi khianat terhadap rakyat dan negara. Mereka malah di lindungi oleh sistem yang juga sudah korup.

Rakyat tidak perlu bimbang dengan perubahan kerana sudah banyak negara yang rakyatnya lakukan perubahan terhadap rejim pemerintah serupa seperti yang berlaku di negara ini sekarang. Filipina, Indonesia, Thailand, dan banyak lagi di segenap penjuru dunia membuktikan perubahan pemerintah tidak memberi kesan negatif kepada rakyat sebaliknya kehidupan mereka lebih baik berbanding sebelumnya.

Selagi rakyat takut kepada perubahan, selagi itulah mereka akan terus ditipu, ditindas dan mengeluh dengan kenaikan harga barang, cukai yang mencekik mereka tanpa mengira umur, status sosial, ekonomi dan politik. Sampai bila harus terus mengeluh tanpa berbuat apa yang sepatutnya dibuat? Lafazkan pada suami jahat itu, "Abang! Ceraikan saya dengan talak tiga sekarang!"

Renung-renungkan...

Comments

Popular Posts