TAKUT ATAU BERANI?

Ramai yang menganggap UMNO dan pemimpinnya takut. Saya juga sebelum ini beranggapan sedemikian tetapi sebaik saya memikirkannya beberapa kali, terfikir saya yang takut itu bukan UMNO dan pemimpinnya, yang takut itu kita dan seluruh rakyat dan mereka amat berani.

Yang takut itu ROS bukan UMNO dan pimpinannya. ROS takut untuk meluluskan Pakatan Harapan (PH) dan bertungkus-lumus mencari alasan untuk membatalkan PPBM kerana takut kepada UMNO dan pemimpinnya. Jadi siapa yang takut sebenarnya?

Manusia jika takut, sesekali tidak akan menggelapkan wang berbilion ringgit masuk ke akaun sendiri tetapi kita menuduh beliau takut. Kita sebenarnya yang takut kerana kita tidak berani melakukan hal yang sama.

Kita takut untuk berjanji dan mengkhianati janji kerana takut menjadi manusia munafik tetapi mereka tidak takut. Siapa berani siapa yang takut sebenarnya? Kita malah takut untuk membohongi rakyat kerana jika terbongkar pembohongan itu seakan runtuhlah langit ke atas muka dan kepala kita tetapi mereka? mereka tidak takut siang malam berbohong secara terbuka tanpa rasa malu dan tidak ada rasa takut untuk berdepan dengan Hakim segala Hakim di akhirat nanti.

Kita bukan saja takut untuk memfitnah, tetapi juga takut untuk berkata benar kerana takut dituduh membawa berita palsu. Palsu atau tidak bukan ditentukan oleh kebenaran dan Allah swt tetapi oleh mereka yang tidak takut pada sesiapa kerana mereka amat faham rakyat dan pihak selain mereka ketakutan hidup dalam kondisi seperti sekarang. Kita takut merangkak di padang mahsyar jika memfitnah dan menganiaya orang lain dan apakah mereka takut? tentu sekali tidak kerana jika mereka takut pasti mereka tidak akan melakukannya.

Kita takut untuk mencuri kerana bukan saja kerana dosa tetapi jika ditangkap pastinya nasib kita amat buruk dan siapa akan membela kita? Apakah mereka takut untuk mencuri? Mereka tidak takut kerana mereka adalah pemberani yang tahu nasib mereka sentiasa terbela dan dosa-dosa mereka dapat dicuci dengan wang sebagaimana mereka mencuci wang (money laundering).

Kita kata mereka takut untuk berdebat sebenarnya kita yang takut kerana mereka tidak perlu berdebat. Debat bukan budaya kita dan kita takut melanggar budaya, kita takut untuk menderhaka kerana derhaka hanya untuk kita bukan untuk mereka dan kita sepatutnya menjadi takut.

Kita takut jika diberi amanah dan jawatan tak termampu untuk memikulnya. Manakan tidak takut bersumpah jawatan dengan nama Allah swt jika gagal apalah nasib kita nanti di sana? Sedangkan mereka selamba BERKECUALI dalam Dewan Rakyat, tidur tanpa rasa bersalah, halang wakil rakyat membawa usul untuk kepentingan rakyat, sekat sana sekat sini tanpa rasa takut. Semua mereka bersumpah dengan nama Allah swt dan bersaksikan kitab suci Al-Quran untuk berlaku adil dan amanah tetapi tanpa sedikitpun ada rasa takut tentang balasan atas perbuatan tersebut.


Kita takut untuk bersekongkol dengan pencuri, koruptor, dan penindas rakyat kerana sedar akan bahananya bersekongkol dengan orang seperti itu. Tetapi pemimpin-pemimpin mereka tidak takut kerana yang lebih penting adalah habuan, pangkat, jawatan dan kesenangan hidup di dunia.

Kita takut menunggang agama kerana kita tahu menunggang agama itu seburuk-buruk perbuatan tetapi yang bersekongkol dengan mereka tidak ada sedikitpun rasa takut. Malah yang berjubah, berserban begitu berani mengambil-alih kuasa menentukan syurga dan neraka, kafir-mengkafir sesiapa yang tidak bersama mereka sedangkan itu adalah hak mutlak Allah swt. Takutkah mereka?

Banyak yang mereka tidak takut dan cukup berani jika disenaraikan satu persatu tetapi kita masih menuduh mereka takut dan menganggap kita berani.

SIAPA TAKUT DAN SIAPA BERANI SEBENARNYA?

Comments

Popular Posts