The Equanimity


Hari ini bergegar pentas bangsawan dengan berita pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah hartawan kontroversi Jho Low yang didakwa diperoleh menggunakan wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), di Bali dengan kerjasama Federal Bureau of Investigation (FBI). Nampaknya tudung Neelofa tidak mampu menutup 'aurat' 1MDB dan gerombolan penyangak-penyangak yang berpesta sakan menggunakan syarikat tersebut untuk menjadi paip besar menyalurkan hasil pengubahan wang haram seperti didakwa Department of Justice (DOJ).

Walaupun TV3 tidak menyiarkan berita tersebut, rakyat gagal dibiuskan agar tidak mengetahui betapa sakitnya berita ini. Bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup hanya dengan sehelai tudung Neelofa kerana setidak-tidaknya bau bangkai 1MDB telah menusuk lubang hidung sesiapa saja yang terhidu. 

Undang-undang dinegara lain tidak seperti di sini kerana mereka bukan saja tidak memilih bulu kerana mereka memilih untuk terus mencukur tanpa perlu memilih bulu. Setelah dicukur bulu, segala panau, kudis, tokak, parut dan apa penyakit kulit akan jelas kelihatan memudahkan untuk dirawat. Jika pedih ubatnya, maka pedihlah pesakit yang terkena penyakit itu dan jika sudah ke tahap perlu dicungkil dan dibuang isi-isi berserta kudis maka akan dilakukan demi menyelamatkan keadaan.


DOJ mendakwa kapal bernama The Equanimity itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa disalah guna daripada 1MDB. Saya berpendapat pihak berkuasa Indonesia hanya bertindak sebagai pembantu tetapi operasi sebenar dijalankan oleh FBI. Indonesia diperlukan untuk membantu kerana kapal mewah itu berada diperairan Indonesia dan FBI tidak mahu dilihat menjalankan operasi di wilayah asing tanpa menghormati kedaulatan sesebuah negara.

Moral dari apa yang berlaku ini sebenarnya pihak Amerika dan Indonesia menghantar beberapa isyarat penting untuk difahami Malaysia. Pertamanya negara Uncle Sam itu ingin memberitahu bahawa Trump tidak mampu mempengaruhi apa-apa keputusan undang-undang negara itu walaupun pemimpin besar telah berkunjung ke Rumah Putih sebelum ini. 

Keduanya sebagai bukti mereka tidak sesekali mereka-reka cerita untuk memburuk-burukkan mana-mana pemimpin luar seperti yang didakwa oleh segelintir pemimpin dan tukang kipas serta 'pengebom berani mati' dalam UMNO sebelum ini berkokok bahawa isu 1MDB ini hanyalah 'dongengan'. 

Faktor ketiganya adalah Indonesia juga tidak mahu perairan mereka dijadikan sebagai 'syurga' penjenayah walaupun Bali merupakan 'syurga' peranginan di rantau ini. Indonesia ingin membuktikan mereka serius dalam membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan korupsi seperti yang dipertontonkan dari tindakan-tindakan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) terhadap semua aparat termasuk menteri, bupati, walikota dan gubernur di negara itu. Ia tidak sukar difahami kerana Pak Jokowi begitu tekun meyakinkan pelabur luar bahawa Indonesia tidak memberi 'muka' kepada koruptor-koruptor yang amat dibenci oleh para pelabur asing. Oleh itu, kesempatan ini adalah peluang terbaik buat Pak Jokowi membuktikan kesungguhan beliau menarik lebih banyak pelaburan ke negara itu sekali gus meningkatkan sokongan terhadap beliau dalam menghadapi Pilpres 2019 nanti.

Faktor paling penting dan amat siginfikan kes ini adalah untuk kita melihat dasar luar Amerika ketika ini. Amerika berpendapat China begitu rakus menguasai wilayah-wilayah asing di seluruh dunia sehingga menjejaskan kewibawaan Amerika sebagai negara 'adikuasa' dunia dan merebut peluang ekonomi dan keselamatan oleh negara tirai bambu itu ketika ini. Tindakan menghentikan kerakusan China perlu dilakukan termasuk menghantar isyarat kepada negara-negara yang menjadi penyembah kuasa besar komunis itu. 

Negara jiran lain termasuk Singapura juga dipercayai memainkan peranan menyalurkan segala maklumat melibatkan 1MDB kepada FBI kerana apabila beberapa pihak di Malaysia mempersendakan tindakan-tindakan sebelum ini terhadap pelaku-pelaku kesalahan dalam isu 1MDB, ianya seolah-olah cuba memperlekehkan undang-undang negara mereka. 

Bank Pusat Singapura telah menutup bank Swiss kedua yang disiasat berikutan dakwaan aktiviti pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan milik Malaysia, 1MDB dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) berkata ia sudah mengarahkan Falcon Bank untuk menghentikan operasinya di republik itu berikutan kesilapan yang serius dalam kawalan anti pengubahan wang haram bermakna mereka serius dan tidak memperalatkan undang-undang dan mahkamah untuk kepentingan kerajaan dan mana-mana parti politik. Sebelum dari itu, pada Mei 2016, MAS menutup bank Swiss, BSI atas pelanggaran undang-undang sama, ia adalah kali pertama bank diarahkan tutup di republik itu dalam tempoh 32 tahun. Falcon Bank dimiliki International Petroleum Investment Company dari Abu Dhabi.

Dengan bahang pilihanraya dan tempoh parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi, isyarat dihantar Amerika melalui FBI ini jangan dipandang enteng oleh pihak berkuasa negara ini. Selagi pemerintah dilihat mendahului rakyat dan tidak menzalimi mereka, maka rakyat akan terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada rejim sedia ada. Tidak ada mana-mana kuasa luar mampu menjatuhkan mana-mana kerajaan selagi rakyat di belakang mereka tetapi jika sebaliknya, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Bung Karno pernah berpesan kepada rakyatnya, "Wahai rakyat Indonesia!! Negara hancur kerana adanya para pengkhianat bangsa sendiri!"

Wallahualam



Comments

Popular Posts