MALU


Prie GS dalam bukunya 'Waras di Zaman Edan' dalam bab Antara Sakit dan Malu berkata, "Malu itu tidak bisa ditukar hanya agar ia tidak lapar. Jadi, di dunia itu, tinggi-rendahnya sebuah peradaban sangat diwarnai oleh tinggi-rendahnya budaya malu di dalamnya. Semakin banyak aib beredar, itulah pertanda makin rendah budaya malu di sebuah wilayah". 

Tun Mahathir juga pernah menyebut tentang budaya malu dalam masyarakat baru-baru ini apabila disoal tentang isu kepimpinan yang sedang membarah dalam wilayah politik. Kata Tun, masyarakat kita berbeza dengan di Jepun dari sudut rasa malu dalam konteks akauntabiliti. Harakiri muncul dalam masyarakat Jepun sejak begitu lama kerana 'malu'. Bagi mereka, gagal merupakan simbol kelemahan diri seseorang dan harga sebuah 'malu' bagi mereka adalah dengan cara 'harakiri'. 

Namun, dalam masyarakat kita yang semua hal dikaitkan dengan agama pastinya ia tindakan berdosa besar dan tidak patut dilakukan. Tetapi, seperti apa yang dilakukan di Jepun, Korea dan juga beberapa negara maju lain di barat, rasa malu terhadap tingkah dan tindakan mereka berkait dengan kebertanggungjawaban terhadap rakyat dan negara bukan soal main-main. Oleh itu, sebarang kegagalan melibatkan tercemarnya organisasi dan negara pastinya akan diikuti dengan perletakan jawatan tidak kira di peringkat mana sekalipun jawatan disandang.

Beberapa hari lalu Menteri Pembangunan Antarabangsa British, Lord Bates meletak jawatan selepas hadir lewat ke sidang Parlimen pada Rabu (31/1/2018). Dalam laporan CNN, menteri itu dikatakan terlepas satu soalan penting dari Baroness Lister disebabkan kelewatan beliau dan menyifatkan sebagai 'perkara yang memalukan'.

Namun di negara kita, Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang ketika disoal ketidakhadirannya ke sidang parlimen bukannya meletak jawatan, mohon maaf pun tidak malah dijawabnya, "Ikut suka hati sayalah nak hadir atau tidak!".

Itu jawapan kononnya datang dari seorang ulama' dan merupakan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. Jika beliau tidak bergelar ulama', apa agaknya jawapan beliau? 

Di negara kita hilangnya pesawat MH370 dan MH17 ditembak jatuh di Ukraine tidak memberi sebarang impak pada kedudukan siapa pun. Menteri Pengangkutan dan semua pemegang jawatan berkait dengan kegagalan ini tidak seorangpun dipertanggungjawabkan malah terus bercakap besar seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. 

Berlaku kes pemerdagangan manusia dengan ratusan mayat mangsa sindiket tersebut terdiri dari etnik Rohingya dan Bangladesh di Wang Kelian, Perlis pada Mei 2015 dan insiden pencerobohan di Lahad Datu Sabah yang begitu memalukan negara pada tahun 2013 oleh kumpulan militan etnik Sulu dari Filipina tidak ada seorang pun yang mengaku bertanggung jawab dan mengambil tanggungjawab atas peristiwa itu.

Pemegang-pemegang amanah diberikan rakyat negara ini sememangnya tak malu dan naluri 'malu' sudah dicabut dari dalam diri mereka. Yang utama adalah kekal berkuasa dan dapat terus memunggah khazanah negara dan apa saja yang menguntungkan diri serta keluarga hatta yang menjadi taruhan adalah negara dan rakyat. Tembolok dan perut perlu disumbat sepenuh-penuhnya biar pecah diperut jangan pecah di mulut. Sumbat dan jolok selagi mampu hingga tercekik dan termuntah asalkan orang lain tidak merasa.

Skandal rasuah melibatkan puluhan dan ratusan juta ringgit juga tanpa segan silu masih bercakap soal integriti dan maruah bangsa Melayu. Masih bermaruahkah jika mencuri wang rakyat ratusan juta ringgit tetapi berdegar-degar dalam perhimpunan agung parti minta perwakilan tolak DAP dan pakatan pembangkang yang kononnya akan menyebabkan Melayu hilang ketuanan? Malu?

Siapa meyebabkan tanah Rizab Melayu lesap ke tangan bukan Melayu? Lebih melucukan apabila ditangkap kes rasuah berpuluh juta ringgit diheret ke mahkamah tetapi akhirnya berpenghujung di Segitiga Bermuda tempat iblis dan syaitan bermukim.

Perhatikan seorang demi seorang pemimpin politik dan pemegang jawatan utama kerajaan ketika ini dan fikirkan apakah mereka ini ada rasa malu selain kemaluan?

Comments

Popular Posts