BUKIT KEPONG
Pada hari ini 23 Februari 1950, lebih kurang jam 5.00 pagi, Balai Polis Bukit Kepong telah diserang oleh pengganas komunis dan kini sudah genap 68 tahun. Kedudukan Bukit Kepong yang terpencil di tebing Sungai Muar menjadikan aktiviti pengganas komunis aktif di sekitar kawasan tersebut ketika itu.
Dalam kejadian ini, para anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota Polis Marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Dalam mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong, 17 orang anggota polis telah terkorban. Dua wanita dan 3 kanak-kanak hangus terbakar dalam pertempuran yang mengambil masa 3 jam itu.
Peristiwa Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata bersejarah yang berlaku antara pasukan polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dicapai. Sesungguhnya kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil pengorbanan jiwa dan raga wira-wira negara terdahulu. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh mereka yang terkorban dalam peristiwa ini.
Cuma apa yang menjadikan ramai daripada rakyat negara ini terkilan khususnya bekas-bekas pegawai dan anggota pasukan keselamatan apabila bukan saja jasa dan bakti tidak begitu dihargai, negara yang menjadi sekutu kuat dan membantu PKM sejak awal sehingga perjanjian perletakan senjata PKM dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989 dijadikan teman sekelambu hinggakan aset-aset strategik umpama tergadai kepada Negara Tirai Bambu yang begitu agresif melahap segala peluang yang ada di muka bumi ini bagi merealisasikan matlamat penjajahan bentuk baru kuasa besar komunisma.
Mudah-mudahan negara dijauhkan dari sial dan musibah yang hanya menjadi rahsia pemilik alam yang fana ini.
Comments
Post a Comment