JUTAWAN MELAYU DAN PAPA KEDANA PUN MELAYU
Selain dari tadbir urus yang buruk dan kelemahan kepimpinan negara, dasar-dasar ekonomi negara dilihat tidak memihak kepada rakyat dan lebih berlegar kepada kepentingan elit politik dan mereka yang berada dalam lingkungan elit politik. Ranah politik dan ketirisan gagal ditangani secara efektif walaupun negara mempunyai agensi diwujudkan secara khusus untuk membendung perkara ini.
Jika kita imbau kembali apa yang dibahaskan dalam Simposium Kepimpinan Melayu yang bertemakan 'Kepimpinan Melayu - Dari Mana Ke Mana' yang telah berlangsung selama seminggu iaitu dari 8 hingga 15 Disember 1976 di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya anjuran bersama Jabatan Pengajian Melayu dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dirasmikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, banyak hal-hal berkaitan perkara ini disentuh oleh semua panel yang hadir.
Dalam begitu banyak perkara yang dibincangkan sejak 42 tahun lalu, saya begitu terpana dengan apa yang disentuh oleh Prof Ungku Aziz. Katanya dalam simposium ini, beliau "... tidak menentang usaha-usaha untuk mewujudkan jutawan di kalangan orang Melayu, tetapi tegasnya, orang ramai jangan salah mengerti bahawa masalah kemiskinan di kalangan orang Melayu akan dapat diselesaikan dengan wujudnya dua tiga ribu orang jutawan Melayu. Dan kemudian secara tidak langsung beliau menyatakan rasa kesal kerana perhatian yang diberikan untuk mewujudkan jutawan lebih diutamakan daripada perhatian yang diberikan untuk menghapuskan kemiskinan. Sedangkan yang lebih mendesak dan wajib diberi keutamaan, katanya adalah usaha-usaha menghapuskan kemiskinan yang telah merebak luas di kalangan rakyat jelata Melayu".
Kita begitu bangga dengan pemberian BR1M dan tidak ada modal lain lagi yang boleh dibanggakan selain usaha ini. Sebenarnya, secara tidak langsung, kita seolah-olah mengiktiraf betapa banyaknya jumlah rakyat miskin akibat dari pengurusan ekonomi, sosial dan politik secara semborono dan tempang dan mengheret rakyat untuk terkial-kial untuk keluar dari masalah kemiskinan ini. KR1M yang diwujudkan untuk kononnya membantu rakyat sendiri akhirnya terpaksa dipapah ke 'Rumah Duka' kata jiran di seberang.
Memang benar dan tidak dinafikan kita punya banyak jutawan Melayu yang menjadi kaya-raya seperti mee segera. Tetapi majoritinya bukan atas merit tetapi dasar nepotisme dan kronisme yang diamalkan sejak lama dan menjadi parah kebelakangan ini. Dan yang kaya raya ini juga umum mengetahui kaya disebabkan bergayut di dahan politik UMNO yang menjadi jalan pintas berada pada kedudukan tersebut. Melompat ke dahan sana dan sini atas nama perjuangan bangsa, agama dan tanahair walaupun rakyat cukup mengerti hakikatnya adalah membesarkan tembolok sendiri dan perut yang sudah labuh mencecah lutut.
Apakah seribu dua jutawan yang kaya-raya ini membantu rakyat miskin? Jika sekadar menghadiahkan periuk nasi karan seperti yang dilakukan UMNO Perlis hingga disaman oleh syarikat pembekal di mahkamah sekarang ini bukanlah penyelesaian isu pokok kemiskinan. Itu hanyalah gula-gula dalam bentuk periuk karan untuk mengumpan sokongan ahli UMNO untuk terus menyembah dan memuja asap kemiyan berhala politik.
Secara lahiriah rakyat dan pihak luar juga dapat melihat bahawa kedudukan ekonomi negara yang menambat pinggang dan tengkuk rakyat semakin tercorot dan meletakkan nasib rakyat pada kedudukan tangan mendepa ke langit memohon agar dikabulkan doa supaya berubahlah kerajaan yang ada sekarang kepada kerajaan baru sekurang-kurangnya memberi harapan agar harakat ekonomi negara dapat menginjak naik dan seterusnya memperbaiki tahap kehidupan rakyat seluruhnya.
Berbangga dengan jumlah jutawan Melayu yang ada tidak mampu menyelesaikan masalah hutang piutang dan urusan kewangan rakyat. Apa yang nyata, negara semakin hampir kepada sistem kapitalis seperti di India di mana yang kaya semakin kaya dan miskin meraih gelaran papa kedana.
Benar seperti kata Pramoedya Ananta Toer dalam bukunya Rumah Kaca yang diterbitkan tahun 1988,"Kami memang orang miskin. Di mata orang kota kemiskinan itu kesalahan. Lupa mereka lauk yang dimakannya itu kerja kami."
Wallahualam
Wallahualam
Comments
Post a Comment