TAJ MAHAL MEMANG MAHAL
Ramai yang tidak menyedari betapa MAHAL lambang sebuah cinta seorang raja kepada kononnya wanita paling dicintai baginda. Cinta walau siapapun kamu, ianya adalah sisi peribadi yang tidak wajar dilibatkan urusan rasmi negara. Tapi atas nama kerakusan, semuanya harus mengatasnamakan negara sehingga Taj Mahal menguras keringat dan darah rakyat India selama 22 tahun untuk rampung.
Dalam tempoh pembinaannya, tidak kurang dari 20,000 orang rakyat dikerah disertai 1,000 ekor gajah dan akhirnya bangunan yang berhiaskan permata ini 'berjaya dalam gagal' disiapkan sekitar tahun 1647 di kota Agra.
Namun, 'kifarah' tidak pernah jemu dan lelah memikul amanahnya apabila sebaik bangunan Taj Mahal selesai dibina, Shah Jahan digulingkan dan dipenjarakan puteranya sendiri sehinggalah kematian baginda dan menguburkan sang ayah di samping Mumtaz.
Penyair India tersohor Rabindranath Tagore menggambarkan Taj Mahal sebagai "setitis air mata pada muka sangkakala". Kenapa?
Jika mengikut cerita Mumtaz adalah isteri ketiga dan isteri paling disayangi Shah Jahan sehingga kisah cinta mereka menjadi legenda. Mumtaz digambarkan sebagai isteri yang cantik,setia dan rela memberikan banyak anak kepada suaminya sehingga beliau meninggal dunia di saat melahirkan anak ke 14.
Namun, ada sisi lain yang tidak banyak diketahui umum, Mumtaz bukanlah isteri yang cantik dan setia sama sekali. Beliau adalah pencatur yang sangat hebat, jauh lebih hebat dari Shah Jahan serta bercita-cita besar serta kejam. Perkara ini diceritakan kembali oleh sutradara M Sayeed Alam dari kelompok teater Delhi Pierrot's Troupe. Dan menariknya di sini, para ahli sejarah bersetuju bahawa wanita-wanita dalam lingkungan pemerintah ketika pemerintahan Mughal menerapkan peranan penting dalam politik negara.
Mengikut jalan cerita teater yang dipersembahkan oleh sutradara M Sayeed Alam, Mumtaz yang sedang hamil tua mencabar suaminya untuk mengambilalih takhtanya. Sebaik Shah Jahan tewas membendung keghairahan isterinya untuk berkuasa, Mumtaz pun naik takhta dan meneruskan cita-cita besarnya dengan kejam.
Apabila Shah Jahan menyedari bahawa tindakan Mumtaz harus dihentikan, berlaku pertengkaran merebut kuasa kerajaan berakhir dengan rebahnya Mumtaz dari takhta dan meninggal dunia di saat melahirkan anak. Apakah itu hanya sebuah kecelakaan atau dihumban?
Pentas teater ini tidak memberikan jawapan pasti bagaimana Mumtaz rebah. Tetapi penonton pulang dengan membawa satu kecurigaan, bahawa mungkin Shah Jahan berperanan dalam kematian Mumtaz. Jadi, apakah Taj Mahal benar monumen untuk cinta atau monumen pembunuhan? Ada kepedihan di balik keanggunan Taj Mahal dan paling banyak adalah kesengsaraan dan penderitaan rakyat.
Jika kezaliman dan kekejaman Shah Jahan dalam membina Taj Mahal selama 22 tahun tidak dikeji dan dihina malah dipuja-puji serta dibanggakan oleh bukan saja kerajaan dan rakyat India, malah seluruh dunia sebagai salah satu keajaiban dunia, kenapa dengan pemerintahan Tun Dr. Mahathir memerintah negara selama tempoh sama 22 tahun harus dikeji?
Tidak sedikit keajaiban sentuhan Tun Dr. Mahathir dianugerahkan kepada rakyat dan negara ini jika mahu dihitung selama 22 tahun beliau menerajui negara. Beliau tidak mengerahkan 20,000 rakyat dengan 1,000 ekor gajah untuk membina Taj Mahal untuk Tun Dr. Siti Hasmah selama 22 tahun seperti apa dilakukan Shah Jahan.
Tempoh 22 tahun itu disempurnakan dengan pelbagai hal yang membanggakan dengan memberi manfaat kepada rakyat dan negara termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Kereta Nasional Proton, KLIA, KLCC, Menara KL, Cyberjaya, pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya dan banyak lagi jika harus disenaraikan.
Janganlah kita mudah menyalah dan mencari salah seseorang hanya kerana tidak bersama kita dan menyokong kepimpinan kita sehingga segala jasanya sedang dan diusahakan untuk dipadam dari bingkai sejarah negara. Berpolitiklah secara matang dan kematangan politik akan hanya dipercayai dari tindakan bukan ungkapan.
Taj Mahal memang mahal kerana harganya bukan saja dari rupee dan aset negara, tetapi jauh lebih mahal adalah tempoh begitu lama selama 22 tahun dipertaruhkan secara sia-sia hanya untuk membina monumen cinta bersifat peribadi tanpa mengambil kira derita dan kepayahan dihadapi rakyat.
Isterinya Mumtaz Mahal juga mempunyai ciri persamaan dengan ramai isteri-isteri diktator seperti Grace Mugabe dan Imelda Marcos. Rupa-rupanya kesempurnaan seorang diktator dapat diukur dari tahap tamak haloba, kerakusan, kekejaman dan boros isterinya. Semakin tamak, rakus, kejam dan boros isteri diktator, semakin tinggi harakat diktator itu dan Shah Jahan bukan hanya pencinta yang hebat tetapi juga diktator yang bejat.
Kata Confucius, "pelajarilah masa silam kalau kamu mahu beroleh kegemilangan pada masa akan datang".
Sama-sama kita renungkan...
Comments
Post a Comment