AIR KETUBAN DAH PECAH


Jika nak diumpamakan keadaan sekarang tentang pilihanraya, tanpa perlu nujum dan dukun pun pastinya dapat menelah betapa hampirnya PRU14 dengan rakyat. Air ketuban sudah menunjukkan tanda-tanda akan pecah bila-bila masa sahaja sementara bayi di dalam perut sekejap tersenyum sekejap menangis.

Simptom-simptom PRU14 semakin terang-benderang di keliling kita tetapi jika disebut oleh kita, samalah pula dianggap seperti anggota polis ditugas menjaga lokap beritahu OKT yang dia akan dibebaskan esok sedangkan sememangnya reman dari majistretpun akan tamat esok. Cuma OKT tak tahu tarikh tamat reman maka untunglah anggota jaga lokap dapat upah dari OKT yang dianggap bantu bebaskan awal dari tahanan.

Mana tidaknya kalau serangan terhadap pakatan pembangkang bertubi-tubi dan media arus perdana pula menjulang UMNO dan pemimpin-pemimpinnya setaraf wali dan Nabi yang maksum tanpa sepalit dosa. Hasil dari kutipan tol yang menjadi kawah menyental daging dan kuah sehingga buncit pun sudah berdengung Najib sebut mahu dihapuskan. Harga minyak sudah 2 minggu berturut-turut diturunkan bukannya 1 atau 2 sen.. tapi 10 sen + 5 sen adik-kakak.

Alhamdulilah syukur ke hadrat Allah swt dicampaknya ketakutan ke dalam hati pemimpin-pemimpin UMNO dari bawah sampai ke pucuk menjelang PRU14 ini. Alangkah bagus jika ketakutan itu kekal sebaik selesai PRU13 sehingga kiamat.

Ketakutan itu sajalah ubat dan penawar agar seseorang pemimpin itu tidak menzalimi rakyat yang memberi amanah di bahu mereka. Namun, apakan daya kerana ketakutan itu hanyalah sementara kerana ia hanya datang ketika pilihanraya amat hampir dan NOKTAH sebaik diumum menang dan berjaya menubuhkan kerajaan baru.

Sampai bila kambing dan bebiri perlu percaya kepada serigala-serigala yang memberitahu jangan takut, saya akan jaga dan selamatkan kamu? Hanya keldai yang jatuh berkali-kali ke dalam perigi buta yang sama.

Jika ada yang teringin diuliti janji dan dilayan seperti rakyat yang disayangi pemimpin berharakat khalifah al Amin, inilah masanya perlu direbut. Jangankan memimpin tangan menyeberang jalan, rakyat nak makan pun dibayar malah disuap. Sudah disuap rasa nak terberak akan dipimpin ke jamban dan sudah berak pun akan dibasuh dengan muka tersenyum.

Apa lagi, kerjakan mereka sekarang sepuas-puasnya sebelum PRU14 selesai kerana ketika itu, rakyatlah yang akan menyara bukan saja pemimpin-pemimpin itu, malah seluruh keluarga dan suku-sakat mereka sejak lahir hingga ke lubang kubur!

Apa yang perlu diingat adalah, UNDI sesekali jangan diberi kepada orang munafik. Tanda-tanda orang munafik itu apa? Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga. jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia ingkar, dan jika dipercaya ia berkhianat. (HR Bukhari)

Comments

Popular Posts