TANAH

Salam,

1.  Jika dikaji sejarah peperangan antara negara atau perang keluarga, tidak sedikit yang diteliti susur-galur puncanya adalah kerana 'TANAH'. Kerana tanah, negara sanggup berperang, adik-beradik bergolok-berparang. Harta tetap sesebuah negara yang penting adalah tanah. Tanah bukan saja penting sebagai sumber ekonomi negara, tetapi lebih-lebih lagi sebagai lambang kedaulatan sesebuah negara dan hak sejati rakyatnya. Kerana itulah sejak zaman dahulu-kala lagi manusia sanggup berperang kerana tanah. Negara yang kuat menjajah negara yang lemah untuk merampas tanahnya. Ini jugalah yang dilakukan oleh negara haram Israel di Palestin dengan merampas tanah untuk menempatkan pendatang Yahudi. 

2.   Menyingkap kembali Perang Falkland ataupun disebut juga Perang Malvinas yang merupakan peperangan antara Argentina dan United Kingdom antara Mac dan Jun 1982 juga berpunca untuk merebut kepulauan Falkland. Apakah Falkland itu sebatang aiskrim atau kentang goreng? Kepulauan Falklands terdiri daripada dua pulau besar dan banyak pulau kecil di Lautan Atlantik Selatan timur Argentina, yang hak miliknya telah lama menjadi pertikaian.

3.   Pertikaian negara kita berhubung isu Pulau Batu Puteh juga adalah isu tanah. Status kedaulatan Pulau Batu Puteh mula tercetus pada tahun 1979 ketika Malaysia menerbitkan peta rasmi yang baru, dengan memasukkan Pulau Batu Puteh di dalam perairan wilayahnya. Jarak Pulau Batu Puteh adalah lebih jauh dari titik terdekat Singapura (Changi) iaitu terletak 46 km (25 batu nautikal) berbanding hanya 14.3 km (7.7 batu nautikal) dari Johor (Tanjung Penyusop, Mukim Pengerang). Hakikatnya, Pulau ini adalah kosong tanpa hidupan dan tumbuhan, yang ada hanyalah rumah api di pulau tersebut. Keluasannya juga cuma seluas padang bola, namun ia adalah simbol kedaulatan dan hak yang mesti dipertahankan. Banyak lagi isu pertikaian sempadan antara negara berpunca daripada isu 'tanah' termasuk terumbu layang-layang.

4.    Walaubagaimanapun, agak menghairankan apabila sejak sekian lama pula banyak tanah yang telah tergadai dan dirampas samada secara rela, paksa, tersepit, dipengaruhi oleh umpan dan janji wang ringgit atau ditipu tanpa memerlukan golok dan parang, kereta kebal dan jet pejuang. Telah menjadi rahsia umum, kebanyakannya hanya bersenjatakan harimau kertas dan ia sudah cukup untuk menjadikan 'Malay Reserve' itu 'Free Hold' dan tidak kurang kes di mana di atas kertas penamanya Melayu tetapi hakikat sebenar sudah menjadi milik Bukan Melayu. 

5.   Tidak perlu pergi terlalu jauh jika di kawasan Kubang Pasu sendiri terdapat kebun getah dan kuari batu dan tanah yang letaknya dalam kawasan 'Malay Reserve' tetapi pemilikannya oleh Bukan Melayu. Mungkin ada yang berfikiran ia sebagai jenaka bersifat mengusik. Tidak perlu mengusik sebenarnya kerana pembelian dibuat atas nama Melayu yang kemudiannya dibuat perjanjian antara pemilik Bukan Melayu itu seolah-olah berhutang dengan jumlah yang sama nilai dengan keluasan tanah tersebut dengan balasan wang bulanan atau 'lum sum' yang mengiurkan bagi orang kampung yang hanya kais pagi makan pagi dan kais petang entah bila nak dimakannya. 

6.   Itu kes tanah Simpanan Melayu yang berpindah tangan samada dengan mengubah status atau manipulasi undang-undang demi merampas tanah orang Melayu. Jauh lebih merbahaya dan mengancam masa depan generasi akan datang adalah pemilikan asing ke atas hartanah di negara kita. Lebih malang apabila undang-undang yang digubal juga seperti tidak melindungi hak untuk bangsa Melayu mempertahankan tanahair mereka. Bukan sahaja Bukan Melayu di negara sendiri yang sudah menguasai tanah-tanah itu, warga asing juga dengan mudah membeli tanah dan rumah di negara ini seperti yang berlaku di Iskandar Malaysia dan banyak kawasan di Johor. Tanah di sana telah dibeli dan dijual kembali dengan rakus sehingga nilainya semakin hari melonjak ke tahap yang tidak mungkin mampu dibeli oleh rakyat tempatan. Pintu untuk rakyat Singapura khususnya dan pelabur asing seperti dari China, elit dari New York, Los Angeles dan Sydney turut berminat untuk mendapatkan tanah di Iskandar Malaysia, Johor.  Pintu yang dibuka seluas-luasnya peluang kepada orang asing untuk pemilikan akhirnya akan menjadikan kedaulatan tanahair lebih bersifat retorik dan pancingan daripada pemimpin-pemimpin populis yang tidak serik dengan sejarah lampau yang perit terpaksa dilalui oleh generasi yang ada sekarang. Masalah tanah rezab Melayu atau pemilikan oleh orang asing bukan salah mereka tetapi yang bersalah adalah bangsa Melayu sendiri yang mengkhianati bangsanya. 
 
7.   Merenung kembali kata-kata Hassan Ahmad dalam bukunya Imbasan dalam bab 50 berjudul 'Harta Negara Milik Allah Dan Manusia Sebagai Pemegang AmanahNya', "Di sesetengah negara, misalnya Indonesia, khabarnya orang asing dilarang membeli tanah di negara itu. Kalau rakyat asing mahu membeli rumah, ya bolehlah tetapi tidak dengan tanahnya sekali. Kalau peniaga asing mahu mendirikan kilang di negara itu, ya bolehlah tetapi tanahnya tidak boleh dijual kepada orang asing dan hanya boleh disewakan kepada rakyat asing. Apabila tiba masanya kerajaan memerlukan tanah itu setelah tamat tempoh sewanya, kerajaan berhak mengambilnya semula. Bangunan yang telah terdiri sekian lama di atas tanah itu mungkin terpaksa menjadi milik negara, atau dimusnahkan. Boleh jadi kerajaan akan membayar gantirugi kepada pemiliknya. Tetapi kalau tanah kita sudah dibeli oleh orang asing, apakah kita dapat mengusir orang itu apabila tiba masanya kita memerlukan tanah itu untuk kegunaan rakyat negeri? Mungkin kerajaan terpaksa bergaduh dengan negara asing atau terpaksa ke mahkamah untuk menyelesaikan masalah itu".  Apakah pemimpin kita sudah tidak mampu berfikir seperti apa yang difikirkan oleh pemimpin negara lain? Apakah ianya berpunca daripada sindiran Hassan Ahmad dalam Bab 51 berjudul 'Kemewahan Dan Masalah Sosial Dan Budaya' yang berbunyi, "Seorang temannya berkata, "yang penting sekarang bukan Bahasa Melayu tetapi BM". Saya sangka BM bererti Bahasa Malaysia tetapi BM 'is a shot form of  bawah meja"?. 

8.    Bangsa Melayu sudah lama dibelit penyakit syok sendiri angkara pemimpin bertopeng Hang Tuah dan Hang Jebat kononnya mempertahankan bangsanya. Bangsa Melayu hanya mengasapkan keris dengan kemenyan dan diletak di bawah bantal untuk mimpi yang panjang menjadi Putera Raja. Sampai masa, keris dicium dengan jeritan 'Hidup Melayu'. Tanah 'Reserve Melayu' telah meletakkan Melayu ditempat yang sama taraf dengan 'Reserve Player' atau pemain simpanan. Bangsa Melayu sendiri menjadikan bangsanya pemain simpanan terloncat-loncat di tepi padang macam kera kena belacan sedangkan yang menjadi pemain kesebelasan utama adalah bukan Melayu dan orang asing. Nasib baik dapatlah menumpang rombongan pasukannya ke sana-sini bertandang ke gelanggang lawan. Jika tidak, jadilah penunggu stadium atau bersila di padang sendiri. “Memang benar pepatah Jerman, “sikap manusia sepadan dengan caranya ia mendapat makan”.

"Loyalty to the country always. Loyalty to the government when it deserves it" (Mark Twain)

Wallahualam

SANI

Comments

Popular Posts