Pesta Cakar

Salam,
1.    Nampaknya 'Pesta Cakar' terus menguasai masalah politik di setiap penjuru dan ceruk parti-parti politik di negara ini. Tidak hanya bercakaran sesama parti dalam gabungan atau pakatan, malah dalam parti sendiri berkocak umpama minum kopi atas gerabak keretapi. Masalah inter dan intra parti tidak hanya jatuh cinta pada warna hijau, biru, biru muda, merah, kepala lembu dan kepala jebon, malah segala parti selagi ketagihan kuasa menjadi matlamat, tanpa permaidani merah pun masalah datang.

2.    Beberapa hari ini Parti Malaysian Indian Congress (MIC) menari 'Pesta Cakar' dengan paluan pelbagai jenis gendang diiringi serunai dan ular. Hari ini pelbagai jenis ular menari sehingga berdiri tegak untuk merebut jawatan tukang tiup serunai dan memaksa tukang tiup serunai pula menari. Alangkah lucu jenaka politik di Malaysia angkara 'political master' sendiri membayangkan beliau juga penari 'Tarian Cakar' yang hebat. Tiap kali lagu 'masalah selesai' dimainkan, setiap kali itu juga lagu 'Tarian Cakar' yang dimainkan. Apa lagi dengan penggemar lagu 'Tarian Cakar', bercakaran sakan lah masing-masing. Hari ini, Timbalan Presiden MIC Dato' Subramaniam mengumumkan beliau akan mencabar Presiden MIC bagi merebut jawatan nombor wahid dalam parti tersebut. Tanpa segan silu ketika sidang media, beliau berkata keputusan mencabar Dato' Seri Palanivel adalah berpunca daripada kegagalan Presiden MIC itu menyelesaikan masalah dalaman parti dan palin utama adalah Dato' Seri Palanivel telah melanggar perlembagaan MIC. Naib Presiden Dato S. saravanan dan ketua-ketua sayap parti kelihatan seakan memihak kepada Dato' Subramaniam. Makin banyak pula malam ini ubat darah tinggi Dato' Seri Palanivel perlu makan sebelum tidur.

3.     Apa yang jelas, masalah MIC sebuah parti ketiga terbesar dalam BN tetapi jumlah ahlinya ciput telah menjadi 'small party big drama' sehingga kelibat Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN iaitu Najib dan Muhyidin tidak lagi mampu menghalau hantu-hantu yang ingin menjahanamkan Palanivel. Samada suka atau tidak, Najib dan Muhyidin perlulah mendapatkan bantuan Raja Bomoh untuk menghalau hantu-hantu itu dengan memukul buah limau dengan kayu golf. Mentang-mentang dekat dengan sambutan Tahun Baru Cina, hantu pun mengidam buah limau!.

4.    Oleh sebab itulah banyak pengamat politik berkata, perkukuhkan rumah kita sebelum 'hinggut' rumah orang supaya roboh. Rumah orang tak roboh, rumah kita yang bergoncang ditambah sakit pinggang. Tak pasal-pasal berduyun-duyun pula tukang hinggut kena cop paspot dan pas sempadan untuk mengurut di perbatasan. Yang nak berjimat boleh lah sekadar membeli minyak tomoi urut sendiri.

5.   Kita seharusnya ingat, "“Kekuatan itu tidak terbina di atas bilangan yang ramai, tetapi kekuatan itu terbina di atas keyakinan dan optimis seseorang dan keserasian berkumpulan.” Untuk serasi, kita tidak perlu sehingga menyembah sesama sendiri, tidak juga perlu mengaminkan setiap kata pemimpin nombor wahid, cukup sekadar memahami budaya, adat resam, aturan dan hukum agama masing-masing. raikan perbezaan pandangan dan fahaman selagi tidak bertentangan dengan hukum-hakam agama. Apa maknanya keahlian parti jutaan orang jika kekuatan parti sekadar dahan reput? Alangkah berjayanya parti walaupun kecil dan bilangan ahlinya sedikit tetapi urat dawai tulang besi. Lihat bagaimana kuatnya Parti Buruh di Britain walaupun ahlinya sedikit dan sebuah pejabat kecil di tingkat atas sebuah bangunan tetapi ia kuat kerana disokong oleh majoriti rakyat Britain.

6.    Selagi pemilihan pemimpin asasnya adalah kaum-kerabat dan suku-sakat bukannya berdasarkan merit, ketokohan, karisma dan memiliki aura kepimpinan yang diperlukan sebagai seorang pemimpin, sampai kiamat pun perasaan tidak puas hati akan membarah. Parti politik bukan harta pusaka yang boleh diagih-agihkan sesuka hati. Ada adab dan kaedahnya dalam memilih pemimpin jika kita mengharapkan parti yang kita sertai itu menjadi parti yang ditolak tak rebah, ditarik tidak tersungkur. Kuda-kuda harus kuat dan anjing-anjing perlu pintar. Jika sudah berusaha sebaik mungkin dengan kaedah yang dipersetujui ramai tetapi masih gagal, itu maknanya sudah suratan takdir. Tapi jika parti diurus dan direncanakan seperti 'ghazal parti', elok panggil pondan pakai bikini menari gelek dan juak-juak keliling pentas tepuk dan sorak ramai-ramai. Apabila tuan sheikh sudah meragam, loncat ke pentas menari tarian 'Pesta Cakar'.


Wallahualam

SANI 

Comments

Popular Posts