PEMBANGKANG
Salam,
1. Dalam dunia kepartian, tidak sahaja pemimpin yang enggan mendengar apa yang mereka perlu dengar sebaliknya memilih untuk mendengar apa yang mereka ingin dengar. Jika berkata sesuatu yang tidak menepati kehendak mereka, maka sepantas kilat label 'kamu pembangkang, kamu parti itu dan ini' dimuntahkan kepada sesiapa yang menegur atau mengkritik.
2. Kenapa kita tidak marah dan membaham jurulatih yang mengkritik pemain malah ada yang digugurkan dari pasukan bolasepak? Kerana kita faham bahawa teguran, kritikan dan tindakan jurulatih itu bertujuan untuk membaiki prestasi pemain dan seterusnya menjadikan pasukan mereka mantap. Begitu juga dengan kritikan daripada rakyat yang memerhati dan ingin melihat pemimpin dan parti politik tidak kira dari parti pemerintah mahupun pembangkang lebih bagus dari sudut prestasi dan komitmen kepada rakyat agar kehebatan mereka itu dapat memberi manfaat kepada rakyat.
3. Hanya yang berbeza jurulatih pasukan bolasepak misalnya akan sedaya upaya memantap dan memperkemaskan pemain dan pasukan yang menggaji beliau. Tetapi buat orang seperti saya yang tidak berparti dan sesiapa yang tidak berkepentingan hanya ingin melihat kedua-dua pihak samada pemerintah dan pembangkang kedua-duanya hebat dan saling berlumba untuk memberi khidmat kepada rakyat sebaik-baiknya. Oleh itu, rakyat dan mereka yang tidak berkepentingan akan terus menegur serta mengkritik sesiapa saja dan pihak mana sekalipun supaya memperbetul dan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat.
4. Jika jurulatih kedua-dua pasukan lawan memperkemaskan permainan pemain-pemain mereka maka penonton akan dapat menonton permainan dengan penuh nikmat dan perasaan berbaloi dengan harga tiket yang dibayar kepada pihak terlibat. Begitu juga dengan pemerintah dan pembangkang, jika kedua-duanya berlumba-lumba untuk memberi khidmat dengan cemerlang, maka rakyat sudah pasti beruntung kerana dapat menikmati segala kemudahan dan bantuan daripada kedua-dua pihak samada pembangkang mahupun pemerintah hasil daripada kritikan dan teguran rakyat yang bertindak seperti peranan jurulatih pasukan bolasepak tersebut.
5. Namun realitinya, setiap kali teguran dan kritikan dibuat, pastinya akan dilabel pembangkang oleh mereka yang melihat teguran dan kritikan itu mungkin sebagai ancaman samada kepada mereka atau parti yang mereka wakili. Parti dan pemimpin serta pendokong yang hanya ingin mendengar apa yang mereka mahu dengar dan ini hanya sesuai wujud di alam kartun yang sentiasa berlegar dengan kisah-kisah lucu dan menghiburkan seperti kanak-kanak.
6. Penyakit tidak akan disembuhkan selagi pesakit tidak dapat menerima kenyataan bahawa beliau sakit dan setelah ia dapat menerima kenyataanlah baru dimakannya ubat yang dipreskripsikan oleh doktor. Jika tidak menerima kenyataan bahawa dia sakit, apakah perlu dia memakan ubat? Bukankah ubat gunanya untuk mengubati penyakit? Mungkin disebabkan itu juga ramai termasuk parti politik yang sakit kepala tetapi disapunya minyak angin di buku lali kaki.
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment