PERANG KEBODOHAN

Salam,

1.     Nampaknya perang yang didepani oleh bala tentera komander-komander politik di tanah air ketika ini samada di pihak A atau B sudah sampai ke tahap yang sudah menghancurkan adab sopan berpolitik. Siapa cakap politik itu kotor? Nabi Muhammad juga berpolitik dan apakah politik Nabi Besar junjungan kita itu bergelumang dengan kekotoran? Tidak mungkin dan mustahil Baginda bermain kotor dalam politik. Muslihat bukan kotor tetapi strategi dan yang kotor adalah bagaimana hasil daripada strategi tersebut. Jika hasilnya merugikan umat, bangsa, agama dan tanahair ternyata itu bukan kotor tetapi bodoh. Dan sudah semestinya perang kebodohan itu mesti dihentikan dengan segera.

2.    Strategi peperangan yang menganiaya musuh politik, menzalimi rakyat hanya untuk memenangkan cita-cita politik sendiri maka itulah timbulnya kotor dan hanyirnya politik. Komander politik yang berperang dengan cara ini perlu dikuburkan dengan seberapa segera. Jika kecundang sebelum berjaya mencapai cita-cita politik juga ada ketikanya adalah kifarah di atas dosa-dosa lampau samada secara sedar ataupun sebaliknya. Sebagai umat Islam yang penuh yakin dan percaya dengan Qada dan Qadar, apa juga yang berlaku akan diterima dengan hati yang ikhlas dan terbuka. Apa yang berlaku semuanya atas perencanaan dari langit dan sudah semestinya yang terbaik buat kita setelah berusaha sepenuh kudrat.

3.     Mungkin sesuatu keputusan yang berlaku itu tidak menyebelahi kita tetapi sesungguhnya keputusan yang tercapai itu samada hasil dari perancangan jahat atau busuk, ia adalah langkah-langkah kecil menuju kepada langkah lebih besar dan mungkin 'grand design' yang tidak kita sangka. Siapa sangka jeneral tentera yang dilantik dan pilihan Presiden Morsi akan mengguling dan memenjarakan beliau? Tidak ada Morsi maka tidak ada as-Sisi dan tidak ada as-Sisi maka situasi Mesir tidak akan seperti yang berlaku sekarang termasuk apa yang berlaku di antara Hamas dan Rejim Haram Israel.

4.   Apakah perkembangan politik di Timur Tengah yang berlaku sejak as-Sisi merampas kuasa tidak kaitan dengan kemelut yang melanda rantau itu? Bagaimana dengan kemunculan kumpulan militan IS yang sedang mengkucar-kacir dan menzalimi bukan saja bukan Islam, malah umat Islam sendiri menjadi mangsa kekejaman mereka. Sifir politik tidak harus disempitkan seperti sifir matematik. Sifir matematik itu tetap tetapi tidak dengan sifir politik. Jangan sampai kita salah perkiraan sehingga yang bodoh kelihatan cerdik dan yang cerdik pula terjun ke dalam telaga kebodohan.

5.    Perang kebodohan bukanlah berlaku atas paksaan ataupun anugerah mana-mana pihak. Ia adalah pilihan yang dibuat oleh komander-komander politik yang memilih samada memperbodohkan tentera-tentera mereka sendiri ataupun cuba memperbodohkan musuh politik yang semuanya adalah dengan matlamat untuk kepentingan diri mereka. Akhirnya, tentera kedua-dua pihak bergelimpangan terkorban di medan perang sedangkan komander-komander kekal mengazankan retorik di menara antik bernama 'parlimen' ataupun 'Dewan Undangan Negeri' sambil beristirehat ditemani makanan lazat dan bergelak ketawa sesama mereka. Mayat tentera yang bergelimpangan berulat menjadi bangkai menunggu burung hering pemakan bangkai datang menjamah rezekinya.

6.    Kenapa manusia memilih untuk menjadi bodoh? Mungkin kerana "semakin cerdas anda semakin anda merasa banyak yang tidak diketahui. Semakin bodoh pula anda maka semakin anda merasa mengetahui banyak hal". Tetapi, usahlah kita membodohkan diri sendiri hanya untuk mendapat upah yang tidak seberapa daripada pemilik kebodohan. Ingat dan fikirkan betapa "tenaga yang diperlukan untuk menjadi pintar lebih kecil daripada tenaga yang diperlukan untuk menjalani hidup dalam kebodohan". Hentikanlah perang kebodohan ini dengan memilih untuk bekerjasama sesama rakyat tanpa mengira fahaman politik dan mewujudkan masyarakat pintar. Penggantungan harapan kepada komander-komander politik sedia ada hanyalah mimpi-mimpi yang direka untuk mengkhayalkan kita. Kita tidak sepatutnya menerima hukuman atas kebodohan mereka, sebaliknya merekalah yang perlu menerima hukuman samada 'hukum karma' ataupun sama-sama kita menggembeling usaha menjatuhkan hukuman kepada komander-komander politik yang hanya berpesta kebodohan dan berkenduri besar dengan kejahatan. Mulakan momentum ke arah membina pentas hukuman dan melatih tukang sebat, tukang sula, tukang pancung dan tukang timbus terhadap semua komander-komander politik tidak kira di pihak A atau B dalam PRU14 nanti. Berfikir sebelum berbuat adalah satu kebijaksanaan, berfikir setelah berbuat adalah satu kebodohan, sementara berbuat tanpa berfikir adalah seribu kebodohan.

Wallahualam

SANI

Comments

Popular Posts