MUTAN
Salam,
1. Kata Khalid Salleh dalam bukunya 'Melayu Hilang Di Dunia', "Muka manusia mahupun binatang yang mempunyai mulut, mata, hidung, pipi, telinga, dagu dan bibir, Allah jadikan dan tempatkan di bahagian hadapan. Tujuannya adalah untuk pengenalan di samping memperakui samada wajah itu wajah manusia atau binatang apabila bertemu atau berhadapan".
2. Agaknya bagaimana keadaan jika mulut, mata, hidung, pipi, telinga, dagu dan bibir ditempatkan di belakang? Ertinya kita akan menyebut berbelakang untuk bertemu seseorang dan tidak lagi disebut berhadapan. Secara umumnya juga manusia akan dapat membezakan antara manusia dan binatang dengan keindahan letaknya kesemua anggota badan itu di kedudukan sekarang. Namun begitu, ada ketikanya kita tersalah mentafsir apabila memikirkan makhluk yang ditemui itu adalah manusia tetapi hanya jasadnya manusia sedangkan naluri, sikap dan pemikirannya mengalahkan binatang.
3. Naluri kebinatangan yang dominan menguasai jasad manusia itu akhirnya menjadikan binatang berwajah manusia berkeliaran di sekeliling kita tanpa ramai yang sedari. Akibatnya ramai manusia menjadi mangsa binatang berwajah manusia berbanding binatang yang sebenar. Tidak sedikit manusia menjadi mangsa buaya berwajah manusia berbanding buaya sebenar, berapa ramai yang hancur kehidupannya dibaham jerung berwajah manusia berbanding jerung di lautan, bertambah-tambah manusia yang menjadi mangsa ular berwajah manusia jika nak dibandingkan dengan mangsa ular yang sebenar. Banyak lagi yang dapat disebut tetapi jelas binatang berwajah manusia setiap detik membunuh kehidupan manusia sehingga amat sukar manusia dapat menyelamatkan diri lantaran kemunafikan atau mungkin ada yang menyebut sebagai 'taqiyah' yang menjadi pegangan kelompok Syiah.
4. Malah di dalam organisasi rasmi seperti agensi kerajaan, swasta, parti-parti politikpun bercambah binatang berwajah manusia samada untuk mengejar kuasa atau mempertahankan kuasa. Ada yang fitrahnya babi menyondol ke sana-sini hatta bontot dan jamban demi mendapat ihsan daripada binatang berwajah manusia dengan aksi burung nasar atau juga dipanggil burung hering yang memakan bangkai. Ada yang menjadi anjing menyalak di sana sini, ada yang menjadi lembu dengan tahap kebodohan luarbiasa untuk dinjak-injak, Ada yang menjadi ayam belanda bising riuh segenap ceruk dan lorong tetapi hasil kerjanya ternyata dipenuhi dalam keranjang sampah. Yang paling banyak adalah jenis monyet yang bergayut ke sana sini mencari dahan untuk berpaut dan bernasib baik disumbat pisang. Itu belum diambil kira spesis katak yang tak henti-henti memanggil hujan dan melompat selagi ada ruang untuk melompat. Sementara spesi lalat tidak cukup kata-kata untuk diungkapkan kerana terlalu banyak sehingga tidak sempat manusia memperoses najis untuk dihurung.
5. Sebenarnya saya amat simpati dengan Jabatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan yang terpaksa bertungkus-lumus siang dan malam untuk meladeni bukan sahaja binatang yang sebenar malah binatang berwajah manusia. Sudah sampai masanya pemerintah memberi elaun khas atau elaun kritikal kepada semua kakitangan Jabatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan di semua peringkat akibat lambakan kerja yang berpunca daripada masalah ini. Hanya keperihatinan pemerintah dapat membantu kesengsaraan kakitangan kedua-dua jabatan ini.
6. Kata Aristotle, "Dalam masyarakat manusia ada binatang jalang tetapi dalam masyarakat binatang tidak ada satu pun manusia jalang".
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment