KEPELBAGAIAN LIDAH

Salam,

1.      Dalam bukunya Folklore Madura, Emha Ainun Nadjib berkata, "Salah satu 'iradat ' Tuhan yang sesungguhnya mengandung humor yang sangat tinggi adalah bahwa Ia menciptakan bukan hanya berjenis-jenis ras, suku, bangsa dan golongan, tapi juga berbagai macam lidah". Walaupun isu lidah yang disentuh lebih bersifat linguistik, mengembangkan fungsi lidah yang pelbagai dari menjilat hingga memutar-mutar isu, menipu, mengkhianati sesama manusia dan bermacam-macam lagi membuat ia bertambah rencam.

2.    Kepelbagaian lidah itulah yang menjadikan manusia itu baik atau sebaliknya. Penguasa yang membohongi rakyat tidak menggunakan kakinya untuk berbohong dan memungkiri janji. Pekerja yang culas dan mengkhianati amanah yang diberikan juga menggunakan lidah untuk berdalih untuk memberi alasan. Lidah juga yang mengadu-domba sesama manusia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik mereka. Fitnah yang terawang-awang di sana sini juga berpunca dari lidah yang bersambung-sambung antara manusia dan iblis hingga mencetuskan porak-peranda dalam masyarakat. Iblis itu sudah jelas pakaiannya tetapi manusia yang berpakaian malaikat itu yang sukar diduga. Sehingga ada sebahagian ulama' berkata, “Seandainya kalian yang membelikan kertas untuk para malaikat yang mencatat amal kalian, niscaya kalian akan lebih banyak diam daripada berbicara.”.



3.     Kepelbagaian ras, suku, bangsa dan golongan itu fitrah penciptaan manusia oleh Maha Pencipta tetapi kepelbagaian lidah jika tidak dikawal pasti akan membuahkan penganiayaan bukan saja kepada mangsa fitnah secara langsung, malah melibatkan keluarga dan sanak-saudara yang bergantung hidup kepada mangsa fitnah tersebut. Bayangkan jika rakyat yang berjumlah 30 juta orang menjadi mangsa keceluparan pemimpin yang rakus, mengejar dan mempertahankan kuasa sehingga rakyat berbalah sesama sendiri, tidak kurang yang termakan janji-janji muluk dan bergantung harap kepada pemimpin sehingga sanggup bertuhankan sesama manusia dan apakah ini semua bukan rencana membudayakan amalan syirik? Tugas pemimpin adalah untuk menyatu-padukan rakyat bukan memecah-belahkan kesatuan ummah. Namun, realiti tidak semudah disangka di alam yang penuh idealist bermimpikan fantasi tidak berkesudahan. Sesuatu yang ideal tidak semestinya realiti. Ramai yang menjadi mangsa akibat mempercayai janji-janji, lakonan dan cerita-cerita dongeng karya pemimpin yang pintar memanipulasi kelemahan rakyat. Penasihat-penasihat yang sepatutnya menasihati pemimpin untuk memberi kesejahteraan dan keharmonian hidup kepada rakyat bertukar menjadi pengkhianat dengan merencanakan strategi 'diversion' atau penyimpangan, strategi dan taktik mengadu-domba sesama rakyat untuk memesongkan isu besar yang melanda kepimpinan dan parti yang memerintah. Akhirnya rakyat terpaksa keliru dan berkubang dalam kolam kekeliruan yang digali pemerintah agar mereka sibuk bermandi-manda di dalam kolam itu dan melupakan masalah sebenar.

4.     Alangkah malangnya apabila situasi begini sudah melingkar dan membelit masyarakat samada secara sedar, separa sedar atau tidak disedari. Rakyat hanyalah 'wong cilik' atau marhaen yang tidak mampu menjadi orang-orang besar seperti Al Capone, Corleon atau Raja Judi yang menguasai kota. Sesekali tambah Emha lagi, "Mungkin bagus jika negeriku ini dipimpin oleh Firaun atau Hitler, supaya jelas peperangannya". Kepimpinan apabila disentuh oleh tangan-tangan jahil, tidak dapat tidak pastinya akan menghasilkan kejahilan. Sesekali aku terpanggil mengenangkan perginya Hang Jebat dari alam ini. Alangkah baiknya jika Hang Jebat mengirim What's app atau Telegram kepada aku sebelum bertindak menderhaka sehingga dirinya terkorban. Kini Hang Jebat sudah tidak ada lagi untuk menegakkan keadilan dan yang tinggal adalah rakyat terus menyandarkan harapan pada Hang Tuah yang taat membabi buta, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi yang menikus entah ke mana dan sesekali bersorak "Hidup Melayu!".

5.    Rakyat kini keliru lantaran, "Ada orang mengucapkan sesuatu dan melakukannya. Ada orang mengucapkan tetapi tidak melakukan. Ada yang melakukan tetapi tidak mengucapkan. Ada yang tidak mengucapkan dan tidak melakukan". Apa lagi yang tinggal menemani rakyat?

Wallahualam.

SANI


Comments

Popular Posts